Tuesday, December 9, 2008

ISLAM HADHARI : Visi ke depan…( Hanya Yang Murni Kekal)


Salam,

Pasti banyak umat Islam tahu bahawa agama Islam ini dijaga Allah swt, iaitu bahawa selama manusia ada maka Islam ini dengan kebenarannya akan terjaga. Tidak ada hari tanpa ada kebenaran di dunia ini, sehingga Islam hakikatnya adalah hujah Ilahi untuk manusia selama manusia ada. Allah pastikan bahawa Islam akan menghantarkan manusia menuju kepada kesempurnaan yang dikehendakiNya, atau dengan kata lain; bahawa manusia selalu mendapat penerangan cahaya Ilahi berupakan kebenaran Islam, dan tidak ada dalil bagi manusia untuk tidak menerima kebenaran Islam yang ada dalam kehidupannya.


Pada sisi lain, adanya musuh Allah yang selalu berada dalam kehidupan manusia di dunia ini, selama ini, mereka terus berusaha untuk membawa misi mereka sehingga manusia tidak sampai pada tujuan pencipta Allah. Dalam Quran disebutkan bahawa adanya syaitan yang akan selalu berusaha untuk mengganggu manusia sehingga mereka akan berpaling dari kebenaran yang diberikan Allah bagi manusia, hanya Mukhlashin yang tidak akan dapat diganggu oleh syaitan. Selain itu tidak ada yang akan selamat dari gangguan, kecuali kalau mereka hendak melakukan perlawanan dari gangguan itu.


Di sisi lain, adanya manusia yang melakukan perbuatan sama dengan syaitan atau lebih buruk lagi. Kalau syaitan mengganggu manusia hanya hingga membuat manusia was-was atau ragu tetapi manusia dapat meyakinkan dengan adanya penipuan atau intimidasi, lebih lagi manusia dapat melakukan penghancuran dan pembunuhan hingga manusia lain mengikutinya, untuk itu apa yang dilakukan manusia lebih buruk dan jahat dari syaitan. Hasilnya, seperti sekarang yang ada di hadapan semua umat Islam, di mana Islam tidak dapat dinikmati dengan sempurna oleh manusia kerana manusia telah tertutup ekoran berbagai kesalahan yang dibuatnya, baik sengaja ataupun tidak sengaja.


Perbuatan yang sengaja ataupun tidak sengaja, akan dinilai dengan dua perkara. Perkara ukhrawi maka balasnya ada pahala atau dosa, duniawi akan memberi kesan positif ataupun negatif. Jadi perbuatan yang dilakukan dengan ikhtiarnya akan dinilai dan dibalas Allah dengan pahala kenikmatan dan dosa derita, ini kalau dilihat dari nilai ukhrawi pada perbuatan yang sengaja sahaja (dengan ikhtiar, sementara perbuatan yang tidak sengaja tidak akan , tetapi dari sisi pandang duniawi, maka perbuatan akan dilihat dari kesan dan akibatnya. Untuk ini maka manusia perlu berhati hati dalam berbuat dan menilai, kerana perbuatan di dunia ini baik sengaja ataupun tidak sengaja akan meninggalkan akibat. Betapa banyak manusia yang melakukan sesuatu tanpa berfikir pada apa yang dibuatnya dan lebih jauh mereka tidak berfikir dengan akibat yang akan terjadi kerana perbuatan tersebut.


Banyak perkara di mana manusia mengatasnamakan agama, kemudian melakukan sesuatu, tanpa memikirkan akibatnya, hanya kerana merasa sudah berpegang pada agama atau salah satu nash Allah. Akibatnya bukan saja dia pelaku yang menerima akibat negatif tetapi juga ijtima’ atau masyarakat yang berada di sekitarnya. Kalau sahaja manusia hendak berfikir sedikit sahaja tentang apa yang hendak dilakukannya, nescaya dirinya dan juga umat Islam ataupun manusia selainnya akan banyak terhindar dari akibat negatif suatu perbuatan.


Sebagai contoh seorang yang hendak melakukan kewajiban amar bil ma’ruf wa nahi ‘an munkar. Setiap umat Islam mengetahui bahawa amar bil ma’ruf wa nahi anil munkar merupakan kewajiban yang datang dari Allah, tetapi bukan setiap umat Islam boleh melaksanakannya. Ia ada peringkat: hati, lisan dan (amal) tangan. Setiap umat Islam memiliki persyaratan berbeza dalam melaksanakan kewajiban ini. Ada yang dengan menunjukkan muka tidak senang, diam atau meninggalkan, maka setiap umat Islam memiliki kadar masing-masing. Perbuatan ini pun wajib didasari pengetahuan tentang ma’ruf dan munkar, juga cara merubah munkar menjadi ma’ruf, tanpa adanya persyaratan ini maka kemungkaran bukan akan berkurang tetapi terbuka kemungkinan untuk lebih banyak dan membesar.(dengan terjadinya kemungkinan ini maka kewajiban yang menjadi taklif boleh berubah kepada marhalah lain.)


Dengan persyaratan keadaan yang sekarang dihadapi oleh umat Islam, maka melaksanakan kewajiban amar makruf dan nahi munkar bukan permasalahan mudah tetapi merupakan permasalahan yang kompleks. Selain dari kemungkaran yang ada, terdapat juga kemungkaran asli yang menjadi sumber kemungkaran di dunia iaitu keberadaan penjajah dunia, kekuatan adikuasa Amerika dan Zionis Internasional. Sehingga umat Islam dituntut untuk lebih berhati-hati dalam menjalankan kewajiban itu, kerana kalau tidak maka kekuatan penjajah ini akan menggunakan kesempatan sebaik mungkin untuk menghancurkan Islam dan Muslimin. Islam tidak akan hancur dan hilang, tetapi muslimin boleh jadi jauh dari Islam sehingga mereka akan terbawa arus pemikiran musuh Islam dengan mengatasnamakan Islamnya. Hal inilah merupakan permasalahan yang perlu diperhatikan dengan baik oleh setiap muslimin.


Pada hakikatnya, masyarakat merupakan kekuatan besar untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar. Kalau saja semua umat Islam mengetahui tugasnya dalam pelaksanaan kewajiban politik dan kemasyarakatan ini maka musuh terbesar pun akan hancur. Sebaliknya, kalau di dalam suatu masyarakat tidak terdapat kekuatan rakyat yang melaksanakan amar makruf dan nahi munkar, maka masyarakat itu akan menghadapi kekacauan dan kehancuran.


Kalau saja umat Islam dengan baik memikirkan masa depannya, tentu mereka akan menggalang kekuatan sehingga terjadilah satu kekuatan besar untuk melaksanakan kewajiban Ilahi ini. Penggalangan kekuatan tentunya dengan melihat potensi kekuatan dan juga penghalang yang ada di dalam ataupun di luar tubuh umat Islam. Memperhatikan dan menggerakkan semua potensi yang dapat membawa ke arah keberhasilan bersama, tanpa melihat dari mana atau siapa yang memilikinya, kerana dasar pemikirannya adalah semua umat Islam adalah dalam tubuh yang satu. Kemudian mengikat diri dalam program kerja yang real. Dengan cara ini maka kekuatan yang asalnya kecil boleh jadi menjadi kekuatan yang melebihi kekuatan musuh, sebesar apa pun dia.


Dengan sedikit berfikir dan menghilangkan pemikiran yang dilandasi ta’asub dan kepentingan (demand –peribadi atau parti) tentulah umat Islam akan mengetahui bahawa Islam Hadhari adalah salah satu dari pada potensi yang dapat menggalang kekuatan besar umat Islam sehingga dapat menjadi kekuatan besar yang jitu untuk menjalankan kewajiban Ilahi amar makruf dan nahi munkar, yang bererti akan menyelamatkan umat Islam dari penindasan yang sedang mereka alami sekarang.


Dengan memperhatikan prinsip-prinsip yang ada di dalam Islam Hadhari, umat Islam akan mendapatkan ketetapan bahawa Islam Hadhari adalah Islam, sehingga tidak ada hujah bahawa mereka boleh meninggalkan atau mengetepikan Islam Hadhari, apatah lagi hendak mengatakan bahawa Islam Hadhari adalah bukan Islam, kerana dengan menyatakan hal tersebut dengan sendirinya terjadi penolakan (minimal) terhadap cara yang dipilih umat Islam untuk melakukan amar makruf dan nahi munkar, atau lebih jauh terjadilah penolakan terhadap Islam itu sendiri. Jadi perlu dipisahkan antara penolakan terhadap perbuatan zalim yang dilakukan seorang muslim, dengan penolakan satu pemikiran yang benar dari seorang yang muslim yang zalim. Kerana tetap ada terpisahnya penilaian antara kebenaran dan kezaliman pada diri yang sama sekalipun.


Sebagaimana setiap umat Islam perlu menilai bahawa umat Islam adalah seorang yang manusia yang telah mengikrarkan syahadatain, iaitu dia telah naik saksi bahawa Allah adalah Tuhannya dan Muhammad adalah Rasul Allah. Kalau dia melakukan satu tindakan zalim maka akan salah kalau kita katakan bahawa Syahadatainnya salah, apatah lagi mengatakan apa yang dikatakannya (syahadatain) adalah salah. Ini tidak benar, kerana syahadatain yang dikatakannya adalah benar, dan yang salah adalah kezaliman yang dilakukannya. Juga kalau ada pembawa berita benar, kalau dia melakukan perbuatan yang salah maka bukan bererti berita yang disampaikannya salah tetapi perbuatannya. Begitu juga dengan Islam Hadhari, kalau saja penyampai Islam Hadhari melakukan satu kezaliman, maka tidak secara automatik apa yang disampaikannya adalah salah. Perlu ada pemisah,antara apa yang disampaikannya dan apa yang dilakukan dalam hidupnya. Juga kita tentu berkeyakinan bahawa kalau seorang muslim melakukan kesalahan ataupun dosa, maka tentu tidak bererti bahawa keyakinannya terhadap agamanya salah, tetapi perbuatannya yang salah, bukan keyakinannya terhadap Allah dan Rasul Allah.


Begitu juga dalam kes Islam Hadhari, konsep ini disampaikan untuk membantu umat Islam merintis masa depan yang lebih baik, iaitu hilang atau bergantinya munkar menjadi makruf sehingga semua akan meninggalkan apa yang dilarang Allah dan menjalankan apa yang diperintahkanNya, yang bererti semua muslimin akan hidup dalam keadilan. Tentulah ini tidak akan didapatkan dan dirasakan dalam waktu dekat (singkat), kerana apa yang dihadapi muslimin sekarang bukan saja kemungkaran yang ada pada dirinya, yang mana hal itu terjadi kerana kejahilan terhadap Islam, tetapi juga adanya musuh Islam dan muslimin.


Mungkin muslimin perlu berfikir bahawa Islam adalah sesuatu yang diturunkan Allah untuk semua manusia termasuk Rasulullah, iaitu apa pun yang ada di dalam Islam maka posisinya ada di atas semua manusia tanpa kecuali. Tidak seorang pun boleh berada di atas Islam, dengan kata lain bahawa Islam dapat menilai siapa pun dia dengan semua hukum yang ada didalamnya. Begitu sebaliknya, semua manusia akan dapat menikmati semua hal yang ada dari Islam untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan yang lebih penting adalah kebenaran Islam dapat dilihat oleh semua manusia, begitu juga manusia dapat dinilai dengan Islam. Maka Islam Hadhari dapat dilihat dengan Islam; adakah ianya merupakan bahagian, serupa/sama atau ianya adalah indentik dengan Islam. Yang paling penting di sini, untuk menilai Islam Hadhari dengan penilaian di atas maka ianya memerlukan sekumpulan dalil, dan untuk menilai baik buruknya siapa yang membawa konsep Islam Hadhari memerlukan dalil yang lain. Sehingga dapat ditetapkan bahawa penilaian keduanya terpisah kerana keduanya merupakan hal yang terpisah. Bererti siapa pun yang menyatukan (penilaian) maka ia telah melakukan kesalahan dalam menilai.


Kalau sahaja muslimin menyedari bahawa dihadapannya ada masa depan yang tidak diatur oleh mereka sendiri, tetapi diatur Allah dan juga dengan adil semua yang ada di dunia ini. Banyak perkara di dunia ini telah berjalan dan akan berjalan terus dengan menuju ke arah kesempurnaan kehidupan. Cepat atau lambat ianya akan sampai juga. Kerana di hadapan setiap manusia terdapat janji Allah yang pasti akan terjadi. Tinggal saja manusia perlu mempersiapkan dirinya untuk berada di dalam kesempurnaan itu. sehingga tidak ada jalan lain mereka wajib ber”program”. Memang Islam merupakan program, tetapi Islam memberikan kesempatan untuk manusia dalam memilih mana yang didahulukan dan mana yang diakhirkan. Juga manusia berhak memilih mana yang perlu dilakukan pada waktu dan tempat yang khusus untuknya sehingga dapat mempersiapkan diri ke tempat yang diredhai Allah. Persiapan ini tentu perlu dalam sebuah konsep lengkap, iaitu mengatur semua aktiviti untuk sampai kepada tujuan yang menjadikan redha Allah.


Ketika setiap muslim dibenarkan untuk mendapatkan cara yang tepat untuk dirinya dalam menjalankan program dalam mencapai nilai terbaik di hadapan Allah, maka terpaksa manusia perlu memilih mana yang didahulukan dan mana pula yang wajib ditinggalkan dulu. Dengan menyusun hal ini maka dapat diharapkan tercapainya masa depan yang diredhai Allah.


Kalau saja musuh-musuh Islam membuat program untuk menghancurkan muslimin, maka kenapa muslimin tidak pula melakukan hal yang sama. Muslimin bukan meniru yang lain, tetapi hendak menjalankan apa yang diperintahkanNya. Iaitu mempersiapkan semua hal yang boleh menjadikan muslimin akan menjadi satu kekuatan yang tidak terkalahkan, Allah berfirman:”Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi…”.(Al Anfal 60). Maka sangat disayangkan kalau ada sebahagian muslimin tidak melihat bahawa persiapan menghadapi musuh Islam juga merupakan hal yang wajib.


Berbagai dalil syar’i (naqli) dapat digunakan untuk menyatakan bahawa Islam Hadhari merupakan konsep yang benar dengan tatacara nilai Islam. Kerana Islam Hadhari tidak lebih dari Islam di mana muslimin hanya bertindak mengatur. Sebagaimana ketika adanya kemungkaran, dan ada seseorang hendak merubah munkar tersebut menjadi makruf. Maka dia wajib menentukan tindakan mana yang tepat untuk menghentikan kemungkaran dan merubahnya menjadi makruf. Minimum, orang itu perlu membuat program untuk menjalankan perubahan munkar menjadi makruf. Baik dari dalam dirinya secara personal, keluarga dan lebih jauh lagi pada masyarakat. Tentu hal ini tidak akan dapat dijalankan dalam satu masa atau dengan melakukan satu tindakan bersamaan di satu tempat, waktu dan keadaan.


Kalau saja ada umat Islam yang hendak berfikir sedikit saja dengan pola berfikir Islamik dan Quranik (bersih dari kekotoran ta’asub, ghurur dan hasad) , pastilah mereka akan menggapai keberhasilan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Betapa banyaknya orang alim yang tidak dapat mencapai hakikat kebenaran kerana dia merasa dirinya sudah alim. Betapa banyak muslimin ter-hijabi halangan batin sehingga tidak dapat melihat dan mengamalkan kebenaran. Sehingga perlu orang lain untuk mengingatkannya, kerana mereka adalah saudara (seagama), sesama manusia yang sama-sama menghadapi problem besar di bumi ini. Maka dengan saling memahami dan saling membantu dan mengingatkan. “Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa. . . “.(Al Maidah 2).


Kalau saja ada orang yang boleh membuktikan kesalahan pembawa konsep Islam Hadhari, bukan bererti dia sudah boleh pula membuktikan kesalahan Islam Hadhari. Ketika semua melihat Islam pastilah mereka akan melihat Islam Hadhari ada didalamnya, sehingga tidak ada alasan untuk boleh menyalahkan Islam Hadhari. Kalau saja ada yang menggunakan ayat Al Baqarah 44 sebagai dalil:”Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban sendiri).. .”. maka dalil ini sebenarnya menyalahkan orang yang melakukan suatu kebajikan, tetapi tidak menjalankan untuk/pada dirinya sendiri. Dengan dalil ini terbukti pula bahawa adanya kebajikan yang tidak dilakukan, iaitu tidak disamakan antara nilai kebajikan dengan pelaku yang tidak menjalankan kebajikan.


Untuk itu maka Quran mengingatkan:”Dan jangan kamu mencampuri- adukkan yang hak dan batil dan janganlah kamu menyembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui”. (Al Baqarah 42). Bukankah ini merupakan dalil untuk menyatakan kebenaran sekalipun dirinya sendiri (mungkin) bercampur dengan kebatilan.


Betapa mudahnya melihat kebenaran kalau saja hati ini dipersiapkan agar dapat terbuka sehingga dapat menerima kebenaran sebagaimana adanya. Tentu masa depan bagi muslimin akan cerah sebagaimana cerahnya cahaya Ilahi.

1 comment:

Anonymous said...

salam purehadharist,
tulisan ini benar-benar memperlihatkan siapa anda dan apa yang anda perjuangkan secara jelas.

dan tentunya ia menaikkan semangat saya untuk terus memperbaiki diri.
terima kasih.

teruskan apa yang telah anda mulakan. wassalam.

Popular Posts