Monday, December 22, 2008

ANTARA ISLAM HADHARI, PENOLAKAN HUDUD DAP, PERLAKSANAAN ISLAM MENURUT LIM GUAN ENG DAN PENEGASAN HUSAM TENTANG HUDUD

Salam,

Tajuk posting kali ini sengaja dibuat sedemikian rupa bagi memberikan senario yang berlaku di negara kita beberapa masa yang telah berlalu semenjak pemerintahan Pak Lah yang menyaksikan beberapa rentetan peristiwa.

Islam Hadhari cetusan Pak Lah yang telah secara komprehensif dan proaktif saya tangani di dalam blog ini, penolakan secara konsisten oleh DAP, kenyataan KM Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng tentang corak pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz dan pemerintahan berdasarkan Al-Qur'an serta penegasan YB Datuk Husam Musa tentang perlaksanaan Hukum Hudud oleh PAS jika Pakatan Rakyat memerintah amat menarik untuk dilihat seketika ini.

Islam Hadhari cetusan Pak Lah telah menghadapi kesukaran untuk mendapat dokongan PAS atas sebab-sebab politik yang melihatkan kepada kita serangan lebih kepada peribadi serta kegagalan perlaksanaan Islam Hadhari oleh Pak Lah daripada persoalan prinsip Islam Hadhari itu sendiri. Sebagaimana yang pernah saya tulis bahawa kalau hanya kita mahu sedikit berfikir maka kita akan dapatkan suatu program besar jangkapanjang di dalam Islam Hadhari itu sendiri yang melibatkan ta'lim dan tarbiyyah.

Pada satu segi yang lain, kita terlena dengan kenyataan KM Pulau Pinang Lim Guan Eng yang sedikit memancing sentimen umat Islam Malaysia dengan kenyataannya bahawa ia akan menjadikan Khalifah Umar Abd Aziz sebagai model pemerintahannya serta ia akan mentadbir mengikut ajaran Al-Qur'an.

Dengan menoleh sedikit ke belakang, kita pernah dengar kenyataan kepimpinan utama DAP YB Karpal Singh yang mengatakan langkah mayat dia dulu sebelum menegakkkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

Baru-baru ini pula, dalam majlis debat antara YB Khairy Jamaluddin dan YB Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS itu menegaskan hukum hudud akan dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat memerintah kelak dengan menegaskan bahawa UMNOlah penghalang kepada perlaksanaan hukum hudud kerana keengganannya terhadap hukum hudud terlaksana.

Dengan melihat senario ini kita boleh fikirkan bahawa:-

1) Apakah semua pihak itu tahu apa itu perlaksanaan hudud? Apakah mereka sepakat dalam memahami perlaksanaan hukum hudud atau sebenarnya perlaksanaan hudud yang difahami berbeza?

2) Apakah PAS yakin dengan parti-parti komponen di dalam Pakatan Rakyat bahawa penegakan sebuah negara Islam akan disepakati?

3) Apakah PAS lebih yakin dengan Lim Guan Eng dalam hal Islam dibandingkan dengan UMNO yang dikatakan sekular dan UMNO itu menurut mereka lebih sekular daripada DAP. PKR dan Islam Hadhari itu cuma propaganda kerajaan dan kenyataan Lim Guan itu adalah lebih ikhlas?

4) Apakah Karpal Singh telah memberi "restu" untuk PAS menegakkan Negara Islam?

Ini persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh semua pihak untuk kita lihat apa isunya yang sebenarnya. Hudud bukan seperti undang-undang lalu lintas yang boleh dipaksakan begitu sahaja tanpa difahami . Hudud amat memerlukan orang yang benar-benar alim dalam Islam yang merupakan salah satu persyaratan untuk melaksanakan hukum Hudud.(rujuk posting yang lepas di)

http://pure-hadharist.blogspot.com/2008/04/isu-negara-islam-pas-masih-belum-cukup.html


Maka semua pihak termasuk UMNO perlu sama-sama menuju ke arah memahami Hudud dan cuba memenuhi persyaratan menegakkan Negara Islam.

Persoalannya, kita lebih berpolitik sempit dengan menolak apa yang baik dari musuh dan lebih terpesona apa yang datang dari rakan politik kita walaupun sudah terang dan jelas sikapnya terhadap hudud yang hendak kita perjuangkan. Dengan lebih jelas lagi, Islam Hadhari ditolak atas nama menolak sekular (masih boleh dibahaskan kebenarannya) dan pada masa yang sama menerima sebuah pakatan yang jelas berdasarkan sekular malah menolak hudud yang diperjuangkan.

Islam Hadhari - permulaan untuk ke arah melengkapkan salah satu syarat perlaksanaan Islam dengan program Ta'lim Dan Tarbiyyah....

Dibimbangi Lim Guan Eng akan perkenalkan Islam DAP dan disokong PAS kerana ia bukan datang dari UMNO......fikirkan...

1 comment:

Anonymous said...

islam hadhari atau hadharah islamiyah, pas atau umno, dan semua manusia sudah semustinya untuk berfikir tentang alternatif kehidupan yang selalu gagal dalam mendidikmanusia dengan hukum yang dijadikan oleh akal manusia. Islam telah memberikan kepada manusia satu alternatif terbaik untuk mereka pilih sehingga dapat mencapai kesempurnaan sebagai manusia - dunia dan akherat -


hudud hanya merupakan bahagian dari pada semua hukum yang ada di dalam Islam, sehingga manusia perlu berfikir lebih jauh lagi dengan Islam yang lebih luas algi dalam mendidik manusia. maka hudud adalah sebagaian pendidikan itu, bukan semua. jadi manusia perlu berfikir untuk hiudp mereka secara keseluruhan, bukan sebahagian.

dengan Islam manusia akan sampai kepada kesempurnaan, dan hudu mendidik menusia untuk menjauhi kesalahan dan berjalan pada kebenaran. jadi hakikat hudud adalah keperluan manusia yang rational itu sendiri, karena dengan hudud manusia akan sampai pada ketempatnya sebagai manusia.

problem yang dihadapi semua manusia adalah ketidak tahuan mereka terhadap hudud itu, falsafah dibaliknya dan palaksanaannya - pelaksana dan sistim pelaksanaannya - untuk itu perlu pemahaman. dan kewajiban ini bukan tangugn jawab suatu partai, tapi kewajioban mereka yang tahu. dan sebaliknya mereka yang tidak tahu semustinya tidak perlu menolak, tapi bertanya.karena penolakan dari yang tidak tahu adalah irrational, sebagaimana memaksakan kehendak kepada yang tidak tahupun merupakan tindakan irrational....

maka semuanya akan berjalan dengan amal yang bijak dan adil, yaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memberikan hak pada yang berhak....

kewajiban semua ulama untuk menjelaskannya, dan kewajiban awam untuk mendengar pandangan ulama dan bertanya kalau tidak faham..... baru lah manusia akan maju kepada kesempurnaan

Popular Posts