Salam,
Allah adalah sebutan terhadap Diri Tuhan yang ditetapkan oleh Dirinya Sendiri. Oleh itu, penyebutan Allah bukan ditentukan oleh siapapun kecuali oleh Dirinya sendiri. Sebagaimana difirmankan di dalam Al-Quran dalam surat An Naml ayat 9: “Hai Musa, sesungguhnya Akulah Allah, yang Maha Perkasa lagi Maha Pemurah”. Juga terdapat pengakuan yang sama pada surah Al Qashash ayat 30: ”… ya Musa, sesungguhnya Aku adalah Allah, Tuhan semesta Alam”.
Pada surah Al Ankabut ayat 46 Allah berfirman: “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahlil Kitab,melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang orang yang zalim di antara mereka, dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (Kitab- kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu; Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu, dan kami hanyalah kepada-Nya berserah diri.”.
Kata Allah yang ditulis dalam abjad latin diambil dari Allah, iaitu alif lam lam ha dengan sabdu pada lam kedua, diambil dari bahasa Arab dan umat Islam membacanya mengikut cara orang-orang Arab menbaca. Sekalipun tidak menutup kemungkinan ramai umat Islam yang tidak dapat atau tidak mampu untuk mengutarakannya dengan fasih. Hal ini adalah kerana adanya kebiasaan dari pola bercakap dalam bahasa masing-masing (nasional ataupun daerah). Setiap umat Islam memang berusaha untuk boleh melafazkan dengan benar dan betul sehingga dapat menyatakan maksud yang diinginkan sesuai dengan bahasa aslinya (bahasa Arab).
Pada prinsipnya, kata Allah membawa makna satu, iaitu Tuhan Pencipta alam semesta dan juga Zat Yang mana semua tergantung kepada-Nya. Dia yang mengatur, menghidayahi dan mentarbiah semua keberadaaan selain daripada-Nya (makhluk-Nya). Semua sifat mutlak ada pada diri-Nya dan semua sifat yang negatif bersih atau tidak ada pada-Nya.
Allah adalah Tuhan semua makhluk dan semua para nabi, mulai dari nabi Adam as hingga nabi Muhammad saw. Tidak ada satu masapun makhlukNya dibiarkan tanpa dibimbing dengan agama atau bimbingan daripada-Nya. Maka manusia secara umum mengetahui bahawa adanya beberapa agama yang dinyatakan datang daripada-Nya. Iaitu agama Yahudi dan Nasrani. Pengikut kedua agama ini dinamakan oleh umat Islam sebagai Ahlil Kitab. Ini adalah kerana mereka dinyatakan dalam Kitab Umat Islam (Quran) bahawa Yahudi pengikut kitab Taurat dan Nasrani mengikuti kitab Injil. Keduanya adalah kitab yang datang daripada Allah kerana diturunkan kepada nabi-nabi-Nya.
Hakikat daripada agama Ibrahimi ini adalah agama Allah dan mereka menyembah Allah, sekalipun mungkin penyebutan nama Allah disebutkan dengan lafaz yang berbeza tetapi tidak menutup kemungkinan akan ada kesamaan dalam menyebut nama Tuhan yang sama, iaitu Allah.
Memang pengikut Nasrani, kerana kurangnya pengikut Yahudi di Asia Tenggara, banyak sekali tidak menyebut nama Allah dengan dasar pengungkapan dari bahasa Arab, iaitu dengan dasar Alif lam lam ha, Allah tetapi dibaca dengan mudah dan ringan seperti membaca ungkapan latin biasa. Seperti kaum nasrani di Indonesia, hampir semuanya menyebut Tuhan mereka dengan Allah tetapi tidak dalam penyebutan sebagaimana muslimin mengutarakan ungkapan itu. Sementara di Filipina mereka lebih banyak menggunakan ungkapan dari bahwa Inggeris dengan ungkapan Lord atau God.
Semua kaum Nasrani di Tanah Arab, menyebut Tuhan mereka dengan kata Allah sebagaimana muslimin mengatakan Allah, tidak ada perbezaan di antara keduanya. Hanya saja mereka selalu menambahkan Allah al Ab (Tuhan Bapak) dan Allah al Ibn (Tuhan Anak) tetapi pengucapan lafaz Allah tidak ada bezanya dengan lafaz yang diutarakan oleh muslimin, kerana bahasa Arab sama sahaja pengutaraannya.
Yahudi, kerana dasar bahasa yang berbeza, Ibrani, mereka menyebut nama Tuhan mereka dengan ungkapan berbeza, tetapi memiliki maksud yang sama dengan Allah yang difahami umat Islam, iaitu Pencipta alam semesta.
Maka lafaz Allah disini memiliki dua sisi:
1. Allah yang merupakan lafaz yang memiliki makna yang sama, dengan pengutaraan yang sama atau tidak, fasih atau tidak, iaitu Allah membawakan makna Tuhan Pencipta alam, Tuhan bagi semua makhluk.
2. Allah yang memiliki makna yang berbeza sekalipun memiliki ucapan yang sama. Iaitu terbukanya kemungkinan adanya pengutaraan kata Allah dengan pengutaraan dan lafaz yang sama tetapi memiliki makna yang berbeza, atau difahami sebagai makna yang berbeza.
Dari sisi pertama, dapat difahami bahwa semua agama samawi atau juga dikenal sebagai agama Ibrahimi, akan masuk dalam golongan ini. Sekalipun adanya variasi pengucapan atau pengutaraan lafaz Allah, tetapi yang dimaksudkan adalah Allah, Tuhan semesta alam, Tuhan yang memberikan kitab dan agama kepada mereka sehingga masing-masing merasa berada di jalan agama Allah dan menyembah Allah, yang Esa.
Memang dasar ketuhanan semua agama samawi adalah satu, tetapi pada perbahasan yang lebih terperinci dan disinilah terdapat perselisihan pandangan dari masing-masing agama. Tidak ada pengecualian, baik Yahudi, Nasrani dan juga Islam.
Semua agama samawi mengakui adanya ke-Esa-an Allah, tetapi terdapat interpretasi yang berbeza dengan pemahaman Esa tersebut. Seperti pemahaman Triniti yang difahami oleh pengikut Nasrani, mereka tidak mengatakan bahawa Tuhan mereka ada tiga, tetapi Tuhan mereka adalah satu (Esa) tetapi dengan interpretasi adanya tiga dari substansi yang tunggal. Hubungan Tuhan bapa, Tuhan anak dan roh kudus adalah hubungan tiga pada satu substansi, yang kembalinya kepada ke-Esa-an juga.
Di dalam agama Islam, sesame umat Islam juga memiliki perbezaan dalam memahami Allah yang mereka yakini adalah Esa. Semua muslimin sepakat bahwa Allah adalah Ahad, Wahid dan Samad tetapi sebahagian umat Islam memahami bahawa Allah memiliki ‘tangan’ atau ‘kaki’ (dengan berbagai definisi dan pemahaman makna tangan dan kaki ) yang bererti adanya anggota. Dengan konsekuensi bahawa pemahaman itu akan membawa kepada pemikiran bahwa Allah bertempat dan memiliki anggota, sehingga bertentangan dengan pemahaman Ahad dan Wahid serta Samad.
Dalam hal ini, semua muslimin berkeyakinan bahawa Allah adalah Ahad, sehingga nampak secara jelas adanya perbezaan interpretasi dasar dengan pemahaman konsep Trinity.
Dari semua hal yang disebutkan di atas, ungkapan lafaz Allah masih dan tetap memiliki pemahaman bahawa Allah yang Esa (Ahad) dan Tuhan Pencipta dan Tuhan bagi semua makhluk yang ada. Tidak ada perbezaan, baik mereka menyebut Allah dengan benar atau tidak, baik dengan lafaz Arabic atau latin dan local, tetapi memiliki maksud yang sama.
Kita tidak menutup kemungkinan bahawa pemahaman trinity akan juga membawa makna tiga yang satu sehingga sangat jauh maknanya dengan makna tauhid yang difahami Islam dan pengikutnya, sekalipun mereka (umat Nasrani) tetap berpengang pada makna trinity yang kembali kepada makna monotheis.
Dari sisi kedua, lafaz Allah difahami dengan makna berbeza. Hal ini boleh terjadi di dalam beberapa hal.
a. Pada masa awal Islam di jazirah Arab, di mana bangsa Arab pada masa itu juga memiliki tuhan yang bernama Allah, yang juga bererti tuhan pencipta, tetapi mereka membentuk tuhan (yang mereka sebut dengan Allah) itu dengan bentuk batu (patung) berhala. Jadi, ketika Rasulullah Muhammad saw datang dan mengajarkan agama Allah iaitu Islam, mereka (kuffar Mekah) juga tetap dengan ajaran nenek moyang orang Arab, yang secara harfiah memiliki lafaz yang sama dengan Tuhan umat Islam.
Mereka tidak hairan dengan nama Abdullah (hamba Allah), (bapa kepada Nabi Muhammad saw), kerana mereka juga memahami makna Allah sekalipun makna yang mereka fahami jauh berbeza dengan yang difahami oleh Abdullah atau Islam.
b. Adanya kesalahan pemahaman, baik dengan sengaja ataupun tidak, yang dilakukan oleh mereka yang menggunakan nama Allah. Hal ini boleh sahaja terjadi ketika adanya salah dalam proses pendidikan sehingga sampainya pengetahuan kepada murid juga salah. Atau tidak atau kurangnya persiapan dalam pendidikan, sehinggakan boleh sahaja pendidik menyampaikan hal yang salah atau penerima pengetahuan itu mendapatkan interpretasi yang salah. Sehingga akan membawa kepada banyaknya interpretasi yang berbeza dan juga pemahaman yang berbeza, sekalipun dari kata yang sama.
c. Perjalanan waktu, dengan tidak ada batasan yang mutlak boleh menyebabkan hal tersebut di atas terjadi, kerana banyaknya dasar pola pemikiran sehingga banyak pula interpretasi yang dibuat. Seperti terjadinya trinity atau juga pandangan sebahagian ulama. Terjadinya kesalahan bukan kerana dasar yang salah, atau niat yang tidak betul, tetapi boleh jadi kerana tidak adanya dasar yang cukup kuat bagi penyampai atau penerima pengetahuan.
d. Perbezaan yang datang dari pemahaman dasar kata (bahasa). Seperti kata Allah, sebahagian ulama berpendapat ianya merupakan satu kata, iaitu satu kata untuk nama Tuhan. Sementara ada yang berpendapat bahawa Allah adalah takrif untuk ilah yang didahului dengan alif lam (takrif).
Apa yang terjadi sekarang adalah terjadinya banyak kejadian dari sekian banyak kemungkinan yang datangnya dari proses waktu dan pengajaran manusia untuk memahami kebenaran agamanya.
Allah, kata yang difahami oleh pengikut agama samawi (agama Ibrahimi) untuk Tuhan Pencipta alam semesta, Tuhan bagi semua makhluk.
Sebahagian mereka menyatakan dengan lafaz Arab dan sebahagian lagi tidak dapat menyatakannya dengan lafaz Arab. Baik muslimin maupun non-Muslim. Semua kaum Nasrani di Arab mengutarakan kata Allah sama dengan bagaimana Muslimin mengatakan Allah dengan dasar bahasa Arab yang fasih.
Untuk itu sangat susah untuk kita melarang orang-orang Nasrani untuk tidak mengutarakan kata Allah dengan ungkapan atau lafaz Allah, baik dengan lafaz yang benar maupun tidak, kerana mereka sudah mengutarakan kata itu dengan benar dan sebahagiannya dengan salah, sekalipun pemahaman mereka boleh jadi berbeza dengan akidah muslimin.
Hal ini terjadi kerana beberapa faktor :-
Faktor pertama, kerana mereka juga memiliki agama yang datang dari Tuhan yang sama, kerana Allah, adalah Allah bagi nabi Isa dan juga nabi Muhammad, Allah bagi semua makhluk.
Maka semestinya muslimin mencuba untuk memahami adanya faktor kesamaan sumber ajaran yang sama, sehingga banyak hal yang akan sama dari berbagai perbezaan yang dilakukan oleh pengikut suatu agama, terutama agama samawi.
Lafaz bahasa, ketika lafaz Arab yang digunakan, baik dengan fasih atau tidak, dan memang begitu mereka harus melafazkan, maka kenapa kita harus merubah hal itu sehingga memaksa mereka mencari alternatif lain yang menurut mereka sudah benar. Sementara di satu sisi yang lain, adanya perbezaan interpretasi makna, dan ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk melarang mereka mengutarakan apa yang ada di dalam ajaran mereka.
Bagaimana kita hendak memahami adanya pelarangan ini, sementara dibelahan dunia lain pengikut ajaran ini mengutarakan dengan ungkapan Arab yang fasih sebagaimana muslimin mengutarakan kata Allah. Lebih pelik lagi, bagaimana kita hendak melarangnya, ketika adanya sebagian muslimin atau parti Islam yang merasa bangga adanya orang kafir mengutarakan dan melafazkan ayat-ayat suci al Quran, yang sama sekali maknanya ditolaknya atau dikafirinya. . ..”Dan tidak adalah yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang orang kafir”. (Al Ankabut, 47)
No comments:
Post a Comment