Thursday, March 4, 2010

KEPENTINGAN IDEALISME PERJUANGAN DAN IDEOLOGI

Salam,

Memang agak lama saya tidak menulis di dalam blog ini dek kerana terlalu sibuk dengan urusan perniagaan dan sebagainya. Namun, agak banyak juga yang mahu disampaikan memandangkan senario politik Malaysia yang semakin hangat dan menarik untuk diulas.

Terkini ialah siri keluarnya beberapa ahli parlimen PKR dari parti itu.

Setiap penubuhan parti politik memstilah berdasarkan kepada idealisme perjuangan yang didasari dengan sebuah ideologi politik yang jelas. Kejelasan amat perlu agar ahli parti tahu hala tuju dalam perjuangan parti tersebut.

Kemunculan parti semangat 46, PKR , DAP dan PAS harus dilihat dari segi kejelasan ideologinya.

Semangat 46 telah terkubur akibat rapuhnya idealisme perjuangannya dan ketidakjelasan ideologinya, yang jelas ialah, ia ditunjangi oleh beberapa individu politikus yang bercita-cita besar untuk mengepalai kepimpinan negara ketika itu. Ahli dibawa dan diheret untuk hanya merealisasi cita-cita politikus tersebut.

Parti Keadilan Rakyat lebih teruk lagi. Ia hanya berbekalkan sikap marah, kecewa disamping bermotifkan pembelaan ke atas seorang politikus yang dipecat yang mana pengikutnya mengimani bahawa politikus itu telah dizalimi. Hanya satu kelebihan yang ada ialah ia dipimpin oleh seorang politikus yang bijak berpidato dan licik percaturan politiknya sehinggakan ia mampu menyatukan parti-parti pembangkang dibawah suatu pakatan.

PAS dan DAP dilihat lebih jelas idealisme perjuangannya dan ideologi pegangannya. Yang menjadi masalah ialah PAS dan DAP juga terpengaruh dengan politikus itu ( Anwar Ibrahim ) sehinggakan kadang kala dilihat mengorbankan idealisme perjuangan parti sendiri.

PAS dilihat lebih terjejas idealisme perjuangannya akibat pakatan pembangkang ini. Lebih parah lagi ialah apabila berlaku pen"doktrinan" di dalam PAS dengan idea dan pendekatan politik ala-ala 'Anwar Ibrahim" yang diwakili kumpulan Erdogan di dalam PAS.

DAP tidak begitu ketara dalam mengorbankan idealisme perjuangannya malah dilihat mampu mencaturi politik dalaman pakatan rakyat bagi kepentingan parti itu. Cuma kadang kala suara "kesedaran" orang-orang lama seperti Karpal Singh yang merasakan DAP dipacu oleh Anwar Ibrahim bagi kepentingan dan cita-cita politik Anwar Ibrahim.

Masa telah tiba. Kita lihat beberapa pemimpin telah sedar bahawa apa yang diperjuangkan selama ini tidak lebih dari ingin meletakkan Anwar sebagai bakal PM. Sekarang ini yang terkena penyakit sindrom penafian bukan UMNO tetapi PKR. Mereka tetap menafikan mereka telah mula lemah dengan keluarnya beberapa pemimpin yang bertaraf ahli parlimen.

Memang keluar masuk parti adalah perkara biasa dalam politik. Namun jika ianya berterusan dan gagal dibendung maka ini merupakan suatu mala petaka dalam parti politik itu.

PKR ditubuhkan atas premis untuk membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara. Ini sering disebut saudara Ezam Nor dahulu. Maka setelah bebasnya Anwar, agenda seterusnya beralih ke pada meletakkan Anwar sebagai PM walaupun ia tidak dikongsi oleh semua orang dalam pakatan kerana memang ada yang meragui peribadi Anwar yang juga sedang bertarung dalam kes liwat beliau sekarang ini.

Maka, bila masa berlalu, kesedaran mula timbul dikalangan penyokong-penyokong PKR bahawa apa yang diperjuangkan selama ini sia-sia belaka. Maka mulalah siri pengeluaran dari parti ahli-ahli dari kalangan orang-orang penting parti dari Marina Yusuf, Dr Chandra Muzafar, Zainur Zakaria dan Ezam Nor dan baru-baru ini yang melibatkan ahli-ahli Parlimen PKR.

PAS juga telah mula sedar bahawa banyak yang telah mereka korbankan khususnya prinsip-prinsip perjuangan Islam yang mereka laungkan selama ini. Slogan Negara Islam serta program-program pertarbiyahan telah menjadi sesuatu yang tidak menjadi agenda utama malah perangai dan akhlak politikus Islam yang seharusnya ada telah mula sirna di dalam Pas.

UMNO juga perlu jelas dengan idealisme perjuangannya dan ideologi politik yang dipegang !


No comments:

Popular Posts