Tuesday, July 28, 2009

DRMAZA PENGEMUDI BAHTERA PERUBAHAN MINDA YANG INGIN BELAYAR SEORANG DIRI SAHAJA DI LAUTAN YANG LUAS.

Salam,

Agak panjang tajuk kali ini dan menyentuh lagi tulisan Dr Maza berkaitan wahhabi. Saya ingin mengajak pembaca berlaku adil untuk kita sama-sama melihat kembali tulisan Dr Maza tempohari:-

Apakah Benar Wahhabi Merupakan Misteri Di Malaysia?
Jawapan atas tulisan : Misteri Wahhabi di Malaysia- Dr Maza.



Dr Maza menulis :
Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).
Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.

Jawapan saya :-

Pandangan ini sebenarnya adalah berdasarkan oleh tinjauan lapangan dengan adanya kelompok tajdid terutama dengan munculnya kelompok Al Qaidah yang memang dasar pergerakannya dengan adalah dasar pandangan Wahhabi. Termasuk mereka yang tertangkap di Saudi yang menjadi pusat Wahhabi itu sendiri. Pada mulanya memang Muhammad Abdul Wahhab menjadi maskot ulama untuk pengembangan Dinasti Al Saud, tetapi sekarang wahhabi melihat bahawa kerajaan Saudi sudah meninggalkan ajaran asli. Mereka bergerak dengan nama Tajdid (pembaharuan), Salafi. Apapun namanya, semua gerakan Wahhabi masih dibawah tajaan dan biaya Dinasti Al Saud.

Dr Maza menulis:

Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan jelas. Kerana, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu.

Jawapan saya:
Bagaimana tidaknya?. Pengikut kelompok ini, menolak setiap pandangan ulama sekalipun ulama tersebut adalah ulama mazhab dan ulama yang kontemporer dan moden, seperti pandangan Qardhawi yang mengatakan : “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). (saya gunakan rujukan yang sama dengan DRMAZA !)

Di sesetengah tempat wahhabi menuduh orang lain sebagai pelaku amalan-amalan khurafat. Mereka membawa dalil ulama tempatan yang menolak kenduri arwah (menurut wahhabi adalah khurafat) seperti Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”.

Padahal terdapat dengan jelas seperti di Indonesia ada kelompok Nahdahatul Ulama dan Muhammadiyah. Nahdahatul Ulama adalah kelompok yang memiliki ulama yang tidak sedikit dan juga memadai untuk dikatakan ulama, mereka membolehkan amalan kenduri arwah, bertentangan dengan Muhammadiyah yang mengaku sebagai gerakan tajdid. Kenapa harus dipertentangkan?, kerana ijtihad masih terbuka dan kita boleh sahaja berbeza pendapat, dengan dasar yang ada di dalam kitab (begitu pandangan ulama Nahdahatul Ulama).

Wahhabi juga adalah kelompok yang menolak sesetengah kelompok agama pula, yang mana mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang dikatakannya "tertolak' dengan memberikan predikat Israeliyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Jadi kelompok Wahhabi ini hanya menyatakan dirinya sendiri yang benar, dan kalau ada yang berbeza dengannya maka dikatakan sebagai pengikut Israeliyat dan bercanggah dengan Islam. Mereka menuduh hal itu, sekalipun orang beramal dan berkeyakinan dengan bersandarkan nas Qur'ani. Kita tidak menafikan memang ada yang Israeliyat, tetapi ulama Islam secara keseluruhan tidak sepakat hadis mana yang Israeliyat atau yang bukan, bukan hanya wahhabi sahaja yang boleh menentukan suatu hadis itu Israeliyat atau bukan.

Lebih buruk lagi, wahhabi menuduh aliran tarekat, atau sebagai pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, dan juga mentohmah mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan Hadis sahih serta tidak bersetuju dengan tarekat itu akan disenaraikan sebagai wahhabi. Ini memang ada kebenarannya, kerana hanya wahhabi yang melakukan tindakan seperti itu. Mereka tidak mahu menerima sebarang nama tarekat atau melihat kembali dasar tarekat dari Qur'an dan Hadis. Bagi golongan wahhabi semua tarekat adalah bid'ah, dan mereka katakan sebagai mengajarkan ajaran sesat dan keluar dari Quran dan Hadis sahih. Seolah-olah hanya wahhabi yang dapat memahami Qur'an dan menentukan hadis mana yang sahih?.

Begitu juga Wahhabi - versi Drmaza- menganggap dirinya sebagai seiring dengan pandangan modernism dan rationalism kerana beliau berpendapat: "Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.

Jika DrMaza dapat mengamalkan pandangannya atau beramal dengan apa yang dia ucap, keluasan menerima pandangan, maka semua tulisan yang ada dalam –Misteri Wahhabi di Malaysia- sudah terbatal dengan dalilnya sendiri, kerana tulisan itu membuktikan dia tidak menerima pandangan orang lain yang masih terbuka kemungkinan tidak seperti apa yang beliau tuduh.

Dr maza menulis : Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Ini sepenuhnya benar, kerana tulisannya Misteri Wahhabi di Malaysia menolak semua pandangan dan pendapat ulama, kelompok dan juga masyarakat lain yang tidak sependapat dengannya. Tulisan itu sendiri menjadi dalil sifat Wahhabinya DrMaza.

Dr Maza menulis lagi:
Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang.

Ini tidak sepenuhnya benar, namun jika kita teliti fahaman wahhabai ini, memang Wahhabilah dengan semua dakwaannya sebagai pembaharu dan pembaharuan, merupakan usaha untuk penentangan terhadap apa yang sebenarnya yang sudah ada di dalam Islam. Gerakan ini sedang merosakkan Islam dari dalam Islam dengan mengibarkan bendera yang berslogankan "Pembaharuan/bahtera pembaharuan minda dsb", yang mana sebenarnya tidak lain inilah bid'ah itu sendiri. Dengan alasan ini kebanyakan umat Islam menolak gerakan atau aliran Wahhabi ini.


Lihatlah ini:
Dalam Kitab Abdurrahman bin Muhammad bin Qosim al-Hambali an-Najdi berjudul “Ad-Durar as-Saniyah”: Muhammad bin Abdul Wahab menyatakan: “…Dahulu, aku tidak memahami erti dari ungkapan Laailaaha Illallah. Kala itu, aku juga tidak memahami apa itu agama Islam. (Semua itu) sebelum datangnya anugerah kebaikan yang Allah berikan (kepadaku). Begitu pula para guru(ku), tidak seorangpun dari mereka yang mengetahuinya. Atas dasar itu, setiap ulama “’al-Aridh’” yang mengaku memahami arti Laailaaha Illallah atau mengerti makna agama Islam sebelum masa ini (anugerah kepada Muhammad bin Abdul Wahhab, ) atau ada yang mengaku bahawa guru-gurunya mengetahui hal tersebut maka ia telah melakukan kebohongan dan penipuan. Ia telah mengecoh masyarakat dan memuji diri sendiri yang tidak layak bagi dirinya.” (Lihat: Ad-Durar as-Saniyah jilid 10 halaman 51 )

Tidakkah dapat dilihat di sini bagaimana Muhammad bin Abdul Wahhab telah melakukan:

a- Mengaku hanya dirinya (monopoli) selama ini yang faham konsep Tauhid dari kalimat Laailaaha Illallah dan telah mengenal Islam dengan sempurna.

b- Menafikan pemahaman ulama dari golongan mana pun berkaitan dengan konsep Tauhid dan pengenalan terhadap Islam, termasuk guru-gurunya sendiri dari mazhab Hambali. Apatah lagi dari mazhab lain.

c- Menuduh para ulama lain yang -versinya- tidak memahami konsep Tauhid dan Islam telah melakukan penyebaran ajaran batil, ajaran yang tidak berlandaskan ilmu dan kebenaran.

d- Hanya dirinya yang mendapat anugerah khusus Ilahi itu. Dan dirinya pulalah yang berhak mendapat pujian, baik di dunia mahupun di akhirat. Kerana tentu kebatilan -versinya- mustahil akan menjanjikan keselamatan dan kebahagiaan sejati di akhirat.

Beginilah Wahhabi dan ini bukan misteri.

Friday, July 24, 2009

ANTARA NYALAAN LILIN NIZAR DAN BACAAN AL QURAN NGA KOR MING !: PERPADUAN ALA PAKATAN RAKYAT,

Salam,

Memang benarlah keutuhan hubungan di antara parti-parti dalam PR.

1. Ketika Nga Kor Ming membaca ayat Al-Quran, Nik Aziz kata tidak mengapa kerana ini permulaan untuk Nga menghayati Islam!

2. Baru-baru ini mantan MB Perak pula dilihat melakukan permulaan untuk menghayati Buddha mungkin!

3. Husam Musa berkata ia bukan acara keagamaan ia adalah protes atas kematian Teoh.. Maka kita mahu bertanya kepada Husam, mahu protes kepada siapa? Dah tahu ke siapa yang bersalah atau yang menyebabkan kematian Teoh? Apa jenis protes dengan hanya tunduk sugul serta memegang foto si mati sambil menyalakan lilin? Apakah cara itu menyerupai acara keagamaan buddha?

4. Saya tidaklah sampai mengatakan ianya perbuatan syirik namun saya melihatnya dalam konteks reaksi serta respon-respon pemimpin-pemimpin PAS yang mendakwa mereka pejuang Islam dan bagaimana boleh "terlanjur" dalam perbuatan ini oleh orang kuat mereka Nizar. Setakat ini Nik Aziz membisu.....

5. Sebenarnya inilah hasil dari suatu perbuatan bawah sedar dimana, matlamat utama mereka hanyalah ingin menjatuhkan UMNO dengan apa cara sekalipun. Jika Islam yang mereka perjuangkan maka mereka akan sedar dan berjaga-jaga dalam melakukan sesuatu perbuatan yang berbentuk keagamaan. Namun demi rakan-rakan dalam Pakatan yang pelbagai agama, mereka telah alpa dengan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam yang penting solidariti dalam menentang UMNO dan BN !.

6. Nga Kor Ming dikatakan mula menghayati Islam apabila menggunakan ayat Al Quran untuk menghentam UMNO. Apabila Nizar menyalakan lilin pula Husam mengatakan ianya sebagai protes. Kalau kita lihat Nizar ini seorang yang agak agresif apabila menyatakan apa-apa protes sepertimana yang dia buat dalam Parlimen ketika mengangkat sumpah dengan jeritan Bubarkan DUN Perak! Tapi hairan protes dia kali ini tidak ubah seperti upacara keagamaan menghormati si mati !

7. Sebenarnya bukan pertama kali upacara keagamaan dihadiri oleh pengunjung pelbagai agama. Kita lihat ketika penamaan calon di Manek Urai, ketika doa dibaca, Lim Kit Siang hanya tunduk dan tidak pula mengangkat tangan. Hal yang sama boleh dilakukan Nizar dengan hanya tunduk tanpa memasang lilin ! Namun mungkin kerana ingin menunjukkan PAS bukan parti perkauman maka lilin harus juga dipegang !

nizar oh nizar...seperti lilin membakar diri..

mungkin ini tafsiran PAS tentang Kerajaan Perpaduan atau mungkin 1 Malaysia.....

Tuesday, July 21, 2009

Teoh Beng Hock : Kematiannya Dijadikan Modal Politik Pakatan Rakyat!

Salam,

Terlebih dahulu ucapan takziah untuk keluarga mendiang Teoh Beng Hock atas pemergiannya yang penuh misteri dan belum terurai.

Namun demikian saya ingin mengulas beberapa perkara yang saya yakin merupakan taktik Pakatan Rakyat untuk mengeksploitasi kematian beliau untuk dijadikan modal politik mereka yang semakin hari semakin sensasi dan pernah saya tulis bahawa menjelang kes Liwat Anwar Ibrahim akan ada perkara-perkara yang dilakukan untuk mengalihkan pandangan orang kepada kes berkenaan.

Kematian Teoh digembar-gemburkan seperti ada yang tidak kena dan lebih parah lagi cuba dipersepsikan bahawa SPRMlah yang bertanggungjawab. Peristiwa Ronnie Liu memekik-mekik serta menendang pintu di bilik mayat ala "kongsi gelap" benar-benar melambangkan peribadi sebenar beliau itu.

Demonstrasi dihadapan pejabat SPRM oleh PR menambahkan lagi unsur-unsur "sensasi" agar rakyat terfikir-fikir mesti ada yang tidak kena.

Perlakuan di Tertuduh dalam kes liwat memegang alat pembesar suara dengan lengkap berbaju melayu berucap dihadapan penunjuk perasaan amat menjengkelkan kerana si tertuduh itu cuba menjadi hero bagi membela kes yang baru dalam keadaan diri sendiri sedang menghadapi kes liwatnya.

Anwar telah membuat 2 laporan polis dalam keadaan isu Teoh heboh diperkatakan dan persoalannya modus operandinya sama sahaja setiap kali menjelang kes liwatnya. Kalau sebelum ini laporan polis telah dibuat ke atas KPN TS Musa Hasan dan TS Gani Patail kali ini buat lagi laporan polis seolah-olah memang beliau adalah mangsa konspirasi sepanjang hayat...selagi hayat dikandung badan.

TG Datuk Nik Aziz mengeluarkan rasa hairannya Teoh sebagai tetamu SPRM bagaimana boleh mati ketika jadi tetamu SPRM kerana dalam Islam tetamu wajib dihormati dan dilindungi.

Apa nak dihairankan Tok Guru kerana saya ada jawapannya:-

1) Teoh bukan tetamu tetapi saksi suatu kes salah guna kuasa jadi ada bezanya.

2) Kalaupun dia tetamu, apakah tetamu HARAM/MUSTAHIL mati dirumah yang dia menjadi tetamu? Dan apakah tuan rumah harus dipersalahkan jika tetamu mati dalam keadaan belum tahu siapa punya angkara? Tok Guru harus ingat dalam Islam juga tidak boleh buruk sangka sesama Islam lebih-lebih lagi dalam kes bunuh seperti ini. jadi simpanlah rasa hairan Tok Guru dan saya juga hairan kenapa Tok Guru tolak isu perpaduan dengan UMNO? Apa hujah Tok Guru tolak perpaduan, ayat, hadis mana Tok Guru pakai?

3)Saya rasa Tok Guru juga harus dipertanggungjawabkan jika ada kematian di negeri Kelantan jika mahu digunakan hujah Tok Guru ini.

4) Sedangkan jemaah haji juga Tamu Allah pun tidak lepas dari sunnatullah kematian maka tuan rumah tidak boleh dicurigai jika tetamu mati dipremis miliknya.

JIKA ( ingat jika ! ) KITA MAHU JADIKAN PERISTIWA INI SEBAGAI MODAL POLITIK UNTUK MENUDUH PR TERLIBAT DALAM PEMBUNUHAN TEOH, KITA PUN BOLEH !:-

1) Teoh menyimpan rahsia penyelewengan PR di Selangor maka tiada jalan lain beliau harus dibunuh untuk jangan terus membocorkan rahsia.

2) Adalah dipercayai setelah disoal siasat, Teoh takut untuk keluar dari pejabat SPRM kerana telah diugut kerana membongkar rahsia ketika disoal siasat.

3) PR HARUS MEMBESAR-BESAR isu ini dengan demo, tendang pintu, wajib hadiri pengkebumian Teoh, membuat laporan polis dan lain-lain bagi mengelabui mata rakyat akan keterlibatan mereka dalam pembunuhan Teoh ini. Umpama seperti seseorang itu terkentut, maka dia akan terpekik bertanyakan," siapa yang kentut ni?" agar terlepas menjadi suspek utama untuk dituduh terkentut.

4) Siasatan SPRM serta kes kegiatan kongsi gelap oleh ADUN PR Selangor menguatkan lagi pembunuhan TEOH ada kaitannya dengan kongsi gelap..

5) SPRM tidak boleh dituduh kerana kematian Teoh merugikan SPRM dalam keadaan Teoh merupakan saksi kes mereka. Yang harus takut dan mahu beliau dibunuh, pastilah yang tertuduh!

Begitulah serba sedikit isu pembunuhan Teoh jika sesiapa sahaja mahu menjadikannya modal politik, maka yang penting disini bukan hanya tahu mengeluarkan kenyataan tetapi membuktikannya.

Saya tidak hairan jika selesai kes ini, maka kerajaan tetap akan dipersalahkan kerana yang penting meraka dapat menanamkan rasa benci rakyat seolah-olah kerajaan sudah terlampau zalim hingga sanggup melakukan pembunuhan ke atas saksi-saksi penting...

Saturday, July 18, 2009

GERAKAN PERPADUAN UMMAH LEBIH PENTING DARI GERAKAN MANSUH PPSMI !

Salam,

Bunyinya macam lain sedikit tetapi memang ianya ditujukan kepada pejuang-pejuang bahasa yang berada di dalam GMP Gerakan Mansuh PPSMI.

Baiklah, GMP telah berjaya dalam misinya memartabatkan bahasa Melayu yang mereka lihat sebagai faktor membentuk jati diri Melayu, agar Melayu tidak hilang kemelayuannya serta survival bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri tidak terjejas dek kerana PPSMI. Pembaca boleh rujuk semua blog atau laman web dan melihat kronologi perjuangan GMP ini yang akhirnya membuahkan hasil yang mereka mahu.

GMP yang dibelakangnya Sasterawan Negara, novelis, ahli politik dan pelbagai lagi amat dikagumi semangat mereka sehinggakan wajah-wajah yang tidak pernah kita lihat berdemonstrasi dijalanraya kita dapat lihat ketika itu. Wajah A Samad Said misalnya yang tidak pernah kita lihat berdemo dijalanraya serta berucap atas pentas pembangkang, kita dapat lihat semuanya ini dalam isu PPSMI.

APAKAH SALAH, MEREKA JADI BEGITU ? Tidak sama sekali kerana mereka menggunakan ruang semaksima mungkin bagi memperjuangkan bahasa Melayu yang tercinta.

Sekarang tiba pula isu kerajaan perpaduan UMNO-PAS. Dalam pandangan saya, survival bangsa dengan bahasanya adalah terletak kepada kerajaan yang memerintah sejauhmana ia serius dalam mempertahankan bangsa dan bahasa. Dalam erti kata lain, kerajaanlah berperanan utama dalam hal ini.

Melayu di Malaysia ketika ini berada dalam keadaan paling lemah dalam ertikata lemah dari segi politik akibat perpecahan. Tidak kiralah samada kita beranggapan UMNO yang lemah, PAS kuat atau sebaliknya namun jika isu Melayu-Islam yang ingin kita lihat maka kita berada pada tahap yang paling lemah.

Belum pernah kita lihat sebelum ini KITA selemah ini. Maka, dimana dan apa yang dilihat oleh pejuang-pejuang GMP dalam isu kerajaan perpaduan ini? Baiklah kita gugurkan kerajaan cuma bincang berkaitan perpaduan.

Seharusnyalah, pejuang GMP sekali lagi bersingsing lengan turun kemana sahaja bagi melihat perpaduan Melayu ini terrealisasi! Mengapa?

Apakah cukup hanya Sains dan matematik sahaja kembali ke Bahasa Melayu dan habis tanggungjawab kita? Apakah survivial politik Melayu tidak penting dan kita khayal sehingga suatu hari nanti memang kita fasih berbahasa Melayu tetapi tiba-tiba kuasa Melayu hilang dan bukan hanya sains dan matematik kembali ke bahasa lain malah semuanya akan kembali kepada bahasa lain paling tidak bahasa Inggeris.

Maka, ayuh para pejuang GMP lakukan sekali lagi, bercakaplah dipentas manapun walaupun saya yakin Pakatan Rakyat tidak akan memberikan platform bagi isu ini disuarakan kerana ianya bukan seperti isu PPSMI menguntungkan mereka tetapi isu perpaduan ini merugikan mereka khususnya PKR dan DAP !

Saya tunggu reaksi PAK Samad dan rakan-rakan...

Monday, July 13, 2009

HADHARAH SESUATU YANG MASIH KABUR .

Salam,

Selama menulis didalam blog ini atas nama purehadharist dan menulis buku pertama Prinsip-Prinsip Islam hadhari maka saya seringkali berfikir mengapa sukar untuk memahamkan bahawa Islam Hadhari ke atau Hadharah Islamiyyah ke, semuanya itu adalah sesuatu yang ada di dalam Islam dan tidak menyalahi sebarang prinsip-prinsip di dalam Islam.

Sehingga hari ini, tiada siapa lagi yang boleh membuktikan dimana salahnya Islam Hadhari termasuk Presiden PAS yang menulis buku HIBIH!

Kalau saudara tidak bersetuju, maka bererti saudara-saudari belum membaca blog ini secara keseluruhannya.

1) Ada yang mengatakan istilah Islam Hadhari mengelirukan justeru itu tidak harus diperjuangkan kerana bimbang ianya disalahertikan

2) Ada yang mengatakan ianya sesat, liberali,sekular dan sebagainya kerana tiada suatu perkataan Islam Hadhari pun di dalam Al-Qur'an sepertimana tiada perkataan PAS di dalam Al-Qur'an (sekadar contoh) tapi hairan perjuangan PAS dikatakan Islam oleh penyokongnya.

3) Ada yang mengatakan yang sebenarnya Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari kerana tidak menepati bahasa Arab.(telahpun saya jawab)

Maka,

apa yang sebenarnya berlaku? Rupa-rupanya perkataan hadharah itu sendiri masih kabur dan mungkin tidak difahami oleh para pembincangnya...

Jika mereka faham maka, hadharah itu sekalipun di"Islam Hadhari"kan tidak menjadi masalah.

Konsep Hadharah bukan tamadun, bukan "civilization" dan bukan madani jika hendak didefinisikan seterusnya di"konsep"kan. Maka jika kita menyamakannya semua itu, maka kita akan terus-terusan tidak dapat memahami apa itu hadharah Islamiyah atau Islam Hadhari.

Allah, wahyu (Islam), Rasul dan Alam ini apabila berinteraksi akan terjadinya Hadharah!

Maka, Islam tidak pernah ada tanpa hadharah yang menyebabkan Islam itu hadhari dan hadharah itu Islamiyyah!

Kalau ia difahami sebagai tamadun, madani dan civilization dalam pengertian wujudnya bandar, sistem sosial dan sebagainya maka kita telah mengatakan Islam sebelum wujud semuanya itu adalah tidak berhadharah!

Sekadar lontaran idea untuk dibincangkan selanjutnya...hanya yang murni kekal....purehadharist!!!

Thursday, July 9, 2009

PPSMI Kemenangan UMNO JOHOR !.

Salam.

Apabila PPSMI dimansukhkan sepenuhnya 2012 maka saya percaya ramai yang akan mendakwa merekalah yang bertanggungjawab yang membuatkan kerajaan mengambil keputusan memansukhkannya.

Maka saya di sini ingin juga menyatakan bahawa UMNO Johor adalah yang pertama membantah PPSMI ini melalui beberapa pembentangan kertas kerja serta ucapan wakil UMNO Johor dalam perhimpunan Agung UMNO.

UMNO Johor telah menyatakan dengan tegas dan biasanya suara penentangan dari dalam lebih diambil perhatian kerana ia adalah juga suara rakyat khususnya negeri Johor yang masih dikuasai BN.

Maknanya, saya bukan ingin mendakwa bahawa UMNO Johor satu-satunya yang berjaya dalam bantahannya tetapi ia adalah faktor yang penting untuk dinyatakan bahawa peranan UMNO Johorlah yang awal diambilkira dalam isu PPSMI ini.

Ini fakta dan orang yang bertanggungjawab menyuarakannya adalah YB Puad Zarkashi yang mewakili UMNO Johor dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO yang sekarang ini merupakan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Suara rakyat Johor ini dibawa semasa Konvesyen UMNO Johor yang biasanya dilakukan sebelum perhimpunan Agung Umno di PWTC.

Maka yang penting di sini, adalah akhirnya nasib anak bangsa kita akan datang akan terbela juga akhirnya.

*******Dalam hal perpaduan Melayu, saya teringin juga melihat Sasterawan-Sasterawan Negara membuat kenyataan keras menggesa diadakan pendekatan UMNO-PAS demi umat Islam dan Melayu kerana jika hendak dibandingkan isu PPSMI ini, isu perpecahan Umat Melayu lebih cepat menghancurkan nasib umat Islam/Melayu berbanding kesan jangkapanjang PPSMI. Jadi, perpaduan juga penting untuk disuarakan.....ayuh...agenda kita seterusnya.

Monday, July 6, 2009

Dr MAZA : SUDAH GAHARU CENDANA PULA, SUDAH WAHHABI..DIKATA MISTERI PULA...

Salam,

Membaca tulisan Dr Maza mantan Mufti Perlis tentang kemisterian wahhabi yang mana beliau dakwa merupakan sebuah misteri kerana yang menuduh seseorang itu wahhabi tidak tahu apa itu wahhabi adalah suatu yang beliau sendiri "generalize".

Sebenarnya tiada misterinya wahhabi ini baik diluar negara ataupun di Malaysia. Cuma mereka tidak mahu dikenali sebagai wahhabi kerana ingin "memaksa" mereka dikenali sebagai pembawa Islam yang tulen !

Kalau mereka mahu hak ekslusif untuk dikatakan Islam tulen maka semua mazhab dan aliran pemikiran juga mahu perkara yang sama.

Yang menjadi masalah, mereka "wahhabi" ini mahu dikatakan mereka sahaja Islam yang tulen dan orang lain semua tidak tulen, mengamalkan bid'ah, khurafat, syirik dan sebagainya.

Ini adalah berdasarkan fakta ! Kalau di Pakistan, mereka "berhujah" dengan membunuh musuhnya baik dengan serangan berani mati mahupun membunuh sesama Islam yang mereka kata bukan Islam atau telah kafir. Kalau di Saudi pula habis semua orang dikatakan syirik dan bid'ah apabila menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah dengan mengusap makam Rasulullah dan menziariahi Baqi' walaupun bukan atas niat menyembah makam-makam tersebut.

Kalau di Malaysia pula, orang-orang seperti Dr Mazalah yang terkehadapan mengutarakan "pemurnian akidah" yag mereka dakwa merekalah yang murni....


Nama serta istilah tidak sepenting isinya. Ia boleh bernama Wahhabi, Salafi, Syiah dan lain-lain namun yang menentukan tulen atau tidaknya, ialah isi ajarannya.

Jika ajarannya mentajsimkan Allah swt maka sudah mahsyur ia adalah ajaran wahhabi. Kalau mengatakan kenduri arwah itu bid;ah, maulidurRasul itu bid'ah dll maka sahlah itulah wahhabi dan salafi maka tiada misteri di sini.

Dalam dunia kekosongan para Rasul, maka tiada siapa boleh mendakwa dia tulen 100% kerana tiada legitimasi yang akan kita perolehi dari "langit" dalam period tanpa Rasul ini. Dan ini adalah diantara sebabnya konsep Al-Mahdi itu ada di dalam Islam untuk permurnian akidah yang hakiki bukan dari sesiapa...juga bukan dari Dr Maza...maaf Dr Maza, mana legitimasi kamu? mana hujah kamu?

Saturday, July 4, 2009

SAYA AKAN BERSIARAN LANGSUNG DI ASTRO AWANI 5 JULAI (AHAD) JAM 8.15MLM BERSAMA BLOGGER KUDAKEPANG (DATUK RUHANIE AHMAD (RON) ATAS TAJUK: MEMPERKASA BLOG 1 MALAYSIA (MILIK PM).

Popular Posts