Wednesday, February 25, 2009

ISLAM HADHARI PASCA PAK LAH:BUKTI ISLAM HADHARI ADALAH ISLAM!

Salam,

Ketika mula mahu memberi perspektif sendiri ( tentunya dengan landasan Islam) atas prinsip-prinsip Islam Hadhari cetusan Pak Lah ini, saya dilihat sebagai mengambil kesempatan untuk mendapat sesuatu dari "usaha mengampu" Perdana Menteri dengan mempertahankan Islam Hadhari ini.

Pada hari ini, segalanya jelas bahawa Pak Lah bukanlah pemimpin yang membawa manfaat untuk diampu kerana beliau sedang menghitung hari untuk menyerahkan kerusi Perdana Menterinya itu. Jadi, tidak gunalah untuk mengampunya sekarang.

Maka, untuk apa buku Pengukuhan Prinsip-Prinsip Islam Hadhari ini dikeluarkan? Jawapannya adalah Islam Hadhari Adalah Islam.

Saya konsisten dalam setiap perbincangan berkaitan Islam Hadhari ini bahawa ianya adalah sebuah program Islam yang amat baik dan tidak boleh disalahkan menurut Islam hanya atas penggunaan istilah Hadharinya dan melihat Pak Lah pelopornya. Pada satu segi, saya sedikit mahu memberikan kredit kepada Pak Lah atas idea-ideanya ini dan pada satu segi yang lain mempertahankan idea-ideanya ini yang bebas dari melihat Pak Lah sebagai manusia biasa tetapi atas penilaian ilmiah dan Islamik.

Seperti yang pernah saya katakan, jika teruk sangat imej serta persepsi buruk yang timbul atas istilah Islam Hadhari yang dimainkan oleh pembangkang yang sebenarnya hanya pertikaian dari segi istilahnya semata-mata bukan isinya maka saya sekali lagi menjemput para pembaca agar dapatlah membuktikan ianya salah dari sisi Islam sehinggakan program Islam Hadhari dihentam sedemikian rupa tanpa melihat isinya dan baiklah kita ambil kesepuluh prinsip-prinsip itu dan kita lihat apa yang boleh kita lakukan dalam konteks penghayatan Islam di Malaysia ini.

Kita namakanlah ia Prinsip-prinsip Hadharah Islamiyyah ! Bagaimana ?

Kesimpulannya, ketika Pak Lah mahu berundur maka ketika itulah saya keluarkan buku Prinsip Islam Hadhari sebagai satu lagi BUKTI Islam Hadhari Adalah Islam dan ia milik semua orang.

Oleh sebab itu saya katakan HANYA YANG MURNI KEKAL !

Tuesday, February 24, 2009

SUDAH TERBIT ! PENGUKUHAN PRINSIP-PRINSIP ISLAM HADHARI : SATU PERSPEKTIF



UNTUK PESANAN SILA EMAIL KE purehadharist@gmail.com dan sila nyatakan nama dan no. hp dan akan dihubungi bagi proses selanjutnya. HARGA RM19

Saturday, February 21, 2009

PR AKAN JADI MACAM UMNO : RASUAH AKAN MUNCUL BILA ADA KUASA

Salam,

Pernah atau tidak kita dengar orang miskin menyalahgunakan "hartanya" dengan pembaziran? Jawapannya ialah tidak, kerana pertama, yang mahu disalahgunakan (harta) tidak wujud, kedua, si miskin tidak terfikir untuk menyalahgunakan harta kerana yang ada dihadapannya semua berguna kerana itulah yang dia ada.

Begitu juga soal rasuah. Ia ibarat di mana ada gula di situ ada semut. Elemen rasuah boleh jadi pelbagai bentuk iaitu yang berkuasa akan menggunakan kelemahan orang lain untuk mendapat manfaat sementara yang lemah mahu mendapatkan manfaat melalui kuasa yang ada pada si berkuasa.

UMNO adalah sebuah parti yang memegang tampuk kekuasaan. Oleh itu UMNO ibarat gula dan semut akan pasti ada. Rasuah ada di dalam UMNO namun UMNO bukan parti rasuah! Tiada satu pun dalam perlembagaan UMNO yang menyatakan UMNO parti yang menggalakkan perbuatan rasuah! Maka ada pulak yang bertanya, Ahli dan pemimpin UMNO kan ada yang melakukan rasuah ? itu betul, tapi tidak bermakna UMNO menggalakkan rasuah. UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 adalah sebuah parti yang melalui peringkat permulaan dimana ahli-ahlinya bergadai bergolok menderma dan menyumbangkan harta benda dalam perjuangan.

Setelah masa berjalan, UMNO berkuasa, maka muncullah kesenangan dan kemewahan yang dihidu dan diambil kesempatan oleh para perasuah maka baru muncul rasuah dalam UMNO. Maknanya, baru muncul elemen rasuah apabila ada bendanya untuk dirasuah.

Pakatan Rakyat hampir satu tahun memerintah. Telahpun kedengaran ada perlakuan rasuah baik dari segi penyalahgunaan kuasa , wang dan rasuah seks. Mengapa begitu? Sebab dulu sebelum berkuasa tiada benda yang nak dirasuah umpama tiada gula, tiadalah semut. Oleh sebab itu perkara ini akan terus berlaku dan dilakukan oleh perasuah yang memang sentiasa mencari ruang dan peluang tidak kira di parti mana yang dia berada, asal ada kuasa, adalah ruang untuk berlakunya rasuah.

Jadi, janganlah mahu dicipta persepsi bahawa UMNO sebuah parti rasuah hanya kerana perlakuan rasuah berleluasa dalam UMNO seperti juga kita tidak boleh berpersepsi bahawa Islam itu agama zalim semata-mata ada yang melakukan kezaliman. Pakatan Rakyat akan melalui hal ini jika datang zaman mewah mereka nanti dan tidak mustahil lebih teruk daripada UMNO kerana sebelum ini tidak pernah merasai kemewahan, maka apa lagi, kemaruklah!

Anwar ketika jadi Kementerian Kewangan dulu sering sebut, "ada fulus, lulus". Maknanya bila ada fulus baru timbul rasuah. Oleh sebab itu, Anwar menjadi anti-rasuah hanya ketika hampir kehilangan kuasa dan ketika tiada fulus!

Yang berlaku sekarang ialah ,Kalau PR dituduh rasuah maka itu konspirasi, kalau BN ,itu betul-betul rasuah. Inilah lama-lama akan mencipta persepsi bahawa UMNO parti rasuah seolah-olah UMNO menggalakkan rasuah. Kalau logika ini yang digunakan maka jangan marah orang akan berpersepsi Islam agama rasuah kerana melayu yang melakukan rasuah dalam UMNO adalah beragama Islam !

Sekian.

Thursday, February 19, 2009

ANWAR KATA: "LOMPAT PARTI GADAI PRINSIP !"


DULU DATUK IBRAHIM ALI JUGA DIGELAR KAKI LOMPAT(KATAK) TAPI DIA LOMPAT PARTI SECARA YANG LEBIH BERMORAL SEBAB DILAKUKAN SEBELUM PILIHANRAYA DAN KEKAL DALAM PARTI YANG DIA GUNA SEMASA BERTANDING !





Salam,

Saya menerima sms yang datangnya dari langganan sms akhbar Harakah yang tertulis: "Anwar minta wakil rakyat jangan gadai prinsip untuk bersekongkol dengan penjenayah dalam soal lompat melompat parti" - HRKH

Menilai dan meneliti pandangan Anwar ini, kita perlu melihat kembali peristiwa yang dikatakan oleh Anwar sendiri yang mana dia akan menjadi PM Malaysia pada 16hb September 2008 melalui lompat melompat parti iaitu pada ketika itu ahli Parlimen BN akan melompat ke Pakatan Rakyat. Yb Datuk Ibrahim Ali dalam parlimen secara sinis mengatakan bahawa kalau ianya mengadai prinsip mengapa sehingga menghantar rombongan ke Taiwan untuk memujuk ahli-ahli Parlimen melompat parti dahulu?

Saya tidak mahu mengulas panjang akan hal di mana Anwar dan konco-konconya merasakan lompat parti itu hanya salah jika Pakatan Rakyat lompat ke BN dan tidak sebaliknya. Yang mahu saya bincang adalah:-

1. Sedar tak rakyat Malaysia bahawa mereka telah direndahkan martabat minda mereka dengan peristiwa 16 Sept ini? Mereka telah ditipu hanya kerana Anwar menggunakan kepetahannya untuk meyakinkan rakyat bahawa 16 September akan berlaku dan ianya tidak SALAH !

2. Sedar tak PAS telah bergolak teruk ekoran 16 September ini dimana perselisihan terbuka antara Datuk Mustafa Ali dan Datuk Nik Aziz serta Datuk Husam Musa dengan penyokong-penyokong Dato Seri Hadi Awang dalam menyatakan sikap tentang lompat parti ini?

3. Sedar tak DAP juga bergolak apabila YB Karpal Singh sebenarnya tidak bersetuju akan perbuatan lompat part ini dari awal kerana berpegang kepada prinsip tidak bermoral untuk seseorang itu melompat parti?

4. Sedar tak DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung serta Raja-raja Melayu juga telah di"manipulasi" oleh Anwar dimana dalam hal lompat parti 16 Sept dia menunjukkan kononnya hormat akan Institusi Raja kerana minta mengadap namun peristiwa di Perak, titah Baginda Sultan Perak tidak dipeduli kerana tidak menyebelahinya?

Maka, dalam hal lompat parti ini, Anwar telah menipu hampir semua pihak di dalam negara ini termasuk dirinya sendiri dengan mengeluarkan kata-kata seperti pada sms tadi dengan tidak langsung merasa berdosa akan kata-katanya itu yang jelas suatu penipuan!

Kalau semua pihak Anwar boleh berbohong dalam satu isu, maka tidak mustahil Anwar boleh juga berbohong dalam semua isu...

Wednesday, February 18, 2009

POSTING ULANGAN :Membaca Sejarah : Menilai Slogan Demokrasi Dan Keadilan Ala Amerika Yang Diseru DSAI: Melayu Bakal menjadi Red Indian.



( APAKAH AGAKNYA YANG DIBINCANGKAN???? )


Sejarah adalah suatu fenomena yang terjadi di masa lalu. Ketika dibawa dalam kehidupan sekarang manusia membacanya sebagai sejarah. Memang secara tertulis ianya merupakan cerita tentang semua aktiviti manusia di masa yang silam, sehingga ketika seorang yang membaca sejarah akan tahu apa yang terjadi dengan kehidupan manusia di masa yang lampau. Tetapi ketika manusia memikirkan apa yang terjadi di dalam sejarah tersebut ia tidak akan hanya berupa cerita yang kuno tetapi juga pelajaran yang besar dari perjalanan manusia.


Ramai orang berusaha untuk mempelajari sejarah sehingga mengetahui apa yang sebenarnya terjadi di masa lampau, kerana inilah sebahagian orang yang takut terbuka cela dan keburukan yang ada maka mereka berusaha untuk menutupi sejarah dan lebih jauh lagi mereka menutupi kenyataan yang sesungguhnya terjadi. Tidak hairan pula banyak terjadi pengurangan dan penambahan atau lebih dari itu, iaitu adanya usaha merubah sejarah dengan memotong peristiwa-peristiwa yang pernah terjadi seolah-olah tidak pernah ada, sehingga kemudian orang hanya melihat hanya sebahagian yang dibawa oleh pembuat sejarah tersebut.


Dengan kerja-kerja ini orang akan salah membuat penilaian, sekalipun benar dalam membaca sejarah kerana dia hanya membaca sekerat dan sebahagian dan kehilangan keratan dan bahagian lain, maka kalau tidak berhati-hati ianya akan kehilangan nilai sebenar dari fenomena yang dibacanya. Apalagi kalau dia hendak berfikir dengan itu, maka tentu akan kehilangan premis susunan logiknya, yang tentu akan membuat hasil berfikirnya menjadi salah.


Sebagai contoh sejarah kehidupan bangsa yang dikenal sebagai super-power sekarang Amerika Syarikat. Kalau kita hendak membaca sejarah Amerika, maka tentu kita tidak hanya sekadar membaca keberadaan Amerika setelah mereka mengikrarkan terbentuknya negara Amerika. Tetapi tentu perlu membaca sejarah sebelum itu disebabkan Amerika berada di satu benua yang ada penduduknya (baca: penduduk asli). Benua Amerika tidak lepas daripada keberadaan Red-Indian yang pernah hidup di sana, sehingga kalaupun sekarang kita lihat apa pun yang ada di Amerika tentu tanpa memutuskan makna dan erti keberadaan suku-suku Red Indian yang pernah hidup sebelum mereka, kerana hakikatnya mereka sekarang berada di tanah orang-orang Red Indian itu.


Maka, sekarang dapat kita lihat dengan baik, siapa orang Amerika dan bagaimana orang Amerika tumbuh, dan lebih penting lagi manusia perlu membaca dengan baik dengan menjawab pertanyaan di mana orang asli Amerika itu sekarang. Tanpa menjawab ini maka semua makna dari bacaan sejarah akan tidak bernilai apatah lagi kalau hendak menilai sesuatu yang dinisbahkan kepada keberadaan sekarang.

Kalau konsep yang hendak dibawa bangsa Amerika adalah keadilan, maka perlu kita bertanya dulu bagaimana keadilan di Amerika, dan bagaimana keadilan itu tubuh di benua itu, adakah konsep itu tumbuh dengan memperhatikan semua keberadaan -termasuk keberadaan bangsa Red Indian ,atau konsep itu hanya untuk setelah usaha-usaha menghapuskan nilai keberadaan orang Red Indian. Begitu juga dengan demokrasi, adakah demokrasi di Amerika merupakan konsep yang telah memasukkan penduduk asli dari bangsa itu (Red Indian) atau hanya cerita tentang demokrasi dari orang-orang yang datang dan berhasil membunuh bangsa Red Indian tersebut.

Jadi, kalau kita hendak membaca sejarah dan kemudian menjadikannya contoh hidup sekarang, maka kita perlu membaca dengan baik. Kalau keadilan dan demokrasi selalu dinisbahkan kepada Amerika ( US the champion of democracy seperti kata DSAI), maka adakah nilai-nilai itu juga sudah mencakup nilai yang tersebut di atas.

Apakah makna keadilan yang ada di Amerika sudah memang cukup patut dijadikan standard keadilan ketika penduduk aslinya pernah dibantai habis oleh bangsa yang sekarang merasa memiliki tanah orang-orang yang mereka bantai sekian abad yang lalu?.Adakah keadilan itu telah menghukumi bangsa pembantai yang sekarang menduduki tanah yang dirampasnya, atau adakah bangsa yang menduduki akan mengembalikan tanah rampasan itu kepada penduduk asli ketika mengetahui konsep keadilan yang dibuatnya?. Adakah penduduk asli benua Amerika akan membaca keadilan dan demokrasi sama makna dan nilainya dengan bangsa yang menggunakan slogan ini di atas tanah yang pernah dirampas dari penduduk aslinya itu?.

Begitu juga demokrasi, adakah konsep demokrasi tersebut telah menjadikan Amerika menjadi bangsa yang meletakkan orang asli benua Amerika sebagai seorang yang ada dalam pesta demokrasi tersebut. Adakah bangsa pemilik asli dari benua Amerika akan berperanan dalam demokrasi yang mereka buat?. Atau yang lebih penting adalah apakah konsep demokrasi yang hendak dijalankan juga mencakup nilai kepemilikan yang telah dirampas dari bangsa pembuat demokrasi itu?.


Bagaimana kita harus membacanya sehingga kita dapat dengan objektif menilai hakikat keadilan dan demokrasi ala Amerika ini?. Apatah lagi kalau kita hendak melihat kehidupan sekarang yang merupakan bukti kehidupan yang dapat kita lihat pada hari ini. Kalau orang merasa susah untuk melihat dan membaca sejarah maka lihatlah hari ini. Makna keadilan yang dislogankan oleh Amerika. Apa makna keadilan dan demokrasi bagi bangsa Iraq dengan kehadiran Amerika di tanah air bangsa itu. Bagaimana manusia hendak membaca makna demokrasi dan keadilan di Afghanistan dengan kehadiran Amerika dan semua sekutunya di negara itu?!.


Bagaimana pula aplikasi keadilan dan demokrasi dari negara yang didukung Amerika atas pendudukan tanah milik bangsa Palestin. Adakah nilai keadilan dan demokrasi akan dapat dibaca bangsa Palestin sama dengan sebagaimana bangsa Israel membacanya?. Mungkin pertanyaannya adakah bangsa Palestin dapat membaca makna dan erti keadilan dan demokrasi?. Tentu tidak!!!.


Bagaimana di Malaysia?. Adakah kita harus membaca keadilan dengan menoleh pada Amerika yang keberadaan keadilan dan demokrasinya berdiri di atas darah pemilik benua itu!. Bagaimana hendak kita hendak menjalankan nilai keadilan dan demokrasi ala Amerika kalau Amerika sendiri masih belum lepas dari nilai yang ada dalam makna kata yang ada di dalam kata keadilan dan demokrasi. Bagaimana bangsa Malaysia hendak menggunakan keadilan dan demokrasi ala Amerika kalau negara Amerika sendiri belum dapat menggunakan keadilan dan demokrasi bagi tanah air yang sekarang mereka akui sebagai miliknya?!.


Adakah keadilan dan demokrasi hanya bagi bangsa yang datang atau juga harus mendudukkan bangsa pemilik dari tempat itu sehingga terjaga hak -haknya. Adakah mereka yang datang kemudian merasa memiliki kerana sudah berbuat atas tanah yang didudukinya tanpa melihat kembali siapa pemilik asli tanah air tersebut?. Adakah akan dapat bermakna kata keadilan dan demokrasi kalau digunakan tanpa melihat kedudukan setiap orang yang ada di suatu tempat tanpa melihat dan membaca sejarah dengan baik?. Di sini perlu membaca dan berfikir dengan baik untuk menjawab pertanyaan. Adakah bangsa Melayu Malaysia harus seperti Red Indian di Amerika dengan slogan keadilan dan demokrasi?!. Jawabnya : Tidak!.

Sunday, February 15, 2009

KEGAWATAN POLITIK MALAYSIA : ANTARA PERSEPSI DAN REALITI!

Salam,

Persepsi timbul hasil daripada sesuatu yang disebut-sebut kebanyakan orang atau tokoh-tokoh terkenal yang tidak berdasarkan kepada fakta. Ini pemahaman saya apabila melihat kegawatan politik Malaysia. Jika ia disebut berdasarkan kepada FAKTA maka ia adalah realiti.

Sebagai satu contoh nyata ialah apabila kita menggambarkan bahawa tiada kebebasan bersuara dan bertindak di dalam negara kita sehinggakan timbul desakan pihak-pihak tertentu agar segala akta yang ada perlu dikaji malah dihapuskan.

Kita hendaklah sedar bahawa, dengan adanya parti-parti pembangkang sejak kemerdekaan lagi adalah bukti nyata bahawa kita telah ada ruang untuk bersuara. Jangan pula kita katakan disebabkan ada sekatan-sekatan itu ia sebagai menghalang atau tiadanya kebebasan bersuara! Apakah kita nak kebebasan MUTLAK ! Tidak masuk akal !

Melihat kepada realiti sekarang ini ( maksud sekarang ialah zaman Pak Lah ) maka kebebasan bersuara pada pandangan saya telah mencapai tahap maksima sehinggakan Pak Lah sendiri dikritik begitu hebat! Saya tidak mahu mengulas samada kritikan itu salah Pak Lah sendiri atau tidak, namun yang jelas kita sekarang ini bebas mengkritik hatta pemimpin no . 1 negara!

Maka, apa yang dihebohkan tentang hak bersuara dalam negara kita ini? Kita lihat lahirnya blogger-blogger anti-kerajaan berleluasa sehinggakan apa yang ditulis tidak dapat kita pisahkan antara persepsi dan realiti apalagi antara fitnah dan kenyataan. Ceramah-ceramah umum di merata tempat oleh parti-parti pembangkang hampir setiap masa tanpa mengira musim pilihanraya atau tidak. Pihak-pihak tertentu bebas membuat laporan polis, akuan bersumpah, memorandum dan pelbagai cara lagi untuk menyatakan hasrat hati dan pendapat. Vcd-vcd ceramah politik pembangkang, sms juga tidak ketinggalan berperanan penting samada mencipta persepsi atau mengkhabarkan realiti.

Persepsi yang ditimbulkan kadang kala melarikan perhatian kita pada isu sebenar. Sebagai contoh:-

1) Imam Ramlang dikatakan diarah untuk menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful dalam isu liwat Anwar ( persepsi yang timbul adalah liwat adalah konspirasi untuk jatuhkan Anwar kerana ada pihak yang campurtangan dalam hal menjadi saksi sumpah). Realitinya: Adalah sumpah itu sendiri di mana keberanian SAIFUL BERSUMPAH harus diberi perhatian bagi kita melihat isu ini kerana saksi sumpah boleh sesiapa sahaja malah seluruh negara sebenarnya telah menjadi saksi sumpah tersebut secara langsung! Yang harus dipertikaikan ialah Anwar bila nak bersumpah ?

2) Apabila Datuk Azeez Rahim menyuruh Anwar bersumpah, Anwar jawab: "betulkan dulu bacaan Al Fatihah kamu, apa kamu nak saya bersumpah demi angin, langit dsbnya" ( persepsi yang tercipta ialah Datuk Azeez Rahim dangkal pengetahuan agamanya kerana ia harus diperbetulkan bacaan Al Fatihah dan sumpah itu adalah perbuatan khurafat kerana menyebut demi angin dsbnya). Realitinya: Samada betul baca Fatihah atau tidak itu tidak ada kaitan dengan menyuruh Anwar bersumpah. Dalam bersumpah, ada caranya yang Islamik bukan seperti yang disebut demi angin dan sebagainya. Kita telah dipesongkan dari isu sebenar.

3) Saifudin Nasution dalam ceramahnya mengatakan Anwar memfailkan saman kepada Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail kerana mereka berdua ada semasa Anwar ditumbuk Tan Sri Rahim Noor . ( Persepsi yang tercipta ialah kedua-duanya telah melakukan kesalahan kerana bersubahat dan Anwar adalah mangsa yang tidak dapat pembelaan dalam hal ini) Realitinya: Yang menumbuk Anwar telahpun dihukum dan Anwar telahpun mendapat pembelaan ! Saman itu hanyalah usaha Anwar melarikan isu sebenarnya iaitu kes liwatnya!

Begitulah serba sedikit senario yang mahu saya jelaskan dan sebenarnya banyak lagi isu persepsi-realiti ini yang bermain dalam iklim politik sekarang ini yang mana jika kita tidak perhatikan betul-betul maka kita akan terbawa ke suatu keadaan dan membuat kesimpulan betapa parahnya Malaysia sekarang ini.

Selalulah teliti setiap isu yang ditimbulkan.

Wednesday, February 11, 2009

HIJRAH POLITIK LEBIH BERMORAL DARI LOMPAT PARTI

Salam,

Istilah lompat parti kian popular dan menggerunkan parti-parti politik baik dari Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Memang perbuatan melompat parti bukan dipelopori oleh Anwar namun dia disemarakkan oleh Anwar melalui propaganda yang memakan diri dengan apa yang dia laungkan dalam Projek 16 Septembernya dulu.

Lompat parti boleh dilihat dari pelbagai sudut. Sudut politik taktikal, kepentingan peribadi, kepentingan parti dan kepentingan rakyat serta negara. Maka untuk melihat bermoral atau tidaknya, ia bergantung dari sudut mana ianya dijadikan sebab seseorang itu melompat parti.

Apabila melompat parti boleh menyebabkan sesebuah parti politik itu lemah dan parti politik itu juga tidak membawa perjuangan yang menguntung rakyat dan negara, maka lompat parti itu kita namakan hijrah politik kerana ia membawa manfaat kepada rakyat dan negara. Sebaliknya jika melompat parti itu menguatkan sesebuah parti yang dibelakangnya dibayangi kuasa luar serta tidak menguntungkan rakyat dan negara, maka ia adalah perbuatan lompat parti yang tidak bermoral sebenarnya. Maka dalam kes empat orang ADUN di Perak yang beralih sokongannya kepada kerajaan BN, maka keuntungan pastinya kepada rakyat Perak khususnya orang-orang Melayu/Islam Perak. Orang-orang Melayu/Islam Perak perlu dibela memandangkan Kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini hanya membawa keuntungan kepada orang-orang bukan Melayu/Islam sebagai contoh di dalam kelulusan memiliki tanah dengan pajakan yang terlalu lama yang tidak pernah didapati oleh orang-orang Melayu sendiri. Ini tidak bermakna di bawah BN nanti non Melayu/Islam tidak diberi perhatian! BN telah terbukti melakukan pembelaan wajar ke atas semua kaum.

Rakyat termasuk ADUN yang bertanding atas nama sesebuah parti berhak untuk menilai balik sejauhmana komitmen parti yang diwakili mahu melaksanakan janji-janji pilihanraya lalu tatkala telah berkuasa. Atas dasar inilah hijrah politik berlaku atas landasan mencari kebaikan dari sesebuah parti yang boleh diharapkan merealisasikan perjuangan mentadbir dan membela rakyat bukan hanya ketika kempen sahaja.

Mungkin atas dasar inilah ke Bawah Duli Sultan Perak memilih tidak membubarkan DUN memandangkan ianya tidak perlu kerana masih ada lagi ruang untuk dijalankan pembaikan serta pembelaan ke atas rakyat negeri Perak oleh Kerajaan BN. Namun dalam isu ini, PR tidak dapat menyembunyikan ke"obses"an mereka untuk berkuasa kerana masih baru mengecapi "nikmat" menjadi kerajaan selama 11 bulan itu namun sudah ditarik nikmat tersebut........

Monday, February 9, 2009

TELAH SAYA KATAKAN SEBELUM INI : KARPAL LEBIH JUJUR DARI ANWAR .....

Salam,

Pakatan Rakyat sudah merasa bahang perpecahan akibat budaya lomPat parti anjuran ANWAR.....JUGA AKAN MULA DISANGSI RAKYAT MALAYSIA TENTANG SAMADA MEREKA MASIH MENJUNJUNG : RUKUNEGARA- KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA.... Dibawah ini tulisan saya sebelum ini berkaitan Karpal yang saya lihat lebih jujur dari Anwar dalam soal mempertahankan apa yang diperjuangkan....Baik PAS atau Anwar perlu tunjukkan kejujuran atas apa yang sebenarnya mereka perjuangkan.

LAGI ISU NEGARA ISLAM : KARPAL SINGH LEBIH JUJUR DENGAN PAS DARIPADA ANWAR IBRAHIM

Friday, February 6, 2009

SEBELUM DAN SELEPAS 16 SEPT: YANG BETUL JADI SALAH, YANG SALAH JADI BETUL!??




(SIDANG MEDIA 16 SEPTEMBER 2008 YANG MENEGASKAN MEREKA SUDAH BERSEDIA MENGAMBIL ALIH KERAJAAN PUSAT TANPA PERLU DIBUBARKAN PARLIMEN, DIDENGAR SUARA RAKYAT, DIHORMATI HAK AHLI PARLIMEN YANG INGIN MELOMPAT PARTI,BLAH! BLAH! BLAH!)





Salam Semua,

Berikut ini saya ingin mengajak para pembaca supaya melihat beberapa fakta yang saya bawa bagi membuktikan bahawa baik PKR,PAS dan DAP kesemuanya hilang prinsip perjuangan yang didakwanya serta membongkar isi hati masing-masing dalam berpolitik di tanahair kita ini. Yang mereka fikirkan bukan rakyat, tetapi bagaimana menjatuhkan BN dan berkuasa. Tak percaya? Jom kita tengok dibawah ini.

1. LOMPAT PARTI TIADA SALAHNYA SEBELUM 16SEPT

dalam blog tranungkite-

- untuk memberi masa kepada lebih ramai lagi ahli Parlimen (yang membentuk Kerajaan Pusat) menyertai Pakatan Rakyat kerana urusan melompat parti sememangnya memerlukan usaha-usaha tertentu dan rundingan secara rahsia. Apabila ahli Parlimen melompat lebih daripada 30, maka sudah tentulah kerajaa
n yang baru dibentuk mendapat sokongan padu. Lebih padu apabila Pakatan Rakyat mendapat majoriti 2/3 dan mudah meminda akta-akta tertentu!-

- agar Barisan Nasional tidak menghalang ahli parlimennya dari bertindak menurut suara hati mereka, hak yang dijamin undang-undang serta keputusan yang mereka buat tanpa paksaan.-fUZIAH SALLEH-MP PKR Kuantan

SELEPAS 16 SEPT:

-Tindakan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi yang meninggalkan KeADILan baru-baru ini dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap pengundi di dua kawasan dun berkenaan.

-Salahuddin semasa ditemu bual di Kediaman Menteri Besar oleh wartawan Intan Abdullah berkata, selepas ini Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang bagi mengesahkan status tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas di Mahkamah.


MAKA:

apabila yang melompat parti memberi keuntungan politik kepada mereka, maka ianya ok dan tidak sebaliknya.

2. SEBELUM 16 SEPT - PEMBUBARAN DUN/PARLIMEN SALAH TETAPI.

-Kerajaan BN tidak seharusnya menggunakan kuasa darurat, kuasa polis, atau menggantung perlembagaan mahupun membubarkan parlimen di dalam usaha mereka untuk menghalang Pakatan Rakyat dari berkuasa.(sidang media 16 sept mereka)

-Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, kami berhasrat untuk meneruskan gerak kerja kami sebagaimana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam kami membentuk kerajaan baru dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.-Anwar

SELEPAS 16 SEPT:

-Sementara itu, Nizar yang ditemui di kediaman rasminya berkata, kesemua exco Pakatan Rakyat bertekad tidak akan mengosongkan pejabat masing-masing di SUK, biarpun diminta berbuat demikian.

-Ketika ini, kediaman rasmi MB dipenuhi kira-kira 500 penyokong Pakatan Rakyat dengan sepanduk yang berbunyi 'Bubarkan Dun, Kembalikan Suara Rakyat' serta laungan takbir.


MAKA:

ini bukti lagi bahawa pembubaran dun/parlimen hanya terpakai bila mereka kehilangan kuasa tetapi apabila merasa kuat, pembubaran tidak boleh diadakan... ketika mahu berhasrat untuk ambil alih kerajaan pusat, Anwar kata setelah diperkenan Ke Bawah Duli Yang Di Pertuan Agong, tapi dalam isu Perak, perkenan Ke Bawah Duli Tuanku tidak TERPAKAI !


Dibawah ini pula kita lihat bagaimana tidak konsistennya Mantan MB Perak Datuk Seri IR Nizar dalam suratnya kepada Ke Bawah Duli Sultan Perak:-

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Maka kita dapati kenyataan beliau berbelit-belit kerana dalam beliau mengatakan sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh persidangan DUN tetapi selepas itu minta dibubarkan pula, bagaimana ADUN-ADUN hendak menyatakan sokongan atau tidak apabila DUN dibubarkan? Ini jelas menunjukkan bahawa mereka ingin bermain dengan masa dalam isu ini.

Satu lagi persoalan yang ditimbulkan ialah mereka berdegil mengatakan kedua-dua Adun itu telah meletakkan jawatan walaupun dinafikan oleh tuan punya diri. Lihat kenyataan dibawah ini

"Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. "

Maka disini, tuan punya diri tiada hak untuk berpendapat dan bersuara, yang berhak adalah Yang DiPertua Dewan, maka dimana perjuangan keadilan serta hak asasi manusia yang sering mereka laungkan? Ingat! yang menafikan perletakkan jawatan kedua-duanya bukan pihak ketiga yang perlu pembelaan dari segi undang-undang tetapi TUAN PUNYA DIRI SENDIRI jadi itu hak mereka untuk mengatakan surat perletakan jawatan itu adalah bukan hasrat mereka yang sebenar!

BANYAK LAGI TEMBELANG YANG DIKESAN DALAM EPISOD LOMPAT PARTI INI....

Thursday, February 5, 2009

LOMPAT PARTI TAK BERETIKA, ANTARA SUMPAH MUBAHALAH DAN AKUAN BERSUMPAH - MARI LIHAT GELAGAT ANWAR!

Salam,

Episod untuk mengambilalih kerajaan Pusat 16 September lalu telahpun berlalu dengan tiada satu pun kenyataan dari Anwar berlaku. Kalau sebelum dan selepas 16 September 2008 isu lompat parti untuk menubuhkan kerajaan PR dilihat sebagai demokratik dan beretika tetapi mulai hari ini, terdengarlah suara bahawa kerajaan BN tidak beretika seperti yang ditulis Anwar dalam blognya. Etika atau tidak menurut Anwar adalah dirinya. Jika dia yang melakukan sesuatu, semuanya beretika dan demokratik! Jika orang lain, maka ianya tidak beretika.

Jika BN mendapat manfaat politik dari lompat parti maka Anwar akan kata marilah kita kembalikan suara rakyat dan demokrasi tetapi ketika projek 16 September 2008 dulu, suara rakyat tidak penting yag penting ahli Parlimen yang melompat itu. Inilah yang harus difikirkan rakyat sekarang dan buatlah penilaian sendiri.

Dalam isu liwat Anwar-Saiful, beliau berkeras untuk tidak bersumpah mubahalah atau lebih jelas lagi bersumpah dengan nama Allah. Dengan menggunakan nama Allah bagi orang-orang Islam ianya adalah sesuatu yang berat dan berani jika benar tanpa kita memperberatkan apakah kaedah sumpahnya, apakah sebutannya dan apakah hal-hal lain yang perlu difikirkan dahulu. Ini adalah kerana dengan nama Allah kita akan merasa yakin dan orang yang mendengar juga akan merasa yakin akan sumpah yang dibuat tetapi Anwar memilih untuk tidak bersumpah!

Tetapi, untuk kepentingan politik, Anwar lebih yakin dan percaya akan Akuan Bersumpah yang dibuat bagi menuduh kerajaan BN bermain wang untuk ahli-ahli politik melompat parti. Tidak pula kedengaran beliau mempersoalkan akuan bersumpah itu, tidak pula kita dengar beliau merujuk ulama-ulama seperti Sheikh Jabir atau Sheikh Yusuf Qardawi seperti dalam isu liwatnya. Maka sekali lagi, segalanya benar jika Anwar kata benda itu benar dan salah jika Anwar kata ianya salah????$$$##

Sumpah dengan nama Allah tidak beliau lakukan namun akuan bersumpah lebih beliau yakini demi kepentingan politiknya.

Monday, February 2, 2009

POLITIK LOMPAT PARTI ANWAR BAKAL MEMAKAN DIRI!




( MELOMPAT PARTI ADALAH SAH HANYA JIKA BN LOMPAT KE PR, TIDAK SEBALIKNYA ?????????-)



Salam,

Riuh satu Malaya menyaksikan politik lompat parti yang dipopularkan oleh Anwar Ibrahim dan akhirnya bakal memakan diri sendiri. Bagi saya politik ini adalah cetusan "desperado" seorang politikus yang amat bercita-cita untuk menjadi PM Malaysia. Dari segi akhlak dan etika berpolitik dalam apa sahaja yang hendak dipanggil demokrasi atau apa sahaja, melompat parti adalah salah. Ini adalah kerana amanah menjadi wakil rakyat yang dipilih semasa bertanding atas tiket tertentu, adalah kerana parti tertentu dan ideologi serta manifesto parti tertentu. Namun jika wakil rakyat memilih untuk melompat parti maka adalah "gentlemen" jika ia meletakkan jawatan dan bertanding atas tiket parti dia ketika ini.

Namun, politik "haiwani" sentiasa menghalalkan cara. Politik "haiwani" akan sama-sama digelutkan dan akan juga menghasilkan politik "haiwani" dalam bentuk "haiwani" yang baru.

PAS melalui Naibnya Datuk Husam Musa pula bersuara menyetujui akta membendung lompat parti bila dilihat gengnya juga dah pandai melompat. Bagi Husam, melompat parti adalah "suci" jika wakil rakyat BN lompat ke PR tetapi tidak sebaliknya. Jika wakil rakyat PR lompat ke BN maka akta itu relevan atau dibubarkan parlimen. Kita tidak dengar pula ucapan seumpama ini ketika projek khayalan 16 September lalu.!

Ezam Nor mendedahkan bahawa setiap kali kes liwat Anwar hendak dibicarakan maka Anwar akan buat sesuatu untuk mengalihkan perhatian umum kepada isu lompat parti.Memang ada kebenarannya kerana dari hari Saiful Bukhari membuat aduan dia diliwat, Anwar gelabah dan lari ke Kedutaan Turki dengan mengatakan ia menghadapi ancaman bunuh! Selepas itu dia secara bebas berceramah sana sini tanpa memikirkan lagi ancaman bunuh itu.

Walhasil, kita tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya lebih-lebih lagi episod lompat parti ini dan dikaitkan dengan episod perbicaraan kes liwat Anwar.

Popular Posts