Sunday, April 26, 2009

Parti Kecewakan Rakyat : PKR

Salam,

Parti Kecewakan Rakyat begitulah rakan saya orang Johor gelar PKR kerana beberapa alasan yang menurutnya bakal menimpa rakyat yang bermati-matian mempertahankan PKR pimpinan Anwar Ibrahim.

Dari orang yang paling rapat sehinggalah yang tidak berapa rapat seperti Ezam Noor, Dr Chandra Muzafar serta Datuk Nalla Karupan semuanya telah dikecewakan Anwar. " Kita tunggu masa yang akan menentukan, rakyat juga akan kecewa dengan Anwar " begitulah kata rakan saya.

PKR wujud kerana Anwar. Asas perjuangan PKR peringkat awal adalah hanya untuk membebaskan Anwar. Ini fakta. Apakah ada gelombang rakyat jika Anwar tidak dipecat dahulu? Apakah Anwar selantang sekarang jika dia tidak dipecat? Apakah isu rasuah dan ketelusan menjadi agenda Anwar ketika di dalam kerajaan dahulu?

Persoalan ini hanya akan terjawab jika kita membuat sedikit "homework". Kita boleh semak ucapan-ucapan Anwar dari mula masuk di dalam kerajaan hinggalah dipecat. Apakah beliau konsisten dengan slogan-slogan yang dia lontarkan sekarang?

Dari pihak Anwar kita sering dengar bahawa ketika memangku jawatan PM dia telah membentangkan akta anti-rasuah di parlimen sebagai bukti perjuangan membenteras rasuah. Bila? Ketika memangku jawatan PM? Bila tu? Beberapa bulan sebelum dipecat! Patutlah...

Jika kita masih ingat, isu skandal liwat serta beberapa skandal yang lainnya diketahui lama sebelum beliau dipecat. Maknanya, Anwar tahu situasi ini tidak baik untuk masadepan politiknya. Jika sepanjang memegang jawatan beliau tidak atau jarang berbicara berkaitan rasuah, maka apa maknanya berbicara berkaitan rasuah ketika diambang kejatuhannya?

Hanya dengan membentang rang undang-undang anti-rasuah diambang kejatuhannya tidak boleh mengelabui mata kita bahawa beliau konsisten dalam hal membenteras rasuah ini. Kalau kita perhatikan, hujah yang sering Anwar pakai adalah pembentangan rang undang-undang anti-rasuah ketika memangku PM dalam setiap ceramah-ceramahnya yang menunjukkan kepada kita , beliau tiada rujukan lain atau waktu lain beliau boleh buktikan perjuangan anti-rasuahnya. Apakah hanya pembentangan itu sahaja atau bila lagi beliau perjuangkan ketika di dalam kerajaan?

Penyokong-penyokong PKR mesti membuktikan masa dan ketika lain Anwar berbicara secara serius tentang anti-rasuah ini. Anwar tidak perlu menunggu ketika memangku jawatan PM untuk membentangkan rang undang-undang itu. Dia boleh pada bila-bila masa membentangkannya seawal dan sebaik sahaja menjadi wakil rakyat atau menteri.

Suatu lagi yang akan mengecewakan penyokongnya adalah apabila nanti terbukti kes liwatnya terhadap Saiful...itupun kalau penyokongnya tidak mengatakan ianya sebuah konspirasi lagi dan menuduh kerajaan mempengaruhi keputusan hakim...kerajaan hanya tidak mempengaruhi keputusan hakim ketika mahkamah membebaskan Anwar dulu ketika keputusan 2 lawan 1 dulu, yang lain semua pakatan antara mahkamah dan kerajaan agaknya....

Friday, April 24, 2009

KECELARUAN PEMIKIRAN PKR DAN KEPIMPINANNYA

Salam,

Saya telah bersama Timbalan Speaker DUN Selangor YB Haniza Talha Adun Taman Medan dalam rancangan Sudut Pandang Astro Awani atas tajuk Akauntabiliti YB. Perbincangan topik yang sepatutnya menyentuh akauntabiliti YB dalam konteks drama politik terkini di DUN Penanti berubah menjadi akauntabiliti UMNO dan BN yang menjadi sasaran serangan YB tersebut.

YB Haniza mengatakan episod di Penanti adalah kecil dan sengaja diperbesarkan oleh BN untuk menutup apa yang berlaku di Perak. Saya cuba membawa perbincangan kepada topik asal namun ke situ juga yang mahu dibawa.

Akhirnya tiada pilihan untuk saya katakan, episod di Perak sebenarnya dimulakan oleh Anwar sendiri dalam projek khayalan 16 Septenbernya dulu. YB Haniza bertanya kepada saya, siapa yang buat atau merealisasikannya? Seolah-olah kegagalan projek tersebut adalah bukti kebenarannya dan sekali gus membuktikan gejala lompat parti salah kerana mereka gagal melakukannya dan kerana lompat parti berjaya menumbangkan kerajaan PR Perak maka lompat parti adalah salah.!

Saya juga mengutarakan kenyataan Fairus yang menggambarkan perletakan jawatannya bukan atas kerelaannya. Saya rujuk kenyataan Fairus yang mengatakan dia tidak diadili sepertimana Adun Bkt Lanjan dan bekas Adun Bkt Selambau malah dalam akhbar Suara Keadilan kerja-kerja sebagai wakil rakyat tidak di"highlightkan" yang menyebabkan ramai menyangka dia tidak menunjukkan prestasi yang baik sebagai wakil rakyat.

Pertanyaan-pertanyaan seperti dibawah juga telah saya utarakan:-

1) sebab perletakan jawatan Fairus tidak jelas kerana tiada suatu indikasi yang menunjukkan beliau secara sukarela meletakkan jawatan.

2) mengapa beliau mahu PKR membersihkan namanya jika tidak, ada rahsia yang bakal dia bongkar dan Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa Fairus adalah seorang yang komited dalam perjuangan.....kalau komited mengapa meletakkan jawatan dan ianya dilakukan setelah Anwar bermesyuarat bersama Biro Politik sehingga tengah malam dan keesokannya Fairus menyerahkan surat perletakan jawatannya.

3) sebenarnya pembaziran dalam pilihanraya kecil dimulakan oleh PKR sendiri di Permatang Pauh dimana kerusi dikosongkan semata-mata sang Isteri ingin memberikannya kepada sang Suami yang baru habis tempoh larangan berpolitik atas hukuman 6 tahun penjara.

Apabila YB Haniza mengatakan rakyat mahukan kerajaan PR di Perak dan membawakan satu contoh bagaimana ada seorang YB dicemuh apabila balik kawasan, saya menyatakan contoh yang spesifik tidak boleh digunakan untuk menerangkan suasanan yang umum.

Saya juga menyentuh laporan polis terhadap MB Selangor apabila YB Haniza mengatakan Fairus telah dilaporkan oleh Angkatan Muda Keadilan kepada SPRM maka dia seolah-olah telah bersalah maka saya katakan kalau begitu MB Selangor pun bersalahlah ! hanya atas laporan yang dibuat.

Tetapi apabila SPRM menutup kes Fairus, beliau mengatakan siapa tutup kes? SPRM? tentulah....jadi jika keputusan tidak menyebelahi PKR maka SPRM adalah salah dalam keputusan itu begitu juga jika sebaliknya berlaku.

Banyak lagi kecelaruan dalam pemikiran orang-orang PKR ini....

Thursday, April 23, 2009

SAYA AKAN BERSIARAN DI ASTRO AWANI DALAM SUDUT PANDANG JAM 9 MALAM INI ( 23 APR 09 )

TAJUK : AKAUNTABILITI YB.....BERSAMA WAKIL PAKATAN RAKYAT.

Tuesday, April 21, 2009

Nga Kor Ming Tidak Mengelirukan Berbanding Islam Hadhari Menurut PAS!

Salam,

Bila Islam Hadhari diperkenalkan maka PAS mengatakan ianya adalah agenda politik UMNO, mengelirukan, agama baru dan terkini ia adalah agenda Eropah untuk melemahkan Islam kata Nik Aziz. Dengan gagal membuktikan kesemua dakwaan tersebut dan gagal memberikan sedikit ruang muzakarah serta sedikit usaha untuk bekerjasama dalam program Islam ini, tiba-tiba ada seorang kristian membaca Al Quran di atas pentas politik sambil menyesatkan UMNO dengan ayat tersebut dan disokong Nik Aziz dengan mengatakan ianya permulaan untuk Nga Kor Ming menghayati Islam.

Yang penting bagi mereka ialah menghentam UMNO. Kesepuluh prinsip Islam Hadhari adalah agenda politik tetapi sepotong ayat suci yang dibaca oleh seorang kristian bukan ada agenda politik! Hanya sepotong ayat dan hanya seorang yang bukan UMNO maka segalanya adalah berbaik sangka dan benar belaka!

Di dalam sejarah Islam, Arab Badui yang telah mengucap dua kalimah syahadah pun masih belum beriman dan hanya dianggap Islam sahaja oleh Rasulullah s..a.w. Inikan pula yang mengaku kristian dan menggunakan ayat suci di atas pentas politik. Sudah terang lagi bersuluh.

Untuk kita mengatakan seseorang itu sedang mendalami atau permulaan untuk mendalami Islam bukan di atas pentas politik ketika berceramah politik! Nga Kor Ming perlu menjalani proses muzakarah serta ta'lim ilmu-ilmu Islam dan menyakini kebenaran Islam secara minimanya menerima pembawa risalah Islam iaitu Muhammmad s.a.w. Apakah dengan mengakui sebagai seorang kristian maka kita katakan dia sudah menerima kenabian Rasulullah s.a.w.? Ini bertentangan.

Apakah mendalami Islam itu cukup hanya dengan membaca sepotong ayat yang digunakan untuk mengatakan UMNO tidak melakukan keadilan dan ihsan? Apakah dia sudah tahu hal-hal pokok keimanan atau dia hanya hafal ayat tersebut untuk menghentam UMNO dan dengan "naif"nya Nik Aziz kata dia sudah mula untuk mendalami Islam.

Apabila kita kata hudud harus diterima dahulu non-muslim sebelum dilaksanakan PAS kata UMNO tolak hudud sedangkan DAP terang-terangan tolak hudud tetapi demi pakatan politik penolakan hudud DAP dapat diterima kerana sepotong ayat Al Quran telahpun dibaca seorang kristian DAP maka itu tanda DAP sedang mendalami Islam.

Oleh yang demikian, PAS perlulah muhasabah diri serta bertindak lebih cerdik sedikit dalam berhadapan dengan politik DAP dan PKR kerana kita bimbang nanti mereka akan diadili di akhirat dengan kesalahan bersifat lemah lembut dengan musuh Islam tetapi bersifat keras terhadap sesama Islam.

Sunday, April 19, 2009

FAIRUS GERTAK ANWAR , ANWAR GELABAH !

Salam,

Episod demi episod dalam perjalanan politik Anwar Ibrahim penuh dengan unsur-unsur suspen, klimaks anti-klimaks dan sebagainya. Terkini perletakan jawatan Adun Penanti Fairus yang mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi dalaman orang-orang PKR sendiri untuk menjatuhkannya.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah bagaimana Fairus mengeluarkan suatu kenyataan bahawa PKR harus membersihkan nama beliau sebelum dia mendedahkan sesuatu. Dia mengatakan PKR tahu apa yag mampu beliau lakukan terutama apa yang sebenarnya berlaku di dalam PKR yang tidak diketahui umum.

Fairus meletakkan jawatan kerana isu rasuah yang dihadapinya dan perletakan jawatan beliau diterima PKR tidak seperti Elizabeth Wong yang tidak diterima perletakan jawatannya. Maka dalam sudut pandang PKR, Fairus ada kes dan perlu meletakkan jawatan tetapi tidak Elizabeth Wong.

Dengan satu gertakan Fairus kita lihat Anwar keluarkan kenyataan memuji Fairus kerana komited dengan perjuangan PKR kerana tidak keluar parti.

Ada 2 isu di sini:-

1) apakah PKR mengiktiraf seorang yang dituduh rasuah berada dalam Parti PKR? Kalau mengatakan Fairus tidak bersalah mengapa menerima perletakan jawatan beliau dan kalau bersalah maka seseorang perasuah adalah seorang yang komited dengan perjuangan PKR sebagaimana yang Anwar kata maka PKR juga adalah parti rasuah sebagaimana mereka mendakwa UMNO parti rasuah!

2) apakah rahsia dalaman yang diketahui oleh Fairus sehinggakan Anwar dilihat membuat "pujian" terhadap Fairus
yang sedang menghadapi tuduhan rasuah bagi "melembutkan" dan proses membersihkan nama baik Fairus agar rahsia TIDAK terbongkar!

PKR memang mempunyai rahsia terutama yang berkaitan dengan Anwar. Kalau tidak masakan Ezam Nor boleh tinggalkan PKR yang sebuah parti yang beliau sendiri menjadi salah seorang pengasasnya dan beliaulah orang yang paling besar pengorbanannya dalam membela Anwar. Ezam juga banyak menyimpan rahsia Anwar.

Kesimpulannya, kita akan saksikan Anwar akan melakukan proses pembersihan nama baik Fairus bagi menjaga rahsia agar tidak pecah!

Anwar....Anwar....kerananya nanti kita akan saksikan PAS akan berpecah belah pula...tunggu...

Friday, April 17, 2009

Antara Islam Hadhari Dan Islam Syamil

Salam,

Setelah berehat dari menulis dan mengamati perkembangan politik tanahair setelah berlakunya peralihan kuasa Pak Lah Ke Dato Seri Najib, keputusan piliharaya kecil dan kenyataan-kenyataan politikus berkaitan kedua-duanya (peralihan kuasa dan keputusan pilihanraya) maka saya mengambil suatu kesimpulan bahawa umat Melayu/Islam perlu mula memikirkan survival mereka dengan lebih serius lagi.

Memang PAS akan mengatakan bahawa dah kalah barulah UMNO nak bercerita tentang umat Melayu/Islam untuk memperkukuhkan parti UMNO. Namun PAS juga harus terima hakikat bahawa UMNO adalah sebahagian besar dari kekuatan umat Melayu/Islam yang sedang berkuasa, Maka lemahnya UMNO adalah juga lemahnya umat Melayu/Islam.

Pas jangan hanya melihat UMNO dari sisi sebuah parti politik yang bertentangan ideologi dengan mereka semata-mata, Pas harus melihat UMNO dari sisi saudara seagama dan sebangsa. Nik Aziz jangan hanya merasa "janggal" untuk berbaik dengan UMNO disebabkan perbezaan ideologi tetapi Nik Aziz harus berlapang dada demi umat Melayu/Islam sebagaimana beliau boleh berlapang dada dengan PKR dan DAP yang jelas akan menjadi penghalang utama perlaksanaan Negara Islam yang diperjuangkan PAS serta membawa fahaman asing seperti Islam Liberal dan liberalisasi politik yang akan membunuh kedudukan umat Melayu/Islam.


Islam Syamil (sempurna) adalah suatu kenyataan yang tidak dapat ditolak kerana begitulah Islam. Yang menjadi masalah ialah mendakwa bahawa kitalah yang telah melaksanakan Islam yang sempurna. Apakah dengan berslogan Islam dan dapat mentadbir sebuah negeri kecil Kelantan yang mahu dibandingkan dengan umat Islam satu dunia, kita sudah berani mengatakan Kelantanlah contoh Islam syamil? Hakikat Islam syamil adalah Islam sebagaimana Islam Rasulullah s.a.w. yang menguasai dunia bukan hanya Kelantan! Siapa dan mekanisme apa yang digunakan bagi mengabsahkan Kelantan sebagai contoh Islam syamil? Apa dalilnya?

Berkaitan kenyataan Nik Aziz tentang karutnya konsep Islam Hadhari dan mendakwa ia adalah strategi Eropah untuk menghapuskan Islam, apa dalilnya? Adalah tidak beretika jika hanya mengeluarkan kenyataan tanpa dalil lebih-lebih dari mulut seorang ulama. Apakah dengan status ulamanya Nik Aziz beliau boleh membuat kenyataan tanpa dalil dan kita orang awam kena terima bulat-bulat!

Islam Hadhari terdapat 10 prinsip dari keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t hinggalah ke Pertahanan atau difa' maka dimana yang dikatakan strategi Eropah untuk hapuskan Islam dengan Islam Hadhari? Jawab Tok Guru !

Thursday, April 2, 2009

ANWAR DAN KONCO-KONCONYALAH YANG HARUS MEMBERSIHKAN IMEJ NAJIB !....DAN IMEJNYA SENDIRI !

Salam,

Hari DS Najib Razak mengangkat sumpah sebagai PM adalah esok. Namun kalau kita lihat beberapa bulan malah berbulan-bulan yang lepas, DS Najib telah diasak bertubi-tubi dengan isu Altantuya dan sebagainya oleh Anwar dan konco-konconya tidak terlepas juga pemimpin-pemimpin PAS.

SMS dari Harakah menyebut DS Hj Hadi dan Abang Mat Sabu menggesa Najib membersihkan imej beliau sebelum jadi PM. Kita hendaklah berpegang kepada prinsip keadilan. Jika kita hanya tahu menggesa lawan politik kita membersihkan imej maka kita juga terlebih dahulu haruslah menggesa rakan politik kita yang kita nobatkan sebagai Ketua Pembangkang iaitu imej Anwar yang terang-terang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat harus dibersihkan dulu!.

Bukan itu sahaja, DS Najib sebenarnya telahpun bersumpah dalam isu Altantuya, tinggal Anwar sahaja yang belum bersumpah dalam isu liwat sekurang-kurangnya untuk membersihkan imejnya ! Maka, siapa yang harus dibersihkan imejnya terlebih dahulu.

Kalau isu Altantuyalah yang hendak dikaitkan dalam pembersihan imej DS Najib, maka Anwar dan konco-konconyalah yang mula-mula buat spekulasi dan mencipta persepsi ini maka yang harus buat kerja-kerja pembersihan, merekalah.Bak kata orang, dah berak, cebuklah sendiri !

Saya hairan mengapa pemimpin-pemimpin PAS tidak melihat secara objektif dalam hal ini atau sengaja tidak mahu fikirkan. Satu lagi SMS ialah dari kenyataan Datuk Mahfuz Omar yang mengatakan peralihan kuasa ini tidak mendatangkan kesan untuk ubah kelemahan UMNO. Sebelum ini yang sibuk menahan PAK LAH supaya jangan serah pada Najib siapa? Kalau tiada perubahan mengapa cuba menahan Pak Lah menyerahkan kuasa pada Najib? Satu lagi sebelum ini khususnya sebelum pilihanraya mengapa pula menggesa Pak Lah letak jawatan dan sekarang menahannya pula?

Ini adalah kenyataan-kenyataan politik yang ada udang disebalik batu. Bagi saya, PAS telah jauh tersasar dari politik Islam yang sepatutnya PAS imejkan. Sekali lagi Anwarlah yang telah berjaya memanipulasi PAS dan sekutunya dan Anwarlah yang mencorakkan "political stand" PAS dan Pakatan Rakyat ! Mana pergi kebijaksanaan ulama-ulama PAS?

Saya agak emosional sedikit kerana melihat kepada perkembangan politik sekarang, kita telah hilang punca untuk lebih berpolitik secara jujur dan memikirkan bagaimana UMMAH hendak dibawa ketahap yang lebih baik dan mulia.

Setiap hari yang diisukan adalah sesuatu yang tiada landasan fakta dan penuh menciptakan spekulasi liar yang akhirnya dipersepsikan sebagai suatu kebenaran.

UMNO dan PAS harus duduk semeja demi rakyat Malaysia. Kalau bersama DAP kita boleh sepakat, inikan pula UMNO....Kalau dengan DAP yang terang-terangan anti-Islam kita boleh sepakat, inikan pula UMNO yang sudah sedia membuka pintu untuk perbincangan serta ada lagi sinar Islamnya kita mahu terus bermusuh!. JIka dengan Anwar yang pernah didakwa PAS menipu mereka dahulu boleh sepakat, inikan pula UMNO yang juga mereka dakwa pernah menipu PAS juga, takkan tidak boleh duduk semeja. Jika Anwar yang hilang kuasa mahu berbaik-baik dengan PAS, inikan pula UMNO yang sedang berkuasa mahu berbaik-baik dengan PAS, PAS tidak boleh fikir?

Fikirkan.....demi Ummah !

Popular Posts