Saturday, May 30, 2009

HUSAM MUSA TERIKUT PERANGAI ANWAR.

Salam,

Dalam episod keengganan Datuk Husam Musa bersama Ezam Nor untuk program Hujah TV9 tempohari, maka jelaslah kepada kita politik "belit" Anwar Ibrahim telah menjangkiti Husam dengan alasan bertele-tele dan penuh "dramatik" bagi memperjelaskan kepada umum mengapa beliau enggan berhadapan dengan Ezam Nor dalam isu rasuah ini.

1) Kalaulah alasannya bahawa isu ini adalah isu penting dan perlu orang yang berautoriti membincangkannya, maka Ezam adalah berautoriti dalam persoalan rasuah kerana beliau adalah pengasas Gerak yang memangnya berkaitan terus dengan isu rasuah. Ezam telah masuk semula UMNO dan meninggalkan PKR dan juga Gerak atas alasan komitmen kerajaan untuk membenteras rasuah, disatu pihak Husam masih tetap mengatakan UMNO tidak serius membenteras rasuah maka inilah dia medan untuk mereka berbincang dan mengeluarkan pandangan masing-masing dalam isu rasuah !Maka Ezamlah berautoriti untuk membinncangkan isu rasuah ini.

Autoriti apa?

Menggubal dan melaksanakan undang-undang anti-rasuah? Kalau inilah yang dimaksudkan oleh Husam yang memerlukan orang yang berautoriti, maka dia silap kerana program Hujah TV9 bukan tempat untuk penggubalan undang-undang atau penguatkuasaan sebarang undand-undang, hatta PM sendiri tidak boleh berbuat apa-apa dalam rancangan Hujah TV9 kerana ia HANYALAH sebuah rancangan berbentuk diskusi dan Husam harus sedar perkara ini.Jadi tidak timbul berautorti atau tidak!

2. Saya amat bimbang jika Husam membatalkan penyertaannya dengan alasan Ezam tidak setandingnya. Sebagai pemimpin sebuah parti Islam, Husam tidak boleh berperangai sebegitu. Dia harus muhasabah diri dan berfikir secara Islamik yang amat menekankan hal-hal akhlak dan etika bersahabat ataupun berpolitik. Berdasarkan sebuah hadis yang mafhumnya janganlah melihat siapa yang berkata tetapi apa yang dikata...maka Husam harus insaf bahawa program ini adalah bukan hanya diskusi dia berdua bersama Ezam namun ditonton oleh rakyat Malaysia. Seharusnya Husam harus menggunakannya sebagai wadah dakwahnya serta buah fikirannya untuk diperdengarkan kepada penonton.Ini bukan soal menang kalah, layak tidak, setanding tidak, autoriti tidak tetapi ia adalah rancangan diskusi yang amat baik dengan topik yang amat baik juga untuk dibncangkan. Mengatakan Ezam bukan berautoriti dan hanya layak berbincang dengan Pengerusi Gerak kini, adalah suatu pernyataan angkuh dari seorang politikus yang mendakwa membawa misi Islam. Tok Guru Nik Aziz kena tegur ini sebab dah mula nampak penyakit Anwar dalam diri Husam. ( sebab tu kita disuruh memilih sahabat)

3. Husam pernah debat dengan KJ menantu Pak Lah. Persoalan hudud disentuh dalam perdebatan tersebut. Maka, apakah KJ dilihat Husam berautoriti untuk bincang masalah hudud atau kita katakan boleh sahaja dbincangkan kerana sekali lagi program perdebatan itu BUKAN untuk menggubal polisi.Apakah justifikasi Husam menerima untuk berdebat dengan KJ dan menolak berdebat dengan Ezam? Kalau dikatakan sama-sama ahli Parlimen,ini bukan di Parlimen yang memerlukan ahli parlimen menyertai perdebatan itu! Kalau KJ ialah sebagai Ketua Pemuda UMNO atau naib ketika itu maka apakah jawatan Naib Presiden PAS setanding dengan jawatan KJ?

Maka, saya tidak mempunyai penilaian lain melainkan membuat penilaian seadil mungkin dan menyimpulkan bahawa:-

1) Husam tidak bersedia dari segi hujah dan mental untuk berhadapan dengan Ezam dan mulalah mengeluarkan pelbagai alasan.

2) Ada perkara-perkara sulit yang takut Ezam dedahkan yang ada kaitan dengan Husam.

3) Memang Husam sekarang sudah merasa hebat sehinggakan memilih untuk mencari rakan debat yang dkatakan setanding.

4) Mencari sesuatu yang sensasi untuk dijadikan bahan kempen pemilhan PAS yang akan datang.

5) Menyedari bahawa adalah lebih mudah berhadapan dengan Dato Seri Zahid daripada Ezam sendri kerana hanya sahabat sahaja yang tahu kelemahan sahabat bukan lawan.

Maka dari beberapa perkara di atas ini, saya berkesimpulan, Husam sudah terikut peranga Anwar dalam menutup kelemahan atau isu dengan menimbulkan sesuatu yang boleh disensasikan bagi mengalih perhatian umum atas su yang sebenar!!!

Friday, May 29, 2009

ISU LIWAT VS ALTANTUYA

Salam,

Begitu hebat ketika berpidato dan berhujah untuk membawa politik baru dengan slogan indah demokrasi dan keadilan sosial, Anwar dan konco-konconya berjaya meyakinkan rakyat di beberapa buah negeri yang dikuasai PR.

Setiap kata yang Anwar keluarkan dari mulutnya adalah kebenaran semata-mata menurut konco-konconya. Setiap buku yang disebut Anwar maka percayalah semua yang Anwar benar-benar membacanya. Setiap penafian serta penciptaan teori konspirasi yang dikatakan Anwar maka benarlah kedurjanaan orang yang mengeluarkan dakwaan tersebut.

Maka disinilah lemahnya jentera penerangan UMNO menangani isu yang dimainkan Anwar. Bayangkan isu Altantuya dimainkan sedemikian rupa sehingga semua orang percaya ianya benar-benar sepertimana yang dikatakan Anwar. Bayangkan isu liwat Anwar yang lebih terang dengan mangsanya sendiri bersumpah mencagarkan diri dan keluarganya agar dibinasakan Allah s.w.t. jika dia berbohong gagal dijadikan senjata yang sebenarnya cukup untuk menutup mulut Anwar.

Sebab itu Anwar amat bimbang kes ini dibicarakan di mahkamah dan dia sering mencari helah untuk melewat-lewatkan perbicaraan kes tersebut. Isu lompat parti 16 Sept dan siri pilihan raya kecil adalah diantara helahnya untuk mengalihkan perhatian umum dari kes liwatnya. Terkini ialah samannya ke atas Datuk Anifah Aman 100juta kerana menuduhnya menawarkan jawatan TPM jika melompat parti.

Seharusnyalah isu liwat terus kita "highlight"kan dan kita lihat reaksii Anwar dan konco-konconya. Kita minta Datuk Taib Azamudin memberi penerangan semula tentang dua beranak yang datang membuat pengakuan anaknya diliwat dulu. Kita cari mangsa-mangsanya yang lain untuk kita bongkar semula isu ini. Kita tanya rakan-rakan lama Anwar di MCKK dulu kot-kot ada "peristiwa" yang berlaku dulu.

Mengapa kita harus bersusah payah begini? Ia adalah kerana kita mahu Anwar tidak terus-terusan menipu rakyat Malaysia juga rakan-rakannya akan tipu muslihat beliau dan yang paling teruk sekali ialah dia naik ke atas dengan bermodalkan penipuannya itu.

Wednesday, May 27, 2009

Ezam Nor Harus Diberi Peranan Menghadapi Dakyah Pembangkang.

Salam.

Untuk berhadapan dengan musuh kita harus tahu apa kelebihan, kekuatan, kelemahan dan keburukan musuh kita.

1. Dalam dunia peperangan sebenar atau psikologi, jumlah wang yang dihabiskan untuk kerja-kerja perisikan dan pengumpulan maklumat musuh adalah besar.

2. Saudara Ezam Nor adalah aset yang harus dijaga memandangkan beliau mempunyai banyak maklumat yang boleh digunakan bagi menghadapi dakyah palsu PR.

3. Saya amat sedar di dalam UMNO sendiri ada yang tidak senang dengan kehadiran Ezam dalam pentas politik UMNO atas beberapa alasan baik ianya merupakan alasan peribadi atau atas alasan kepartian yang berkaitan dengan persoalan kehati-hatian.

4. Namun kita mestilah berlapang dada dan berjiwa besar bahawa dalam keadaan sekarang ini tidak ada yang lebih penting dari menghadapi dakyah pembangkang yang berjaya menanam persepsi buruk terhadap UMNO dan kita harus akui bahawa kita kekurangan orang parti yang mampu berhadapan dengan pembangkang secara berdepan dan Ezam Nor telah membuktikan beliau berjaya melakukannya.

5. Rakyat yang terpengaruh dengan propaganda pembangkang haruslah dipulihkan dengan " vaksin" yang berkesan dan dalam hal ini Ezam Nor mempunyai "vaksin"nya.

6. Vaksin yang saya maksudkan ialah cara, lenggok, bahasa, penampilan, logika, hujah dan sebagainya yang pernah mereka dengar untuk mempercayai segala dakyah pembangkang, digunakan bagi memulihkan serta membawa balik pemikiran serta persepsi buruk UMNO yang mereka yakini selama ini.

7. Saya tidak pula mengatakan bahawa tugas ini tidak boleh dilakukan oleh orang-orang yang pure-umno namun kita perlu ada x-factor yang mampu menambahbaik kerja-kerja penerangan untuk menghadapi dakyah pembangkang.

8. Adalah lebih bijak untuk Ezam diketengahkan secara aktif bagi menghadapi isu-isu khususnya yang berkaitan dengan Anwar yang banyak tidak diketahui oleh kita semua.

9. Program latihan dan pengkaderan penceramah harus juga melibatkan Ezam Nor agar kita benar-benar lengkap dengan "senjata" iaitu hujah disamping dapat menyelami cara berfikirnya Pembangkang melalui Ezam Nor.

10. Mungkin kita tidak boleh meletakkan harapan yang begitu besar kepada Ezam Nor seorang, namun untuk memulakannya, kita tidak boleh meninggalkan Ezam Nor.

Sunday, May 24, 2009

PUTaR BELIT PAKATAN RAKYAT

Salam.

1. Dalam isu lompat parti 16 Sept :

Ketika isu lompat parti wakil rakyat BN ke PR dalam projek yang gagal dilaksanakan Anwar 16 Sept lalu, PR mengatakan bahawa yang menentukan hala tuju politik negara ialah 222 ahli Parlimen yang mana lebih tepat lagi 31 wakil rakyat BN yang melompat partilah yang akan menukar tampuk pemerintahan Malaysia disebabkan PR mendapat sokongan majoriti di Parlimen BUKAN RAKYAT.

Dalam isu Perak :

Masa depan politik Perak hendaklah diserahkan kepada RAKYAT melalui pembubaran DUN Perak bukan atas sebab BN mendapat sokongan majoriti dengan beralihnya sokongan 3 ADUN yang menyokong BN.

2. Dalam isu lompat parti 16 Sept :

Tidak semestinya yang melompat parti itu menyertai PR, cukup hanya mereka memberikan sokongan di dalam Parlimen yang akan membuatkan PR mendapat sokongan majoriti. Maknanya mereka boleh tetap di dalam BN tetapi memberikan sokongan kepada PR. Tidak perlu bubar Parlimen.

Dalam isu Perak :

DUN harus dibubarkan kerana 3 orang yang menyokong BN bukan wakil rakyat BN tetapi Bebas. Ini menyebabkan kerusi BN-PR di DUN Perak sama banyak kerana tidak termasuk 3 orang wakil rakyat Bebas itu.


3. Dalam isu lompat parti 16 Sept :

Perlu mengadap DYMM Yang Dipertuan Agong untuk memastikan peralihan kuasa licin dan sempurna.

Dalam isu Perak :

Mohon derhaka kerana Sultan Perak tidak menyebelahi PR.

4. Dalam isu lompat parti 16 Sept :

Kerajaan dan PM yang bakal mengambilalih kuasa pemerintahan adalah kerajaan dan PM yang sah disisi undang-undang.

Dalam isu Perak :

Kerajaan BN di bawah MB baru adalah kerajaan haram.

Ini adalah beberapa perkara yang kita harus selalu perhatikan di mana segala yang telah berlaku membuktikan bahawa PR tidak lebih hanya sebuah pakatan yang hanya bermatlamatkan kuasa dan di mana ada peluang dan ruang yang menyebelahi mereka maka semuanya perkara yang mereka lakukan adalah benar belaka.

Keputusan hakim juga adalah bergantung kepada siapa yang menang, kalau BN menang, maka Anwar akan kata " sistem kehakiman perlu bebas dan telus .." kalau PR menang, Anwar kata " telah mula nampak pembaikan dan reformasi dalam sistem kehakiman kita "

Marilah berhujah wahai penyokong PR.... Saya tunggu dan sedia berubah jika ada yang berjaya menyakinkan saya bahawa saya salah....!

Wednesday, May 20, 2009

Politik Baru Oleh Politikus Usang.

Salam,

Mendakwa diri sendiri membawa arus politik baru adalah sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang. Yang menjadi masalahnya ialah apabila laungannya "politik baru" isinya politik usang. Apa itu politik baru?

Jika kita mentakrifkan-politik baru sebagai sesuatu yang lebih baik, berbeza, membawa pendekatan baru daripada status quo politik yang ada maka ia masih boleh diterima jika ia benar-benar dilaksanakan sebagaimana ia ditakrifkan.

Apa yang menjadi permasalahannya ialah, kita hanya mendengar slogan dan laungan politik yang membawa harapan baru namun keadaan tidak menjadi lebih baik malah lebih buruk dari yang sebelumnya.

Rakyat yang mengharapkan harapan baru hanya disajikan sandiwara politik yang tidak habis-habis penuh dengan isu-isu sensasi, dramatik serta suasana anarkis yang menggambarkan citra politik masa kini sememangnya terkebelakang 20-30 tahun.

Tatkala suasana tolak ansur dan kerjasama demi kepentingan rakyat harus diperjuangkan, politikus usang (hero politik tahun 70an) mengambil pentas utama politik negara dengan adegan-adegan cemas dan sensasi seperti siri pilihanraya kecil ( yang bermula di Permatang Pauh isteri mengosongkan kerusi untuk suami), projek "lompat parti" 16 September, pendedahan hangat yang tidak hangat langsung, aktiviti saman menyaman yang mana sebelum ini mereka ini tidak mempercayai sistem kehakiman negara namun begitu rancak sekali "mengadu hal" kepada polis dan badan kehakiman dan bermacam lagi yang mereka lakukan hanya untuk menjatuhkan UMNO.

Politus usang adalah ahli politik yang tidak mempunyai nilai seorang negarawan. Seseorang ahli politik yang tidak memiliki nilai dan sifat seorang negarawan, matlamatnya sempit iaitu hanya untuk menjatuhkan lawannya.

Menjatuhkan lawan politik adalah perkara biasa namun menjatuhkan lawan politik dengan menggorbankan kepentingan rakyat dan negara serta hanya untuk tujuan peribadi, maka menjatuhkan di sini adalah perbuatan seorang politikus usang.

Bagaimana politik baru mahu dillaksanakan oleh politikus usang ini? Dengan selamba politikus usang ini membuat kenyataan bahawa matlamatnya adalah untuk menjatuhkan UMNO.! Jika menjatuhkan UMNO akan menimbulkan keadaan yang lebih buruk bagaimana? Apakah itu tidak diambilkira yang penting asal UMNO jatuh!

Apakah tercapai perjuangan parti apabila UMNO jatuh? Apakah PaS dapat mendirikan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud bila UMNO jatuh? Apakah DAP dapat melaksanakan Malaysian Malaysianya? Apakah PKR dapat menaikkan Anwar menjadi PM jika umno jatuh?

Ataukah itu semua tidak penting yang penting UMNO jatuh........

Monday, May 18, 2009

Bila Ada Gula, Semut Pasti Ada ! Realiti Gejala Politik Wang.

Salam

Saya pernah menulis berkaitan dengan politik wang yang melanda UMNO. Dalam tulisan tersebut, tanpa bersetuju dengan politik wang, saya mengatakan bahawa politik wang akan berlaku apabila ada elemen wang dan kuasa.

Orang boleh mengatakan apa sahaja terhadap UMNO sebagai parti yang mengamalkan rasuah
( sebenarnya parti tidak rasuah, yang rasuah ahlinya ) namun selagi dia tidak faham punca berlakunya rasuah, selagi itu dia hanya menyalak mengatakan parti UMNO adalah parti rasuah.

Apa puncanya rasuah? Soalan ini terjawab dengan menjawab pertanyaan berikut, apa puncanya ada semut berkerumun ke atas gula? Jawapannya, sebab adanya gula.

Berdekad lamanya parti-parti pembangkang mengatakan UMNO parti rasuah. Mereka mengatakan ini tatkala mereka tidak berkuasa iaitu salah satu puncanya rasuah iaitu kuasa dan tidak juga berwang satu lagi punca rasuah.

Sekarang apa jadi? Bila mula sahaja tidak sampai satu tahun memegang kuasa maka timbullah isu rasuah dan politik wang dalam parti PKR dan PAS. Ini adalah ekoran daripada ahli-ahli PAS dan PKR mula nampak mereka akan berkuasa dan berwang selepas ini maka timbullah gejala rasuah politik.

Maka, jangan mudah untuk meletakkan kesalahan atas sesebuah parti yang berkuasa atas gejala rasuah kerana inilah gejala bagi sesebuah parti yang mempunyai kuasa dan wang! Jangan terkejut jika selepas ini akan timbul lagi isu-isu rasuah di dalam Pakatan Rakyat.

Jangan kita hanya jaguh menyuarakan anti-rasuah tatkala parti kita tidak punyai apa yang hendak dirasuahkan tetapi kita senyap bila ada ahli kita sendiri terlibat. Yang penting disini adalah pencegahan dan hukum yang berat ke atas perasuah.

Datuk Anifah Aman dan Datuk Puad Zarkashi telahpun membuat pengakuan cuba disogok Anwar atas persetujuan melompat parti maka tidak peliklah Karpal Singh suruh Anwar bertaubat !

Banyak lagi cerita begini akan timbul apabila kuasa dan wang mula dirasai kehadirannya....

Gula sudah ada maka semut apa lagi!

Wednesday, May 13, 2009

Kecelaruan pemahaman hukum Islam : Menyanggah YB Saari Sungib tentang pemansuhan ISA.

Negara berdaulat adalah negara di mana hukum berada di atas semua manusia, sebagaimana di dalam Islam di mana semua umat Islam berada di bawah undang- undang Ilahi termasuk Rasulullah s.a.w. Keberadaan undang- undang ialah untuk memastikan bahawa semua menjalani kehidupan beriringan dengan hukum atau undang-undang.

Undang - undanglah yang memastikan seseorang itu bersalah atau tidak, seseorang itu patut ditahan ataupun tidak. Setiap penahanan wajib berdasarkan hukum di mana hanya dengan hukumlah maka seseorang itu boleh ditahan. Seorang yang ditahan itu tentunya berdasarkan penahanan yang ada undang-undangnya untuk dia boleh ditahan terlebih dahulu sebagai suatu proses undang-undang, kalau undang-undang untuk itu tidak ada, seseorang itu tidak boleh ditahan walaupun ia sebagai suatu proses undang-undang. .


ISA adalah perlaksanaan daripada pemikiran di atas, di mana negara meletakkan sesuatu undang-undang sebagai alat untuk memastikan semua berjalan diatasnya dan semua akan berjalan berdasarkan hukum. Maka kalau tidak ada ISA, barulah boleh dikatakan yang terjadi adalah penahanan tanpa didasari oleh hukum. Perletakan ISA adalah perletakan hukum yang jelas terhadap beberapa perkara yang akan menyebabkan seseorang akan ditahan.

YB Saari Sungib Tidak Jelas Tentang Kaedah fiqhiyyah


Ada beberapa proses dasar fiqhiyyah yang sebenarnya tidak terutarakan di sini oleh YB Saari Sungib iaitu, ketika terjadi bilamana seseorang akan diadili, maka orang itu dinyatakan sebagai tertuduh terlebih dahulu, iaitu kondisinya ialah dia belum terbukti bersalah. Selama dia belum terbukti bersalah maka dia akan mengalami proses hukum atau proses pengadilan, di mana orang tersebut tidak boleh dibebaskan di dalam masyarakat sehingga jatuhnya hukum kerana dalam konteks ISA kesalahannya bukan seperti kesalahan jenayah biasa namun melibatkan keamanan negara.

Maka harus diteliti di sini bahawa, akan selalu terjadinya beberapa proses terhadap perlaksanaan hukum hatta dalam kaedah fiqhiyah sekalipun iaitu:

1. Proses penangkapan.
2. Proses siasatan dalam sesi soal jawab dan sebagainya.
3. Proses pengadilan.
4. Proses setelah pengadilan (setelah terbukti atau tidak seseorang yang ditangkap itu bersalah atau tidak dan di sini tidak boleh tidak, prosesnya haruslah ditangkap dahulu barulah berjalan proses-proses yang lain !).

Apa yang dihujahkan oleh YB Saari Sungib adalah dalil yang naqish atau kurang, atau dia tidak mengetahui proses hukum dalam Islam. Ini adalah kerana, apa pun keadaannya, seseorang itu akan ada masa di antara dia dituduh sehinggalah dia terbukti salah atau tidak, hanya saja waktu ini boleh jadi pendek atau panjang. Selama proses ini seseorang akan berada di dalam tanggungjawab hukum, baik dia bebas bersama masyarakat atau dia ada di bawah tahanan.

Mengambil contoh yang dibawakan YB Saari Sungib, seseorang tertuduh membocorkan rahsia, maka ada proses perlaksanaan fiqih iaitu: dituduh, kemudian dibuktikan dan kemudian di hukum. Begitulah hukum fiqih berjalan.
Maka,

1. Seseorang akan dituduh ketika ada dasar hukum bahawa adanya hukum yang dilanggar, dan atas dasar hukum yang dilanggar itulah, dia menjadi tertuduh.

2. Dengan adanya proses hukum, mulai dari proses soal siasat, iaitu mempertemukan hukum dengan pertuduhan sehingga dapat menjadi mahkum (dijatuhi) hukum. Proses ini sangat diperlukan kerana adanya hukum dasar yang akan membuktikan seseorang itu bersalah atau tidak. Kalau tidak ada undang-undang ISA maka tidak akan ada proses ini, iaitu tidak akan ada seorangpun yang boleh menjadi tertuduh dalam kes keamanan dalam negara yang mana tidak ada seorangpun boleh dipersalahkan sekalipun perbuatannya dapat mengancam stabiliti dalam negera atau yang merosakkan masyarakat, atau tidak ada batasan adakah seseorang itu dapat dinyatakan bersalah atau tidak kerana negara tidak memiliki hukum untuk menentukan siapa yang bersalah terhadap negara ini. Akibatnya semua orang boleh melakukan semua tindakan atau amalan untuk merosakkan negara ini.


3. Dengan hanya menukil satu hadis yang terlampau umum tidak akan boleh dijadikan bukti kebenaran hujah tersebut, kerana perlu juga diperhatikan keterikatan amalan dalam perlaksanaan fiqhiyyah (qarinah - hubungan peristiwa )


Keberadaan ISA Mengikut Kaedah Fiqhiyyah

Dalil dari kaedah fiqhiyyah: "al-dharrar yuzalu bil-syara"" yang bermaksud kemudharatan itu ditolak oleh syarak, sebenarnya membuktikan kuatnya dan sahnya keberadaan ISA menurut Islam.

Ada beberapa dalil di sini:-
.
I. Al dharrar , yang bererti bahaya atau kemudharatan, maka di sini terdapat nisbah antara dhar dan mudhir, pembuat dan penerima kemudharatan. Kalau hubungannya dengan satu negara, maka kita akan melihat bahawa apa saja yang akan menjadikan negara ini dalam keadaan mudharat maka perlu dicegah, dan untuk itu diperlukan hukum yang pasti apa, siapa dan bentuk kemudharatan itu sehingga semua akan pasti dan hukum dapat dijalankan sehingga tidak ada mudharat berlaku.

II. Syara' adalah dasar hukum, sehingga yang menyebabkan dharrar patut di hukum, iaitu setiap orang yang mendatangkan mudharat boleh dihukum dan itulah ketetapan syara', maka dengan ini keberadaan ISA adalah hukum untuk tidak terjadinya mudharat yang ditolak syara' bererti, ISA adalah sesuatu yang didukung syara' kerana ia menolak apa yang ditolak oleh syara' tadi.

Perlu diketahui oleh YB Saari Sungib bahawa di dalam Islam ada hukuman mati, baik digantung atau pun di pancung, juga ada hukum sebat dan penjara. Semua ini perlu ada pembuktian dan proses pembuktian, dan di dalam negara Islam proses itu juga akan terjadi yang termasuk di dalamnya perkara-perkara seperti seseorang itu diperlukan untuk dipenjara dan ditahan.

ISA bukan hendak menghukumi seseorang tetapi hendak mencegah sesuatu itu tidak berjalan dibawah hukum atau sesuatu tidak memiliki dasar hukum apabila sesuatu itu terjadi, dalam hal ini adalah jelas dalam persoalan keamanan dalam negera. Jadi sejak awal lagi, ISA adalah hukum pencegahan datangnya dharrar pada masyarakat dan negara bila mana adanya individu ataupun kelompok hendak melakukan dharrar pada negara dan kepentingan negara serta juga rakyat yang ada didalamnya.

Pembelaan seorang yang terhukum adalah sesuatu yang selalu terjadi. Orang boleh membela dirinya, dan kebenaran pembelaan pun tetap bergantung kepada kalau dia dapat membuktikan secara hukum ketidakbersalahan dia. Kalau dia gagal membuktikannya, maka dia tetap dinyatakan sebagai orang yang bersalah, sekalipun dia bebas atau dibebaskan.

Oleh itu, kenyataan YB Saari bahawa ISA adalah bercanggah dengan Islam, adalah kerana dasar pandangannya terhadap Islam yang tidak difahaminya dengan baik, sebagaimana dia tidak memahami tujuan ISA bagi Malaysia dan keamanan di dalam Malaysia terutama dalam konteks menjaga kepentingan dan rakyat Malaysia. Kalau saja dia mendalami proses hukum fiqhiyyah maka dia akan mengetahui dengan baik bagaimana perlaksanaan hukum itu dalam konteks memahami adanya proses hukum terutama dalam satu komuniti besar dalam sebuah negara.

Menyatakan ISA bercanggah dengan Islam disebabkan tidak berdasarkani pengetahuan Islam adalah satu tindakan yang tidak Islamik kerana Allah swt memerintahkan kita untuk tidak mengikuti hawa nafsu belaka tetapi berdasarkan pandangan yang telah ditetapkanNya. Dan didalam hukum Islam, ada proses perlaksanaan hukum, ini tidak diketahui oleh YB Saari.

Perlu juga diketahui bahawa adanya penghukuman dan pembelaan diri ketika terjadi proses pengadilan, maka apakah YB Saari akan dapat menjawab bagaimana ketika ada seseorang sedang menghasut rakyat untuk melawan satu sistem pemerintahan, maka sebagai pemerintah, apa yang harus dilakukan oleh pemerintah terhadap orang ini?. Adakah dia tidak perlu ditangkap dan diproses (dari tangkapan hingga jatuhnya hukum) dan kemudian baru di bawa ke pengadilan?.

Atau bagaimana dalam seseorang hendak melaksanakan hukum amar ma’ruf dan nahi munkar, apakah setiap kemungkaran menunggu proses pengadilan dahulu iaitu berlakunya kemungkaran itu dahulu kerana ianya perlu diadili terlebih dahulu ?. Atau perlu dihilangkan kemungkaran tersebut lebih dahulu, yang bererti menghentikan pelaku dari perbuatannya, baru kemudian membawanya ke pengadilan……bagaimana hukum Islam itu…dalam kefahaman Saari?.

Friday, May 8, 2009

KES LIWAT ANWAR & CITA-CITA MENJADI PM PUNCA PERGOLAKAN POLITIK PASCA PRU12.

Salam,

Berbanyak maaf kalau saya katakan pergolakan politik tanahair dari selepas pilihanraya ke 12 hinggalah sekarang adalah kerana Anwar masih gagal menjadi PM serta cubaan beliau untuk mengalihkan perhatian umum terhadap kes liwatnya.

Setiap kali menjelang perbicaraan kes liwatnya, akan ada sesuatu yang "menggemparkan" kita dari siri pilihanraya kecil Permatang Pauh khususnya hinggalah projek 16 September. Semuanya ada kaitannya dengan Anwar.

Terkini ialah politik Perak. Lompat parti yang dipopularkan Anwar akhirnya makan tuan bila berlakunya lompat parti di Perak yang menyaksikan Kerajaan PR rebah di bumi Perak. Yb Haniza Adun Taman Medan dalam rancangan Sudut Pandang Astro Awani mengatakan yang popularkan lompat parti adalah Anwar tetapi siapa yang melakukan dulu? Seolah-olah lompat parti tidak menjadi kesalahan jika ianya dilakukan oleh wakil rakyat BN ke PR dan bukan PR ke BN!

Andaikata lompat parti 16 September tempohari berjaya maka YB Haniza tidak akan mengatakan apa yang berlaku itu sesuatu yang salah kerana ia berjaya dilakukan PR. Tetapi dek kerana mereka gagal melakukannya maka apa yang berlaku di Perak adalah haram dan berdirinya Kerajaan BN di Perak adalah kerajaaan haram! Maka kesimpulannya benar atau salahnya sesuatu perkara adalah melihat siapa yang melakukannya BN atau PR....begitulah perangai mereka.

Yb Johari Abdul Ahli Parlimen Sg. Petani pula dalam rancang Sudut Pandang atas tajuk Pasca 16 September pula mengatakan bahawa mereka minta mengadap DYMM Yang Dipertuan Agong untuk menyerahkan nama ahli Parlimen BN yang telah bersetuju untuk lompat parti bagi menjamin proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar! Itu apabila BN lompat ke PR tetapi apabila PR lompat ke BN, mereka MOHON DERHAKA !

Maka Institusi Raja hanya terpakai apabila menyebelahi pihak mereka bukan sebaliknya.

Polis jangan diperalatkan oleh kerajaan. Begitulah selalu kita dengar apabila pihak Polis mengambil tindakan terhadap mereka sehinggakan kita mendengar bahawa institusi Polis sudah tidak boleh dipercayai lagi. Tetapi yang peliknya, beribu laporan polis telah mereka buat sehinggakan jika mereka dijentik kalau boleh mereka mahu membuat laporan polis juga. Maka suatu pertanyaan, kalau sudah hilang keyakinan terhadap polis, mengapa buat laporan lagi?, oooh mungkin mahu mencuba nasib kot-kot polis menyebelahi mereka pula !

Sebenarnya banyak lagi yang mahu dinyatakan perihal PR ini yang semakin hari semakin hilang fokus untuk lebih menumpukan kerja-kerja pengisian kemenangan PRU12 tempohari. Apa yang ada ialah pergolakan demi pergolakan bagi mensensasikan isu agar mereka dapat mempersepsikan kepada rakyat BN yang membuat masalah selama ini.

Akibat berlaku sesuatu perkara adalah bersebab. Dan sebabnya ialah mahu berkuasa dan mengalih perhatian dari isu liwat yang bakal dibicarakan tidak lama lagi.....kalau tak percaya tunggulah nanti menjelang perbicaraan kes Liwat......tunggu.......

Tuesday, May 5, 2009

"UNITY GOVERNMENT" Lebih Berpotensi Untuk Kemajuan Islam Daripada Pakatan Rakyat.

Salam,

PAS harus segera duduk dan berbincang apakah solusi terbaik untuk PAS dalam menghadapi kemelut hala tuju parti mereka iaitu di antara bergerak dengan ide "unity government" atau bersama Pakatan Rakyat yang didominasi Anwar sebagai ketua pembangkang.

Persoalannya , apakah hala tuju dan matlamat PAS?

1. menegakkan negara Islam
2. Menjatuhkan UMNO

Jika negara Islamlah yang mahu ditegakkan maka "unity government"lah SOLUSINYA. Mengapa?

Konsep penegakkan sebuah negara Islam bukanlah semudah meletakkannya sebagai matlamat perjuangan parti. Sebagaimana yang pernah saya tulis dahulu ia perlukan banyak persyaratan yang ditetapkan oleh Islam sendiri. Walaupun PAS mungkin menganggap mereka telah cukup syarat, tetapi penolakan non-muslim atas terbentuknya negara Islam juga adalah suatu persyaratan yang perlu terpenuhi terlebih dahulu sesuai dengan konsep tiada paksaan di dalam Islam.

UMNO dengan kuasa yang ada serta pengalaman yang luas memerintah sebuah negara adalah wadah yang amat sesuai bagi tujuan menerangkan matlamat perjuangan menegakkan negara Islam ini kepada non-muslim dan tentunya bukan perlaksanaan yang tanpa persetujuan non-muslim.

Maknanya, proses penerangan berkaitan negara Islam ini akan lebih efektif jika yang melaksanakannya adalah kerajaan yang memerintah dan proses ini akan berterusan sehinggalah mencapai suatu peringkat iaitu apakah negara Islam diterima rakyat atau tidak. Ini penting dan ini tidak keluar dari uslub dakwah Islamiyah serta lebih berhemah dan berhikmah dalam perlaksanaan Islam.

Ini membuka suatu jalan untuk PAS memikirkan "Unity Government" sebagai alternatif bagi matlamat Islamnya itu. Peluang bersama UMNO juga adalah peluang terbaik melakukan pendekatan politik yang menjurus ke arah penyatuan pemikiran demi masadepan Islam dan Melayu.

Apakah ada yang lebih baik dari "Unity Government" UMNO-PAS ini?

Namun demikian, jika matlamat PAS hanyalah untuk melihat UMNO dijatuhkan, maka jelaslah PAS bukan sebuah parti yang boleh diharapkan untuk menerajui perjuangan Islam. Dalam keadaan sekarang ini pun PAS telah terikut agenda politik Anwar serta lari dari matlamat asalnya.

Suara Anwar adalah suara dendam dan mahukan kuasa dengan apa carapun. Jatuhnya UMNO dan menjadi PM adalah penting bagi Anwar walaupun Islam dan Melayu hancur di tanahair sendiri.

Bayangkan, habis seluruh negara porak peranda semenjak sedikit kuasa diperolehi dalam PRU12. Dari mimpi 16 September, isu lompat parti, pilihanraya-pilihanraya kecil dan terkini pergolakan di dalam PAS, semuanya angkara politiknya Anwar.

Maka PAS harus serius berfikir dan terus berfikir sebelum hancur dan hanyut dibawa arus Anwar.....arus Liberal tajaan Amerika !

Friday, May 1, 2009

PAS DI ANTARA MATLAMAT PERJUANGAN DENGAN JATUHKAN UMNO

Salam

Matlamat yang jelas perlukan fokus serta program yang tuntas ke arah pencapaian matlamat tersebut. Jika matlamatnya untuk menegakkan keadilan maka programnya perlu ke arah itu disamping kerja-kerja pencegahan dari halangan-halangan untuk sampai kepada sesuatu matlamat.

Parti yang meletakkan Islam sebagai matlamat juga tidak terkecuali dari memfokus serta mengadakan program ke arah itu.

Adalah salah jika sesebuah parti yang inginkan Islam diletakkan atas segala-segalanya namun dalam perjalanan politiknya Islam hanya digunakan apabila perlu. Maknanya dalam apa keadaan pun Islam adalah teras segalanya dalam sesebuah parti yang bermatlamatkan Islam.

Perlaksanaan Islam mempunyai banyak halangan baik datangnya dari musuh malah dari dalam sendiri serta kadang.kadang diri sendiri yang menjadi halangan.

Halangan dari musuh jelas tapi halangan dari dalam serta diri sendiri kadang kala tidak jelas malah tidak dirasai oleh emnpunya diri sendiri.

Tidak cukup ilmu adalah salah satu yang penting yang menjadi halangan terbesar.

Ilmu politik, strategi, ekonomi serta hukum ahkam Islam yang tidak dikuasai adalah punca terjadi kecelaruan dalam berpolitik.

Jika kita melihat apa yang terjadi di dalam PAS berkaitan isu kerajaan campuran Umno-Pas maka Pas gagal untuk membaca pemikiran politik Presidennya sendiri dan dalang-dalang yang berimamkan Anwar sudah tentu bekerja keras agar ide ini tidak sampai terlaksana.

Potensi mana yang lebih besar untuk menjalankan Islam, dengan kerjasama bersama Umno atau PR?

Apakah dengan hanya mendengar Nga Kor Ming membaca Al Quran ianya menjadikan PR lebih berpotensi besar dari UMNO yang telah membuat pelbagai kerja-kerja Islam termasuk mewujudkan Perkim yang bukan hanya berjaya menarik bukan Melayu memeluk agama Islam malah berjuz-juz ayat Al Quran telah dapat dibaca dan dihayati sehingga menarik ramai lagi ke arah Islam.

Dari segi potensinya, Umno mempunyai prasarana yang cukup-dengan kuasa politik yang ada, pelbagai strategi boleh diatur ke arah menegakkan Islam.

Tetapi ia ditolak begitu sahaja oleh PAS atas alasan serta syarat yang dikemukakan. Yang penting bagi mereka ialah Umno dijatuhkan dan kemudian kerajaan baru PR akan juga meletakkan matlamat Islamnya bersama ahli dalam pakatan PAS-PKR-DAP- Semudah itu?

Tidak lama lagi kita akan dengar bagaimana PAS menghadapi situasi ini dalam keadaan Presiden dan Mursyidul Am tidak bersependapat.

Akhirnya, Anwar juga yang untung.....

Popular Posts