Thursday, March 25, 2010

ZULKIFLI NORDIN DAN ZAHARIN YASIN : PEMBOHONGAN ATAS PEMBOHONGAN ?

Salam,

Selepas PRU12 yang menyaksikan pertambahan kerusi di Parlimen Malaysia oleh parti pembangkang yang terdiri daripada DAP,PAS dan PKR, memang parlimen menjadi lebih hangat dan penuh sensasi dalam setiap perbahasannya.

Yang paling sensasi adalah usaha membawa isu "melompat parti" oleh beberapa ahli Parlimen BN ke PR (16 SEPT)sekali gus menubuhkan kerajaan baru Pakatan Rakyat yang Perdana Menterinya "YAB" Dato' Seri Anwar Ibrahim

Yang paling sensasi lagi ialah, tuduhan "membunuh" Altantuya oleh anak Karpal Singh Govindh Deo ke atas YAB Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah

Dua perkara sensasi ini saya bawa untuk kita melihat mutu pembangkangan parti-parti pembangkang dalam Parlimen Malaysia.

Setelah masa berlalu, maka kedua-dua perkara ini di"letupkan" oleh ahli Parlimen Bebas yang keluar atau terkeluar dari parti mereka iaitu YB Dato Seri Zaharin Yasin dan YB Zulkifli Nordin.

Maknanya, kedua-dua isu yang begitu sensasi yang boleh dilihat mengugat sebuah kerajaan yang memerintah rupa-rupanya didasari dengan sebuah pembohongan dan fitnah!

Maka, apa lagi yang hendak kita perkatakan, selain membuat kesimpulan bahawa hati-hati atas apa sahaja isu yang hendak disensasikan kerana akhirnya ia adalah sebuah pembohongan.

NAMUN DEMIKIAN, SAYA MASIH BELUM DAPAT MEMPERCAYAI APAKAH BENAR KEDUA-DUA AHLI PARLIMEN INI BENAR-BENAR "MARAH" KEPADA PKR ATAU IA ADALAH SATU PERMAINAN WAYANG SEMATA-MATA..MENGAPA SAYA KATAKAN DEMIKIAN?

1) Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini,bahawa setiap kali perbicaraan kes Liwat Dsai-Saiful maka setiap kali itu jugalah akan timbul isu sensasi seperti mahu mengalihkan perhatian umum dari kes tersebut.

2) Jika benarlah kedua-duanya insaf dan sedar serta marah kepada PKR, maka masuklah parti-parti lain kalau pun tidak mahu kepada UMNO kerana dengan kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas, maka pada bila-bila masa mereka boleh berpatah balik lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya akan datang. YB Zul dan Yb Dato Seri Zaharin tidak boleh marah jika orang-orang mencurigai akan keikhlasan mereka ini.

Walaubagaimanapun, letupan demi letupan dalam Parlimen sedikit sebanyak telah memberikan impak besar kepada sokongan rakyat kepada kerajaan BN namun demikian sikap kehati-hatian perlu ada kerana kita bimbang letupan tersebut akan juga disusuli dengan "tsunami" politik menjelang pilihanraya akan datang dengan berpatah baliknya ahli-ahli parlimen bebas ini. Siapa tahu?





Monday, March 22, 2010

Siaran Ulangan :ISU NEGARA ISLAM : PAS MASIH BELUM CUKUP SYARAT.

Sunday, April 6, 2008

Salam,

Pakatan Rakyat telah saya ulas dalam posting yang lepas di mana bakal menemui kebuntuan di antara 3 parti besar pakatan itu. ( sila rujuk posting yang lepas ).


Isunya apa? Ideologi. Negara Islam adalah isunya. PAS dalam pandangan saya tidak berjaya memberikan keyakinan kepada rakyat bukan Islam dan Islam tentang konsep Negara Islam. Tidak berjayanya PAS boleh disebabkan samada PAS sendiri tidak mempunyai konsep yang jelas berkaitan negara Islam atau PAS sendiri tidak mempunyai keahlian dalam isu negara Islam yang menyebabkan tidak dapat membentuk satu konsep yang jelas.

Yang dimiliki PAS adalah semangat untuk menegakkan negara Islam dan sebagai slogan yang dilihat popular dalam era kebangkitan Islam. Berkaitan semangat, itu sesuatu yang mulia namun negara Islam tidak dapat ditegakkan semata-mata dengan semangat. Konsep negara Islam mestilah difahami oleh kepimpinan PAS sendiri sebelum dijaja di pasaran Malaysia. Apakah ilmu Ust Hadi sudah cukup? Apakah ilmu Ust Nik Aziz cukup? Apakah Dewan Ulama PAS mempunyai kemampuan mengemban tanggungjawab membentuk suatu konsep negara Islam yang jelas?

Sabar ! Bukan untuk niat saya meragui ilmunya ulama dan kepimpinan PAS. Bukan juga hendak merendah-rendahkan ilmu kepimpinan PAS. Namun kita harus sedar bahawa Islam ini bukan hanya berbicara soal hudud dan perlaksanaannya. Ia juga bukan sekadar membicara dan melaksanakan Islam di suatu negeri kecil di dalam sebuah negara Malaysia yang secara komparitifnya kecilnya dibandingkan negara-negara lain.

Islam mempunyai konsep yang komprehensif dan harus dikuasai ilmunya terlebih dahulu sebelum perlaksanaanya. Apatah lagi dalam cita-cita menegakkan negara Islam dalam kepelbagaian bangsa,agama dan fahaman politik. Apakah sudah cukup syaratnya dan kalau mendakwa sudah cukup, apakah mekanisme yang digunakan untuk mengatakan sudah cukup? Apakah semata-mata lepasan Al-Azhar atau Universiti Madinah sudah cukup untuk mengemban taklif dan membentuk pemerintahan yang adil dan qist? Apakah sudah mempunyai PHD dalam hadis misalnya sudah cukup? Bagaimana dengan bidang syariah dan lain-lain? Apakah sudah ada mujtahid yang mampu menangani persoalan hukum hakam dalam Islam?

Persoalan-persoalan ini menjadi realiti apabila kita lihat wujud keraguan di kalangan kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya dari Karpal Singh. Ya, mungkin beliau tidak faham atau memang enggan untuk menerima sebuah negara Islam. Tetapi, apakah Karpal Singh berpendapat secara individu atau beliau sebagai jurucakap partinya menolak negara Islam. Apakah Anwar Ibrahim juga gagal memberikan penerangan dan keyakinan kepada DAP tentang negara Islam atau Anwar sendiri tidak berapa setuju dengan ide pembentukan sebuah negara Islam?

Inilah dia persoalan-persoalan yang mesti dijawab terlebih dahulu oleh PAS dan inilah juga diantara salah satu perkara-perkara yang harus diselesaikan dahulu oleh PAS sebagai persyaratan untuk menegakkan negara Islam. Kefahaman dan penerimaan rakyat adalah salah satu syarat untuk menegakkan negara Islam. Bila persyaratan tidak mencukupi maka kewajipan itu gugur. Ini bakal mengundang polemik dikalangan umat Islam era ini....Antara Semangat Islam dan ketidakfahaman Islam...

Mungkin juga boleh diselesaikan dalam Program Islam Hadhari....yang pure yang kemungkinan ada persamaan atau tidak dengan Islam Hadhari yang dipelopori Pak Lah..oh lupa...atau Hadharah Islamiyyah Ust Hadi.
Apa ada pada nama ?

Monday, March 15, 2010

Ahli Parlimen Bebas : Di Antara Keberkesanan Dan Kepelbagaian Suara..

Memang kemeriahan akan terasa dengan kepelbagaiaan suara yang mewakili pihak masing-masing di dalam sesi persidangan Parlimen yang telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada hari ini.

Namun apakah kepelbagaian suara yang kita inginkan atau keberkesanan suara rakyat yang dibawa oleh ahli Parlimen non-partisan atau bebas itu.

Memang mereka bebas menyuarakan apa sahaja tanpa terikat dengan sekatan parti tetapi jika ingin melihat dari sudut keberkesanan maka suatu persoalan timbul apakah suara mereka akan disambut oleh ahli-ahli Parlimen yang berparti?

Jikalau suara mereka untuk membawa suara rakyat namun tidak mendapat sokongan di parlimen, kita akan mengatakan suara mereka umpama anjing menyalak bukit. Di satu sudut yang lain, kemungkinan untuk diterima hujahan mereka adalah bersifat "kadang-kadang" atau "jarang-jarang". Ini adalah kerana adalah jauh dari mengharapkan usul serta perbahasan ahli-ahli parlimen bebas dengan mudah dapat diterima dan disokong di dalam parlimen kerana logiknya apakah mereka ini terlalu "hebat" sehingga perlu diberi perhatian semua pandangan mereka seolah-olah ahli-ahli parlimen berparti sudah ketandusan idea untuk mengusulkan sesuatu demi kepentingan rakyat?. Kenyataan ini mengambilkira sentimen kepartian di mana setiap perkara yang dibawa juga hasil gagasan bersama parti yang diwakili mereka.


Walhasil, kita lihatlah dulu perkembangan seterusnya sesi-sesi persidangan Parlimen akan datang dan kita sama-sama menilai keberkesanan hadirnya ahli Parlimen bebas atau kehadiran mereka hanya merupakan resepi tambahan sekadar untuk memeriahkan sidang parlimen.

kita tunggu........

Sunday, March 7, 2010

Ulangan Siaran : MEMBUKA SEMULA PERBINCANGAN...

Tuesday, January 20, 2009

Saya, UMNO dan PAS – Mencari Wadah Perjuangan.

Salam,

Bermula dari saya, seorang muslim yang memiliki tugas melaksana dan mematuhi wahyu Ilahi. Dengan tugas itulah saya bertugas untuk membenahi dan menyuruh melaksanakan kebenaran dan mencegah terjadinya kesalahan. Tugas ini diberikannya kepada setiap manusia yang hendak mentaatinya dengan melihat kebolehan hambaNya. Allah tidak akan memberikan beban taklif melebihi daripada kemampuan masing-masing. Oleh sebab itu, Allah s.w.t. akan tetap memberikan syarat pada diri hamba dan juga pada sasaran yang hendak dituju.
Misi Amar makruf dan nahi mungkar memiliki persyaratan, baik pada diri pelaku dan juga objek . Seperti:


1. Pelaku wajib mengetahui apa yang makruf dan juga yang munkar.
2. Pelaku wajib mengetahui cara merubah yang munkar menjadi makruf.
3. Pelaku telah membuat pertimbangan bahawa ianya boleh melakukan hal tersebut.
4. Pelaku telah mengetahui tidak akan ada berlakunya kemungkaran lain mengikuti pelaksanaan misi tersebut atau kemungkinan kemungkaran lebih membesar.


Dengan persyaratan ini, maka pelaku berkewajiban mengetahui bentuk kemungkaran dan keberadaan pelakunya serta kemungkinan untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar yang mana sudah ada dalam pertimbangan bagi pelaku untuk menjalankan tugas sucinya itu. Dia mengetahui kapasiti dirinya, cara dan juga objek.


Keberadaan di dalam UMNO tidak lebih dari pada tugas suci seorang muslim yang melihat dirinya sebagai muslim yang memiliki kemampuan diri untuk berusaha merubah mungkar menjadi makruf sedaya mana kuasa yang dimilikinya. Dengan berbekalkan apa yang ada, iaitu dengan semua makna yang ada dalam kehidupan yang ada sekarang seperti latar belakang pendidikan, pengetahuan dan juga kapasiti diri, yang mana dilihat bahawa UMNO adalah lahan yang paling tepat untuk boleh menjalankan semua perintah Allah s.w.t didalamnya.


UMNO parti sekular! , inilah salah satu kenapa memilih UMNO sebagai objek untuk melaksanakan perintah Ilahi, kerana untuk sementara ini masih terdapat umat Islam didalamnya, dan UMNO memperjuangkan hak muslimin, sekalipun dengan pandangan sekular, tetapi bukan semuanya sebagai hasil akhir, kerana masih ada banyak lagi yang dapat diubah. Salah satu perubahannya adalah adanya niat baik untuk boleh menerima Islam dengan membuat program Islam Hadhari. Dengan inilah menunjukkan bahawa setiap perubahan masih mungkin terjadi, iaitu tidak menutup kemungkinan bahawa UMNO boleh berubah menjadi pemegang kebenaran. Malang, PAS hanya melihat Islam Hadhari sebagai program untuk melemahkan perjuangan mereka yang juga dikatakan berlandaskan Islam dan lebih malang lagi merangkul para sekularis tegar yang ada dalam pelbagai bentuk termasuk yang berbau Amerika dan menolak UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai potensi untuk lebih berjaya dalam pelaksanaan apa sahaja program untuk membangun Ummah. PAS meninggalkan Umno dan pergi bersama DAP dan PKR.Dengan alasan di atas, iaitu dengan standard berfikir berkaitan amar makruf dan nahi mungkar serta maslahatnya politik (pembenahan, islah) maka PAS sebagai satu Parti yang katanya menggunakan dasar Islam untuk tetap dengan Islamnya, iaitu meletakkan Allah sebagai dasar gerak, cita- cita dan harapan juga sebagai pegangan amal takwanya, sebenarnya tidak ada keperluan yang mewajibkan PAS untuk duduk di dalam Pakatan Rakyat. Apatah lagi kalau PAS mengetahui dengan dalam tentang keberadaan sebenar dari parti DAP dan Keadilan. Kedua duanya adalah sekular dan akan berusaha menolak Islam, atau sejak awal melihat Islam sebagai sesuatu yang tidak perlu dilaksanakan. Sehingga tidak ada kemungkinan untuk terjadinya perubahan, kecuali adanya penentangan dan akan merosakkan nama Islam dan maruah parti yang mengatas -namakan Islam.


Sebaliknya, UMNO dengan misi yang dibawanya, sebenarnya merupakan peluang emas bagi parti Islam untuk melakukan perubahan yang mendasar pada kekuatan Islam dan muslimin. Jadi kalau PAS melihat dengan kaidah amar makruf tentu akan melihat kemungkinan lebih banyak terjadinya perubahan kepada makruf di dalam Umno dibandingkan dengan DAP dan Keadilan.


Umno dengan semua kelemahannya masih membuka kemungkinan berubah dengan dengan konsept ISLAM HADHARI, kerana hakikat Islam Hadhari adalah Islam dan usaha untuk menjalankan Islam, kalau tidak sempurna atau salah maka tidak dapat disalahkan dasar Islam dan keinginan perubahan, kerana kesalahan hanya pada pelaksanaan program yang diinginkannya. Disinilah semestinya perlu adanya amar makruf dan nahi mungkar bagi mereka yang mengetahui, bukan lebih disalahkan sehingga tidak akan terjadi perubahan mungkar menjadi makruf tetapi akan terjadinya mungkar menjadi lebih mungkar kerana kesalahan proses perubahan (amar makruf dan nahi munkar).

Untuk itu kalau Pas berfikir dengan jernih dan melihat adanya peluang islah dan perubahan maka akan melihat Umno dengan semua kondisinya sebagai peluang untuk memajukan Islam dan muslimin..

Thursday, March 4, 2010

KEPENTINGAN IDEALISME PERJUANGAN DAN IDEOLOGI

Salam,

Memang agak lama saya tidak menulis di dalam blog ini dek kerana terlalu sibuk dengan urusan perniagaan dan sebagainya. Namun, agak banyak juga yang mahu disampaikan memandangkan senario politik Malaysia yang semakin hangat dan menarik untuk diulas.

Terkini ialah siri keluarnya beberapa ahli parlimen PKR dari parti itu.

Setiap penubuhan parti politik memstilah berdasarkan kepada idealisme perjuangan yang didasari dengan sebuah ideologi politik yang jelas. Kejelasan amat perlu agar ahli parti tahu hala tuju dalam perjuangan parti tersebut.

Kemunculan parti semangat 46, PKR , DAP dan PAS harus dilihat dari segi kejelasan ideologinya.

Semangat 46 telah terkubur akibat rapuhnya idealisme perjuangannya dan ketidakjelasan ideologinya, yang jelas ialah, ia ditunjangi oleh beberapa individu politikus yang bercita-cita besar untuk mengepalai kepimpinan negara ketika itu. Ahli dibawa dan diheret untuk hanya merealisasi cita-cita politikus tersebut.

Parti Keadilan Rakyat lebih teruk lagi. Ia hanya berbekalkan sikap marah, kecewa disamping bermotifkan pembelaan ke atas seorang politikus yang dipecat yang mana pengikutnya mengimani bahawa politikus itu telah dizalimi. Hanya satu kelebihan yang ada ialah ia dipimpin oleh seorang politikus yang bijak berpidato dan licik percaturan politiknya sehinggakan ia mampu menyatukan parti-parti pembangkang dibawah suatu pakatan.

PAS dan DAP dilihat lebih jelas idealisme perjuangannya dan ideologi pegangannya. Yang menjadi masalah ialah PAS dan DAP juga terpengaruh dengan politikus itu ( Anwar Ibrahim ) sehinggakan kadang kala dilihat mengorbankan idealisme perjuangan parti sendiri.

PAS dilihat lebih terjejas idealisme perjuangannya akibat pakatan pembangkang ini. Lebih parah lagi ialah apabila berlaku pen"doktrinan" di dalam PAS dengan idea dan pendekatan politik ala-ala 'Anwar Ibrahim" yang diwakili kumpulan Erdogan di dalam PAS.

DAP tidak begitu ketara dalam mengorbankan idealisme perjuangannya malah dilihat mampu mencaturi politik dalaman pakatan rakyat bagi kepentingan parti itu. Cuma kadang kala suara "kesedaran" orang-orang lama seperti Karpal Singh yang merasakan DAP dipacu oleh Anwar Ibrahim bagi kepentingan dan cita-cita politik Anwar Ibrahim.

Masa telah tiba. Kita lihat beberapa pemimpin telah sedar bahawa apa yang diperjuangkan selama ini tidak lebih dari ingin meletakkan Anwar sebagai bakal PM. Sekarang ini yang terkena penyakit sindrom penafian bukan UMNO tetapi PKR. Mereka tetap menafikan mereka telah mula lemah dengan keluarnya beberapa pemimpin yang bertaraf ahli parlimen.

Memang keluar masuk parti adalah perkara biasa dalam politik. Namun jika ianya berterusan dan gagal dibendung maka ini merupakan suatu mala petaka dalam parti politik itu.

PKR ditubuhkan atas premis untuk membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara. Ini sering disebut saudara Ezam Nor dahulu. Maka setelah bebasnya Anwar, agenda seterusnya beralih ke pada meletakkan Anwar sebagai PM walaupun ia tidak dikongsi oleh semua orang dalam pakatan kerana memang ada yang meragui peribadi Anwar yang juga sedang bertarung dalam kes liwat beliau sekarang ini.

Maka, bila masa berlalu, kesedaran mula timbul dikalangan penyokong-penyokong PKR bahawa apa yang diperjuangkan selama ini sia-sia belaka. Maka mulalah siri pengeluaran dari parti ahli-ahli dari kalangan orang-orang penting parti dari Marina Yusuf, Dr Chandra Muzafar, Zainur Zakaria dan Ezam Nor dan baru-baru ini yang melibatkan ahli-ahli Parlimen PKR.

PAS juga telah mula sedar bahawa banyak yang telah mereka korbankan khususnya prinsip-prinsip perjuangan Islam yang mereka laungkan selama ini. Slogan Negara Islam serta program-program pertarbiyahan telah menjadi sesuatu yang tidak menjadi agenda utama malah perangai dan akhlak politikus Islam yang seharusnya ada telah mula sirna di dalam Pas.

UMNO juga perlu jelas dengan idealisme perjuangannya dan ideologi politik yang dipegang !


Popular Posts