Monday, March 30, 2009

OPTIMIS TERHADAP PERUBAHAN LANSKAP POLITIK TANAHAIR : PILIHANRAYA KECIL PENENtUNyA ?

Salam,

Saya amat sibuk beberapa hari lepas maklumlah terlibat secara langsung dalam penentuan kepimpinan UMNO dan seterusnya negara. Segalanya seperti yang dirancang dan sedikit kekecewaan terhadap keputusan Pemuda Umno dimana sahabat saya YB Datuk Mukhriz Mahathir gagal dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Terubat juga kekecewaan itu apabila melihat Tan Sri Muhyiddin, Datuk Shafie Apdal, Datuk Zahid berjaya dalam perlumbaan jawatan tinggi.

Maka timbul beberapa persoalan, kemanakah UMNO hendak dibawa selepas ini? Bagaimana UMNO harus lakukan untuk menghadapi persepsi buruk yang telah berjaya dibawa kepada rakyat oleh pembangkang? Apakah barisan kepimpinan baru ini cukup jitu dan teguh untuk menghadapinya?

Ada yang berpendapat piliharaya kecil di Kedah, Perak dan Sarawak yang akan memberi petanda bahawa UNNO atau BN telah diterima senmula oleh rakyat. Namun bagi saya ketiga-tiga pilihanraya ini boleh atau tidak menunjukkan rakyat menerima atau tidak semula UMNO dan BN. Ini berdasarkan kepada dua perkara:-

1) rakyat menolak BN dalam PRU12 adalah hanya berdasarkan persepsi
2) rakyat menolak BN dalam PRU12 adalah berdasarkan persepsi dan juga realiti (BN benar2 lemah)

Jika BN menang dalam pilihanraya kecil ini nanti maka jelaslah yang selama ini dan sejak PRU12 lalu, penolakan ke atas BN hanyalah persepsi yang ditimbulkan pembangkang. Ini adalah kerana, dengan hanya umur 7 hari barisan kepimpinan baru mengambil tempat, rakyat dah mula menerima UMNO/BN semula! Ini menunjukkan mood pengundi dipengaruhi hanya persepsi buruk yang ditabur pembangkang semasa PRU12 yang lepas dan pemulihan mood mudah dilakukan.

Jika BN kalah, maka ini membuktikan rakyat benar-benar menolak UMNO/BN berdasarkan realiti dan fakta. Ini adalah kerana, rakyat ingin melihat perubahan dulu baru kembali menyokong UMNO/BN dan adalah mustahil dalam masa 7 hari, rakyat boleh bertukar mood. Perubahan akan dinilai selepas ini.

Kita tunggu keputusannya nanti....

Friday, March 20, 2009

Handalnya Anwar Memperdaya Bijak Pandai Negara

Salam,

Saya bukan tidak setuju akan dikembalikan pengajaran matematik dan sains ke bahasa Melayu semula namun apa yang saya lihat adalah dari sudut lain.

Sejak 1998, apabila Anwar dipecat sahaja maka ada segerombolan cerdik pandai negara menyokongnya dianataranya Dr Chandra Muzaffar, Prof Sy Naguib Al Attas, Dr Hassan Ali, Dr Harun Din dan beberapa nama besar lagi. Setelah beberapa waktu berlalu, ada yang sedar dan ada juga yang masih kekal namun tidak seghairah dulu lagi.

Anwar adalah satu figur yang amat berjaya memberikan seribu keyakinan dan janji serta berjaya memanipulasi suasana politik semasa. Bayangkan dari peringkat bawah rakyat hingga ke seniman negara, profesor dan ahli bijak pandai semuanya terpengaruh dengan "karisma" ANWAR !

Persoalannya, apa akan jadi jika tembelang Anwar terbongkar dan semua orang yang terpengaruh dengannya rasa tertipu?

Apakah semua orang akan merasakan itu semua konspirasi belaka?


Kita akan saksikan semuanya ini tidak lama lagi....

Tuesday, March 17, 2009

UMNO HARUS MEMPERTINGKATKAN CITRA ISLAMNYA

Salam,

Menjelang pemilihan UMNO 2009 yang bakal menyaksikan barisan kepimpinan UMNO yang baru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan apa yang selama ini terpendam yang harus saya luahkan bagi didengar oleh pemimpin-pemimpin baru UMNO kelak.

UMNO dilihat sebagai parti Melayu yang kurang citra Islamnya malah secara berlebihan dikatakan anti-Islam oleh PAS selama beberapa dekad yang berlalu. Kesannya yang sangat mendalam ialah apabila program Islam Hadhari yang begitu baikpun ditolak oleh mereka dek kerana imej UMNO yang dikatakan non-Islamik menurut mereka.

Saya bukan mahu terus menafikannya namun UMNO hendaklah muhasabah diri bagi mencari sisa-sisa kelemahan yang ada untuk terus memacu persada politik arus perdana ini.

Islam yang syumul bukan hanya dapat dilihat melalu cabang-cabang ibadah serta ritual keagamaan semata-mata. Kesyumulan Islam merangkumi semua perkara. Oleh itu, jika soal-soal ibadah dan ritual sahaja diberikan penekanan maka ia telah lari dari roh kesyumulan Islam itu sendiri. Begitu juga jika hanya hudud dan soal mendirikan negara Islam sahaja diberi penekanan tanpa melihat apakah cukup syaratnya (rujuk arkib blog) serta ulama yang mampu mengetuainya maka ia juga lari dari Islam itu sendiri.

Namun demikian, UMNO boleh sahaja mengatakan PAS belum cukup syarat sebagaimana UMNO juga belum tetapi apakah UMNO telah melangkah untuk membuat program-program ke arah mencukupkan persyaratan itu? Lebih parah lagi, apakah UMNO mengimani bahawa perlaksanaan Islam itu wajib dan tidak boleh ditinggalkan?

Baru-baru ini saya telah berjumpa dengan pemimpin UMNO dan menyuarakan hal ini bahawa kita janganlah menjadi seperti PAS yang jahil tentang Islam tetapi meletakkan perjuangan Islam sebagaimana matlamat, samada ikhlas tetapi jahil atau hanya sebagai slogan untuk menarik perhatian rakyat. UMNO juga saya katakan mesti mempertingkatkan citra Islam di dalamnya dengan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang memberikan imej non-Islamiknya seperti hudud tidak boleh dilaksanakan, UMNO tolak hudud dan sebagainya. Yang harus dinyatakan ialah, UMNO faham bahawa perlaksanaan hudud perlu banyak persyaratan mengikut Islam dan setakat ini, kita belum cukup syarat dan UMNO sedang ke arah mempercukupkan syarat. Ini sepatutnya pendirian UMNO.

Maka, ini adalah harapan saya untuk melihat UMNO selepas ini. Persyaratan menegakkan negara Islam termasuk di dalamnya ialah adanya ulamak yang cukup alim (baca: mujtahid), penerimaan rakyat non-Muslim terhadap negara Islam serta tidak menimbulkan anarki akibat tidak fahamnya mereka terhadap negara Islam. Maka, Islam menjaga kemashlahatan umum dan disini letaknya perbezaan UMNO dan PAS. UMNO sebuah parti Islam mesti mempunyai pendirian ini dengan tidak menghilangkan citra Islamnya dengan kenyataan-kenyataan yang memberikan imej non-Islamik seperti menolak hudud dan sebagainya tadi.

Program-program keIslaman haruslah dipertingkatkan, program-program "lagha" harus dihilangkan. Cara hidup perlu diubah.

Pemimpin-pemimpin UMNO harus sedar bahawa mereka adalah juga pemimpin-pemimpin rakyat Malaysia. Maka, hanya bercitrakan Islam dan nilai-nilai murni sejagat, rakyat akan dipimpin dengan penuh ketenangan dan kesuksesan...

Thursday, March 12, 2009

HINDRAF HARUS MELIHAT CHENNAI DAHULU, BARU MALAYSIA

Salam,

Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) harus objektif dalam tuntutan-tuntutan mereka ke atas Kerajaan Malaysia dan melihat terlebih dahulu Chennai, India bagi menimbulkan keinsafan yang mendalam bahawa betapa nasib mereka lebih jauh baik jika dibandingkan dengan bangsa mereka di India sendiri.

Saya baru pulang dari Chennai India dan ini bukanlah pertama kali saya ke sana malah sudah beberapa kali dan pada kali ini saya banyak melihat keadaan sekeliling bentuk kehidupan rakyat India di Chennai.

Persepsi atau realiti bahawa orang-orang berketurunan India tertekan di Malaysia? Mereka menyentuh hampir semua perkara malah sehingga ke Perlembagaan Persekutuan yang telah kita berada di bawahnya selama lebih 50 tahun.

Di Chennai ekonominya rancak namun jurang antara miskin dan kaya begitu lebar. Di Malaysia juga jurang kemiskinannya agak melebar jika kita mahu ambil orang terkaya di Malaysia salah seorangnya berketurunan India dan kita bandingkan dengan yang termiskin dikalangan bumiputera. Masih tidak cukupkah atau tertekankah mereka selama ini?

Di Malaysia, sekolah-sekolah jenis Kebangsaan Tamil tumbuh di serata tanahair tanpa ada protes-protes jalanan dari bumiputera dan kuota politik diberikan mengikut peratusan kaum dan telah muncul menteri yang paling lama berkhidmat dalam kabinet yang terdiri daripada kaum India. Tidak cukupkah ini?

Persoalan penyalahgunaan kuasa serta kelemahan pengagihan kekayaan dikalangan kaum India akibat ahli politik atau menteri kaum India yang gagal menjalankan amanah tidak boleh disalahkan sistem atau Perlembagaan Persekutuan. Kelemahan ini tidak boleh disalahkan DEB dan hak keistimewaan orang Melayu.

Apakah kerana kelemahan ini, maka salahnya bumiputera? Apakah bumiputera boleh menyalahkan orang terkaya kaum India atas kekayaan yang dicapainya yang gagal dicapai bumiputera?

Chennai menyaksikan berribu rakyat tanpa rumah dan pekerjaan yang tidur berselerakan di pantai Chennai dengan bayi-bayi yang baru berumur beberapa bulan. Masih lagi kelihatan orang-orang yang tidak memakai alas kaki atau kasut di tengah-tengah bandar Chennai. Gaji pembantu rumah adalah sekitar RM70 sebulan.

Rumah-rumah murah yang diberikan kepada yang tidak mempunyai rumah ada juga disalahguna dan disewakan kepada orang lain dan tuan rumah sanggup tidur di pantai-pantai dan dibawah-bawah jambatan.

Maka, apa yang hendak diutarakan disini, ialah, kita harus melihat realiti yang telah berlaku sepanjang Malaysia mencapai kemerdekaan dan melihat apakah benar kaum non-bumiputera ini tertindas seperti yang didakwa Pakatan Rakyat.

Jangan kerana sebab yang partial, maka salahnya adalah keseluruhan sistem dan pemerintahan. Janganlah hanya persepsi buruk yang disajian, maka realitinya kita lupakan.

Kalau mahu melihat lambang kebebasan kaum non-bumiputera di Malaysia maka lihatlah patung-patung atau tokong-tokong yang "maha" besar saiznya jika hendak dibandingkan dengan komposisi kaum serta sejarah jadinya mereka sebagai rakyat Malaysia.

Ini bukan soal perkauman, namun inilah keadilan sosial yang hendak dinyatakan bukan kesamarataan tetapi keadilan. Tidak akan boleh dikatakan adil jika orang Melayu masih terkial-kial merempuh onak dan duri untuk mencapai ekuit 30%, maka non-bumiputera terpekik-pekik meminta 50% sedangkan pada hakikatnya mereka telahpun mencapai lebih 80% sekarang ini. Apakah keadilan itu jika mereka sudah mencapai 100%

Mungkin boleh, jika Anwar jadi PM....kot? Orang Melayu pada ketika itu....hanya masa menentukan...sedarlah Bangsaku......MELAYU..

Thursday, March 5, 2009

PESTA BUKU ISLAM JAKARTA...HEBAT!

Salam,

Menghadiri dan menyaksikan pesta buku Islam Jakarta banyak menyedarkan saya betapa disebalik ramai marhaenis di sana, namun dari segi keilmuan dan tabiat membaca, rakyat Indonesia yang terdiri daripada penulis, penerbit serta khalayak pembaca bukanlah marhaenis tetapi mereka telah mencapai satu tahap yang tinggi.

Bayangkan, ada seorang pengunjung begitu teruja apabila mula-mula masuk setelah terlebih dahulu menunggu di pintu masuk seperti seorang yang memasuki sebuah persembahan atau konsert yang tidak sabar-sabar menonton artis kegemarannya membuat persembahan. Dicapainya sebuah buku diselak dengan penuh "ghairah" dan diletakkan ditepi dan di ambil buku lain pula satu demi satu....

Buku apa? Buku mengenai ilimu Islam bukan novel atau majalah hiburan. Ini yang hebatnya. wajarlah kalau kita lihat aktiviti keilmuan subur dan terus berkembang di Indonesia. Malaysia bagaimana?

Setakat ini sahaja kerana baru sampai ke rumah dan mula membuat persiapan untuk ke India pula....sebuah lagi Negara yang rakyatnya marhaean....sekadar meminjam istilah sosialis...

Monday, March 2, 2009

ISLAM HADHARI DIANGGAP ISLAM LIBERAL?

Salam,

Amat menjengkelkan bilamana membuat suatu andaian bahawa Islam Hadhari itu adalah Islam Liberal tanpa landasan keilmuan yang melandasi andaian itu. Sebenarnya Islam Hadhari dianggap Islam Liberal telahpun dikumandangkan di timur tengah memandangkan golongan liberal sering juga menyebut Islam Hadhari. Maka timbullah persepsi bahawa Islam Hadhari itu adalah sama dengan Islam Liberal dan ketika ianya dipopularkan oleh kerajaan pimpinan Pak Lah, Islam Hadhari dianggap sama dengan Islam Liberal di timur tengah.

Oleh kerana itu, saya merasa bertanggungjawab untuk mengangkat prinsip-prinsip Islam Hadhari melalui buku pertama saya itu tanpa mengaitkannya dengan Pak Lah walaupun Pak Lah adalah pelopornya. Beberapa kali saya tegaskan bahawa Islam Hadhari adalah konsep yang baik dengan prinsip-prinsipnya yang komprehensif itu.

Baca setiap prinsip Islam Hadhari pasti akan timbul ide yang boleh terrealisasi dalam kehidupan seharian. Islam Hadhari bukan Islam Liberal kerana isinya adalah perkara-perkara fundamental di dalam Islam. islam Liberal pula secara "jahilnya" berlagak pandai dengan mempersoalkan perkara-perkara fundamental sehingga akhirnya menolak Al-Qur'an sebagai penyelesaian abadi.

Islam Liberal cuba menjadi jaguh isu-isu emansipasi wanita tanpa terlebih dahulu mengetahui hukum berkaitan wanita dan apa itu emansipasi atau kebebasan wanita ! Islam liberal memandang wanita yang mengenakan hijab adalah berpotensi besar untuk di"penjara" di dalam kurungan diri sendiri dengan hanya berhijab. Islam Liberal melihat penyalahgunaan undang-undang perkahwinan sebagai kezaliman ke atas keseluruhan wanita Islam. Ini adalah tidak benar. Yang zalim adalah manusia bukan undang-undang. Penyalahgunaan kuasa atas undang-undang bukan bermakna undang-undang yang harus dihapuskan! Orang yang menyalahgunakanlah yang perlu dihukum bukan hukumnya yang dihilangkan.

Popular Posts