Friday, March 28, 2008

KONSEP ISLAM HADHARI DAN ISU NEGARA ISLAM

(BERIKUT PETIKAN BUKU SAYA YANG BAKAL DITERBITKAN BERKAITAN TULISAN DS HJ ABD HADI AWANG DI DALAM BUKUNYA " HADHARAH ISLAMIYYAH BUKAN ISLAM HADHARI" YANG SAYA BERI TAJUK: "ISLAM HADHARI ADALAH ISLAM: MELURUSKAN PANDANGAN BUKU HADHARAH ISLAMIYYAH BUKAN ISLAM HADHARI ". INI BAB ISU NEGARA ISLAM.(KOT-KOT ADA YG NAK SPONSOR TERBITKAN BUKU INI)


Dalam isu Negara Islam , dengan bersandarkan pandangan ulama yang muktabar tentang negara Islam seperti Muhammad bin Hasan as-Syaibani yang menyatakan bahawa “ negara yang dikuasai dan diperintah oleh umat Islam dan orang-orang Islam menikmati keamanan dan keselesaan di dalamnya.” Muhammad Abu Zuhrah pula menjelaskan “ negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Kekuatan dan pertahanannya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim.” Menurut Dr. Mohammad Sa’id Ramadhan al-Butiy pula , “pelaksanaan hukum-hukum syariah Islamiyyah bukanlah menjadi syarat untuk mengiktiraf sesebuah negera itu sebagai negara Islam.”

Ketika kerajaan Malaysia melihat bahwa Malaysia sebenarnya sudah dapat di klasifikasikan sebagai negara Islam berdasarkan pandangan ulama tersebut maka di pihak lain tentu tidak harus menentang pandangan ini. Kalau ada perbezaaan maka kelompok yang berbeza pendapat itu semestinya membangun masyarakatnya lebih baik dengan konsep yang dimilikinya agar kelompok selain daripada mereka melihat bahwa ada konsep yang lebih baik. Adanya suatu pelaksanaan dari definisi yang berbeza sehingga terjadilah apa yang difirmankan Allah : "Dan bagi setiap umat ada kiblatnya sendiri yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba- lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan..." (Surah Al Baqarah ayat 148) ,akan menjadikan umat Islam bertambah maju ke hadapan dengan perbezaaan pendapat yang ada pada mereka dan bersatu membangun umat tanpa melihat perbezaan pendapat sebagai penghalang.
Kerajaan seringkali dituduh enggan menjalankan hukum hudud dalam sistem perundangannya. Perlu difahami bersama bahawa, perlaksanaan hukum hudud perlu memenuhi syarat-syaratnya. Zaman sekarang zaman di mana Islam itu dilaksanakan berdasarkan tafsiran dan ijtihad para ulama dan ini semuanya menunjukkan bahawa Islam hanya dilaksanakan dengan sebahagian atau nilai kurang dari seratus peratus, kerana keabsahan atau legitimasi kesempurnaan Ilahi tidak dimilikinya kecuali sejauh kefahamannya yang ada pada mufasir dan mujtahid itu sahaja. Sejauh mana tafsir dan sejauh mana nilai ijtihad yang dimilikinya bukan legitimasi Allah yang menunjukkan kesempurnaan tersebut, tetapi ia hanyalah nilai dari usaha maksimal yang dapat dicapai oleh manusia dalam memahami Islam. Kita perlu merenungi apakah hakikat dari makna tafsir dan ijtihad yang dihubungkan dengan nilai kesempurnaan Islam. Islam telah sempurna ketika turunnya ayat : "Hari ini telah Kusempurnakan agama bagi kamu dan Ku selesaikan nikmat bagi kamu dan telah Ku redai Islam sebagai agama". Bermakna Islam sebagai doktrin atau cara hidup telah sempurna, dan memandu manusia menuju ke kesempurnaannya, tetapi ini bukan bererti sudah sempurna perlaksanaannya atau pentadbirannya ke arah kesempurnaan manusia di dunia sekarang di tangan umat Islam. Nilai Islam adalah nilai global dan kesempurnaan adalah mutlak, tetapi pentadbirannya itu hanya dapat dinilai ketika Islam mentadbir manusia secara universal dengan pensyaratan Ilahi bukan pensyaratan yang diajukan manusia sekalipun umat Islam sendiri. Untuk sampai ke tahap ini, rukun dan pensyaratannya harus cukup mengikut rukun dan pensyaratan Islam.

Maka umat Islam perlu memikirkan apakah sekarang umat Islam telah memenuhi rukun dan pensyaratan untuk menyatakan Islam akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan keadaan yang ada di tanah air kita ini ?. Bukankah suatu hukuman Islamiyyah itu memerlukan hukum, hakim dan pelaksana yang Islamik. Adakah kita sudah cukup memahamkan umat Islam dan rakyat berkaitan hukum Islam. Adakah kita telah memiliki hakim syar'i yang memenuhi syarat syar'i. Adakah kita memiliki kemampuan menjadi pelaksana hukum di bawah hukum dan hakim syarii yang memenuhi syarat Islam ?. Apakah kita umat Islam di Malaysia telah memiliki institusi atau standard untuk mengatakan atau mengklasifikasikan bahawa seseorang itu telah memiliki kesempurnaan syar'i untuk memegang tugas syar'i?. Adakah kita memiliki institusi untuk menyatakan seseorang itu diiktiraf adil sehingga dia dapat dijadikan hakim syarii?. Ada banyak pertanyaan yang perlu dijawab sehingga umat Islam memahami dengan baik duduk permasalahan hukumah Islamiah yang diinginkan oleh umat Islam.

Kita harus mengetahui bahwa individu yang alim dan adil merupakan syarat bagi pelaksana hukum atau hakim syar'i, tetapi hingga kini yang ada iaitu individu yang alim dan adil hanyalah penilaian urufi sebagai standard untuk mengatakan bahawa seseorang tersebut sudah dikatakan alim atau adil, ini tidak cukup untuk memenuhi standard syarii tersebut. Oleh yang demikian, pengertian negara Islam yang melaksanakan hukum hudud seperti yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak perlu pensyaratan terlebih dahulu. Kalau belum cukup pensyaratannya, maka usaha hendaklah dijalankan ke arah mencukupkan pensyaratan itu bukan menuduh orang lain sebagai enggan melaksanakan hukumah Islamiah misalnya.

Jadi kewajipan menegakkan negara Islam dengan perlaksanaan hukum hudud tetap ada, namun yang menjadi persoalannya ialah dalil yang tidak cukup untuk mendakwa siapa yang menjadi penanggungjawaban dari negara Islam tersebut secara khusus dan juga pelaksana perjalanan negara itu yang masih memerlukan syarat lain dengan dalil yang lain sehingga umat Islam akan menjalankan taklif nya dengan betul. Walaupun sebuah parti itu mengatas namakan Islam, ini tidak bermakna secara automatik ia telah ditetapkan Allah secara syarii di dalam Al-Qur’an dengan merasakan ia telah memenuhi pensyaratan yang disebutkan di dalam Al Qur’an tersebut. Ia harus sedar bahawa itu adalah hanya dakwaan sesetengah umat Islam untuk mengabsahkan dirinya sebagai memenuhi syarat tersebut. Mana dalil syarii baik dari Al-Quran mahupun hadis adalah khusus untuk mengatakan bahawa kelompok atau parti tertentu (secara khusus) sudah memenuhi syarat syarii mengikut Islam ?. Bukankah dalil yang dipakai adalah dalil yang umum sementara permasalahannya adalah (mauduk) yang khusus ?. Bukankah perlu dalil khusus untuk menetapkan kekhususan permasalahan ?.

Oleh yang demikian perlu disedari bahawa permasalahan yang ada bukan hanya mendirikan Islam di satu negara tetapi menjaga Islam dan dakwah Islamiah sehingga manusia dapat melihat Islam sebagai yang terbaik dan ini juga merupakan tugas penting umat Islam. Selama maslahat umat Islam terjaga dan mereka dapat hidup dengan dakwah serta dapat melaksanakan kewajipannya dengan bebas, seperti dalam keadaan yang dihadapi umat Islam di Malaysia ini, maka kewajiban mendirikan negara Islam yang ada dalam syariat akan dapat juga dijalankan ketika pensyaratan dan rukunnya sudah terpenuhi. Kewajipannya tidak hilang, tetapi pelaksanaan ke atas kewajipan yang mendahului nya itu yang perlu dilakukan. Pada satu sisi lain pula, taklif umat Islam di Malaysia masih boleh berlandaskan pada pendapat ulama yang muktabar sehingga tidak dalam keadaan berdosa khususnya dalam isu negara Islam.

Kehadiran Islam Hadhari adalah untuk menjawab tuntutan masa sehingga Islam akan difahami manusia masa ini dan di negara ini dengan sebagaimana adanya. Dengan kesedaran penuh mengikut konsep Islam Hadhari bahawa Islam perlu diterangkan dengan baik sehingga masyarakat memahami bukan hanya hukum dan pelaksanaan hukum tetapi juga Pembuat Hukum yang sebenar sehingga dengan sendirinya semua akan memahami bahawa mengikuti hukum Ilahi merupakan satu kemestian atau satu hal yang logik dan tidak dapat ditolak dalam kehidupan ini.

Dengan memaksakan kehendak kita pada orang lain atau melakukan sesuatu yang belum difahami secara menyeluruh maka hanya akan menyebabkan kehancuran masyarakat itu sendiri. Oleh itu, bukan permasalahan hukumnya yang tidak adil tetapi meletakkan hukum dengan tidak adil pun hasilnya juga akan berlaku ketidakadilan dan kezaliman itu sendiri. Perlaksanaan hukum yang adil perlu ada pelaksana yang adil dan difahami bersama sebagai langkah keadilan sehingga semua akan menikmati apa yang dikatakan masyarakat yang adil.
(BERIKUTNYA TUNGGU DITERBITKAN.....)


6 comments:

ibnu bakr' said...

Salam,

ALASAN!ALASAN!ALASAN!

soalan saya,apa lagi yang kita perlukan UNTUK MENEGAKKAN HUKUM HUDUD??.tahniah, gaya penyampaian saudara yang meleret2 dam tak releven sampai sesiapa yang mungkin kekurangan ilmu boleh terpedaya! Saudara juga berjaya meyakinkan pembaca yang HUKUM HUDUD TIDAK BOLEH DILAKSANAKAN DI MALAYSIA!(masya-ALLAH...). Ini juga mencapai objektif pembentukan islam hadhari yang mengiakan bahawa islam itu ganas,islam itu mundur ,islam itu perlu diubah, dan menyesuaikan islam untuk orang kafir sekarang!!!

Islam dah sempurna tetapi tak sempurna?Apa ke benda ni?So, terbentuklah islam hadhari?


soalan saya lagi,apakah usaha saudara untuk menegakkan kembali syiar islam di negara malaysia???.


Negara Islam!Negara islam!Negara Islam!

There is no such thing as Islamic State! Dont you ever heard about a concept between GOD and slave,that is "'abdu ta'abbudi",which means the slaves MUST OBEY ALL WHAT HAD BEEN FORCED BY THEIR GOD WITHOUT ASKING WHY THEY MUST DO THAT! especially what has been written in Al-Quran! ALL what Allah asked is for the goodness of ALL CREATURE! not considering either they are muslims or not because for ALLAH,the true religion is only ISLAM,and there is no such racial difference or skin color!!.Person with the most deed is the best from ALLAH judgment!


After all what you have done throughout your life is to get "mardhatillah"?think about it....

THE PUREHADHARIST said...

Salam Ibnu Bakr'

Semakin hari saya semakin kecewa dengan kesimpulan-kesimpulan yang saudara buat tanpa sandara ilmu serti hujjah yang berdasarkan nas-nas Al-Qur'an. Yang ada , adalah buruk sangka atas Islam Hadhari kerana sekali lagi dikaitkan dengan Pak Lah.

Soalan-soalan saudara sebenarnya dah terjawab dalam tulisan saya, kenapa tanya lagi ya? Kalau yang saya tulis tidak betul, betulkan lah, bukan tanya soalan yang sama. Apalagi yang kita perlukan untuk menegakkan hukukm hudud? Ini kan dah saya tulis tentang persyaratannya.

Saya berjaya menyakinkan pembaca yang hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia? Kat mana yang saya tulis begitu ya? Ini juga mencapai objektif pembentukan Islam Hadhari yang mengiakan bahawa Islam itu ganas,mundur,,,, kat mana ya saya tulis?

Islam dah sempurna tetapi tak sempurna? Sekali lagi kat mana ya saya tulis?

Saudara, syiar Islam bukan Hudud semata-mata. Dan bila saya katakan ini bukan saya kata hudud tak wajib. Tolong baca balik tulisan saya dan komen berdasarkan apa yang saya tulis bukan baca tulisan saya selepas itu buat tuduhan melulu.

Apabila saya katakan, saya tidak boleh menunaikan solat subuh pada waktu zohor kerana syarat untuk tunaikan solat subuh ialah dari terbit fajar sodiq hingga terbit matahari. Saudara pun jawab, inilah dia Islam Hadhari! tidak boleh atau tidak wajib tunaikan solat subuh! Begitulah saya nak nyatakan pemikiran saudara. lain di tulis lain difaham lain diulas hingga membuat tuduhan ke atas saya seolah-olah saya menolak hukum hudud.

Bagaiaman hendak melaksanakan hukum hudud dalam keadaan tidak cukup syarat. Jadi kita sama-samalah fikirkan bagaimana nak cukupkan syarat itu supaya kita BOLEH LAKSANAKAN HUKUM HUDUD! Lagi sekali saya katakan, kita sama-sama berusaha untuk mencukupkan syarat untuk laksanakan hukum hudud supaya niat baik kita ini menepati apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. bukan ghairah semata-mata diselangi dengan prasangka bahwa kita sahaja mahukan Islam orang lain semua tak mahu Islam.

Kita sambung lagi...baca betul-betul baru komen...Wasalam

ibnu bakr' said...

salam,

terima kasih kerana sudi menjawab persoalan yang saya bangkitkan..
saya faham saudara "tidak menyatakannya",takkan saudara tak faham maksud "tersirat" dalam dalam pernyataan saudara?

contohnya perenggan ini,

Maka umat Islam perlu memikirkan apakah sekarang umat Islam telah memenuhi rukun dan pensyaratan untuk menyataka...............
..............................
..............................
.............................an baik duduk permasalahan hukumah Islamiah yang diinginkan oleh umat Islam.

(saya bermaksud seluruh kandungan perenggan tersebut)

tidak keluarkah persoalan yang berbunyi,
"susahnya islam..."
"sukarnya..."
"tak perlu buat pun...TAK PENTING!"


adakah saudara menyatakan bahawa pembentukan islam hadhari adalah kerana mengakui pandangan negatif orang bukan islam terhadap islam?TIDAK!!

SEDANGKAN ITU YANG BOLEH DISIMPULKAN DARIPADA ISLAM HADHARI SENDIRI...BUKAN SAUDARA!!

soalan saya,mengapa perlu memperkenalkan istilah "hadhari"? mengapa tidak memperkasakan islam sedia ada? mengapa sewaktu satu pertubuhan yang sedang memberi penerangan tentang daulah kerajaan islam dikatakan "islam mereka" atau islam "pada pandangan mereka" atau "buatan mereka"?

saya baru saja memperkatakan perihal hukum hudud...bagaimana pula dangan undang2 islam keseluruhannya??...ya,banyak lagi syarat2nya benar?maka, cara yang lebih mudah ialah mengiktiraf undang2 ciptaan manusia lebih2 lagi orang kafir!!

pengetahuan saya tentang bahasa arab tidaklah setinggi mana.tapi sebelum ini saya pernah mempelajari salah satu ilmu bahasa arab iaitu "nahu"..ilmu yang menentukan hanya BARIS BELAKANG SETIAP PERKATAAN ARAB...dan saya percaya,perkataan islam hadhari adalah salah dari segi nahu yang membawa kepada perubahan makna perkataan keseluruhannya!!

saya bukan menyokong sebelah pihak,tetapi istilah "hadharah islamiah" tepat pada mudhof-mudhofun ilaih yang tidak membawa perubahan makna..atau dengan kata lain "tamadun" itu berdasarkan islam..

persoalan islam hadhari

sila amati soalan daripada site ini, semua jawapan adalah bersifat defensif.Juga menyatakan " untuk mengubah persepsi2 mengenai islam!".Disini juga ada menyatakan islam hadhari dari segi nahu..malangnya penjawab soalan ini tidak menerangkan secara jelas mengenai maksud sebenar "islam hadhari"


saudara, sekarang...saudara bertanggung-jawab untuk menjawab segala persoalan islam hadhari,dikala isu islam hadhari sudah tidak hebat diperkatakan lagi...dan tiada siapa yang saya tahu mukanya..yang bercakap tentang islam hadhari melainkan pak lah dan ustzh "hadhari" mashitah...

melihat kepada gaya penulisan saudara.Saya dapat merasakan saudara berbangga dengan islam hadhari...tahniah!

THE PUREHADHARIST said...

Salam Ibnu Bakr'

Kehebatan saudara adalah faham akan maksud yang tersirat daripada kenyataan seseorang lebih daripada orang membuat kenyataan itu sendiri.

Saya tidak terfikir akan maksud yang tersirat itu tetapi saudara yang sampai kepada kesimpulan itu.

Sepatutnya setelah membaca perenggan tersebut pertanyaan-pertanyaan berikutlah yang harus muncul:-

1)apakah syarat untuk menjadi hakim yang diperlukan dalam perlaksanaan hukumah Islamiyyah?

2)Mengapa perlu akan persyaratan yang ketat itu?

3)bagaimana untuk memahamkan rakyat Malaysia khususnya akan hukumah islamiyyah dan hudud agar mereka boleh menerimanya?
dan banyak lagi soalan-soalan yang sepatutnya keluar yang menunjukkan nilai positif dan optimis dalam melihat hukumah Islamiyyah dapat ditegakkan.Bukan yang negatif seperti saudara utarakan.

Saudara, apakah saudara fikir perletakkan syarat-syarat dalam melaksanakan Islam itu adalah untuk menyusahkan kita atau ada sebab lain?

Yang kita bicarakan ini ialah Islam yang syumul yang menbawa keadilan hakiki. Bukan perlaksanaan undang-undang jalanraya dan sebagainya. Bayangkan untuk mengimamkan solat pun perlu Imam yang adil dan fasih bacaannya, inikan pula untuk membawa suatu negara ke hadapan Allah s.w.t. Kita jangan membuat kesilapan Taliban dan seumpamanya yang jahil dengan Islamnya dan akibatnya imej Islam yang tercalar.

Saudara,

Kata "pembentukan Islam Hadhari" tidak tepat digunakan seolah-olah Islam Hadhari ini suatu yang baru. Saya telah tegaskan dan terangkan bahawa ia adalah Islam dan dari Islamlah muncul hadharah iaitu sejak Adam a.s. lagi. Ia bukan hanya untuk mengakui pandangan negatif bukan Islam terhadap Islam, ia juga mengakui bahawa dikalangan umat Islam sendiri ada yang berpandangan negatif terhadap Islam. Takkan hendak menafikan hal ini. Justeru itu, Islam Hadhari adalah suatu program ta'lim dan tarbiyyah(bukan hanya program Islam Hadhari Pak Lah sebab kita juga boleh membentuk program ini )untuk membetulkan pandangan negatif terhadap Islam.

Saudara, sekali lagi kita tidak boleh elak menyempurnakan persyaratan-persyaratan yang Allah telah tetapkan sebagai mukadimah kepada perlaksanaan suatu kewajipan itu. Jika kita tidak dapat menyempurnakan syarat, kita tidak boleh mengatakan kewajipan itu gugur, yang perlu kita siapkan ialah memenuhi persyaratan itu dan jika gagal juga maka kita masih belum ada TAKLIF untuk melaksanakannya tetapi telah wujud TAKLIF lain iaitu menyiapkan persyaratannya. Faham ? Apa hal pulak nak iktiraf undang-undang ciptaan manusia?

Apakah saudara berfikir, ok sekarang kita hendak melaksanakan hudud maka jalankanlah hudud.Hakim, perlaksana atau penguatkuasa yang adil serta rakyat faham tak faham, mahu tak mahu itu tak penting! Bayangkan kalau ini terjadi, tanpa hakim yang adil dan berilmu, maka kemungkinan salah menjatuhkan hukum akan berlaku.Dan yang menerima akibatnya adalah Islam itu sendiri dilihat zalim.

Saudara,

Saya nak tanya, apakah menurut saudara syarat yang Allah s.w.t. tetapkan tak penting? Kalau penting, sudah terpenuhi ke? Kalau sudah siapa? Kalau belum bagaimana? Laksanakan saja?

Penerangan Negara Islam memang telah diterangkan oleh PAS tetapi ia tidak mencukupi untuk mengatakan PAS telah cukup syarat untuk melaksanakan hudud apalagi sebagai pemerintah sebuah Negara Islam. Kalau hanya mentadbir sebuah negeri kecil bukanlah suatu yang boleh dijadikan ukuran.Negara Islam yang hakiki tidak dibatasi dengan sempadan dan geografi. Negara Islam adalah memimpin seluruh dunia dengan satu kepimpinan. Itu negara Islam.

Maaf saudara, sekali lagi saudara terbawa dengan emosi bahawa Islam Hadhari adalah milik mutlak Pak Lah sebab itu saudara membuat rujukan site Pendekatan Islam Hadhari. Maaf saya purehadharist yang berkeyakinan bahawa Islam Hadhari ke, Hadharah Islamiyyah ke atau Tamadun Islam ke, itu semua adalah Islam dan saya memang bangga untuk mempertahankannya walaupun tinggal seorang diri. Kerana ia adalah Islam.

Maaf,dari segi Nahu tiada salahnya istilah Islam Hadhari. Yang saya tulis berkaitan hadharah Islamiyyah dalam buku saya pun bukan perbahasan nahu ataupun istilah tetapi kesilapan Ust HADI dalam memberi pengertian hadharah itu sendiri yang akan membawa kekeliruan umat Islam tentang ketamadunan Islam itu sendiri serta isu-isu lain termasuk isu Negara Islam. ( saya lebih bersetuju dengan Ustaz Nik Aziz dalam pengertian hadharah yang diberikan beliau)

Maaf, bukan niat untuk berdebat tak tentu pasal melainkan merasa bertanggungjawab untuk meluruskan pandangannya.

Kesimpulannya:-

1.Saudara masih lagi prejudis terhadap Islam Hadhari kerana sukar memisahkan garis pemisah yang pernah saya utarakan - buktinya masih merujuk site Pendekatan Islam Hadhari.

2. Menganggap Islam Hadhari adalah asing dari Islam kerana kurang faham tentang istilah hadhari atau hadharah itu sendiri yang menyebabkan seringkali berdiskusi dalam keadaan "melembagakan" Islam Hadhari itu terpisah dari Islam ,jadi setiap kali saya menyatakannya, saudara sukar menghubungkannya dengan Islam.

3) Bacalah setiap tulisan saya dan timbang-timbangkanlah secara zahir kerana dalam ilmu fiqih pun manusia dilihat dari segi zahirnya bukan menghukum dari segi sesuatu yang tidak nampak pada zahirnya.

4) Terlalu taksub dan ghairah atas slogan menegakkan Negara Islam tanpa menghalusinya.( saya tidak hairan kerana ketika saya remaja dulu, saya juga ghairah dan taksub akan perkara itu tetapi bagus juga sekurang-kurangnya ada ghairah terhadap Islam).

5) Saudara menyakini bahawa saya adalah anti-hudud dan anti-negara Islam atau saya menganut fahaman Islam-Liberal. Maaf saudara silap.

Itu sahaja. Hingga berdiskusi lagi...

Anonymous said...

Assalamualaikum sdra Pure-Hadharist.

Suatu komentar dan alasan yang cukup baik. saya bukan orang umno. tapi saya membaca dengan fikiran terbuka. Saya dapati sdra sedang cuba membawa pembaca untuk berfikir dengan betul, tanpa emosi serta keterikatan fahaman serta aliran yang sering mengkelabukan aliran pemikiran kita. Yang penting ummat ini sekarang memerlukan world view yang betul. Kita tidak mahu terikut-ikut dengan sesuatu anjakan paradigma serta "form of opinion" dan kemudian berubah pula kepada paradigma lain pula setelah menerima "form of opinion" yang lain. bagi saya istilah-istilah yang diutarakan kadangkala mengelirukan, namun kadang-kadang setelah menulusuri jalan-jalan sejarah dari zaman Baginda Nabi SAW sehingga zaman sahabat nya yang empat, dan dinasti-dinasti serta kerajaan-kerajaan yang wujud setelah itu, saya tertanya-tanya apakah setelah ditelusuri jalan-jalan tersebut kita akan menemukan Islam yang akan kita guna pakai untuk didaulahkan pada waktu ini.

saya setuju bahwa "alim" dan "adil" merupakan pra syarat utama kearah pembentukan sebuah daulah Islamiyyah, namun kita juga melihat di lembaran-lembaran sejarah bahwa daulah islamiyyah yang di wujudkan melalui kerajaan dinasti-dinasti kekeluargaan tidak mengutamakan alim dan adil ini sebagai kriteria daulah mereka. Maka wujudlah fenomena ketidak adilan pada sesuatu masa dan kecemerlangan pada masa yang lainnya. Dalam erti kata lain, kadang-kadang permerintahan itu akan di puji melangit (saperti pemerintahan Umar Abdul Aziz) dan pada waktu yang lainnya (khalifah-khalifah yang dianggap zalim oleh sesetengah pihak saperti Yazid bin Muawwiyyah)akan mengalami "blackout dari segi narrative sejarahnya".

Saya bersetuju bahwa islam harus ditegakkan dimana saja kita berada, Istilahnya saya rasa tidak begitueperlu, cuma persediaan minda serta kefahaman umum mengenai asas-asas serta basis perlaksanaan perlu di ketengahkan. Tak perlu emosional mengenai pendapat sesiapa, kerana kita telah lama hidup dalam situasi emosional sehingga kadangkala didalam menanggani emosi kita dan emosi orang lain kita kadangkala mengorbankan cara nberfikir yang betul dan rasional. Islam milik Allah, Allah jua lah yang akan menjaganya...
sebarang pandangan saya yang salah dan tersasar adalah kerana kurangnya ilmu saya dan yang benar itu datangnya dari ilmunya Allah yang diberikan kepada hamba2nya.
Wallahu aklam.
Terima kasih.

THE PUREHADHARIST said...

Salam filfilan,

Wah! filfilan nama arab lama bagi Pulau Pinang. Saya mengucapkan terima kasih kerana memberikan komentar kepada saya berkaitan dengan tulisan saya itu.

Memang benar krisis yang kita alami sekarang kebanyakkannya berpunca dari cara kita berfikir. Cara berfikir seringkali dipengaruhi oleh kelompok mana kita berada dan bersahabat. Oleh itu apabila ada gagasan yang hendak kita utarakan, maka emosi yang sering menjadi reaksi awalnya. Namun ini semua adalah lumrah. Kita wajar ragu dahulu baru timbul keyakinan.

Lipatan sejarah Islam telah menunjukkan kepada ketika betapa umat ini telah jauh menyimpang dari Islam yang Allah s.w.t kehendaki melalui pesuruhnya Rasulullah s.a.w. Ingat, Islam kita hendaklah Islam yang Allah s.w.t kehendaki bukan ikut selera kita.

Persyaratan dalam melaksanakan sesuatu kewajipan adalah sesuatu yang lumrah dalam sesuatu hukum Islam. Solat syaratnya wuduk, maka wuduknya menjadi wajib, untuk mendapat 27 kali ganda solat berjemaah, syaratnya mesti solat berjemaah, berjemaah bererti mesti ada Imam, Imam syaratnya adil dan fasih bacaan, kalau tidak cukup syarat maka tidak dapat ganjaran 27 kali ganda itu. Maka disini, kesilapan cara kita berfikir ialah kita ghairah dan tidak mahu terlepas melakukan kewajipan tanpa mahu berfikir samada sudah cukup syarat atau tidak? Kita merasakan yang penting kewajipan itu dijalankan walaupun tidak cukup syarat. Kita tidak pula berusaha untuk mencukupkan persyaratannya agar setelah itu kita dapat melaksanakan kewajipan awal tadi.

Dalam konteks Negara Islam, kita sebagai Muslim sudah tentulah cintakan sebuah negara yang melaksanakan Islam (itupun kalau kita faham Islam). Namun demikian, di antara perkara-perkara yang perlu ada untuk tertegaknya Negara Islam agar dapat menjamin ianya dilaksanakan dengan betul ialah Hakim yang adil dan berilmu. Lebih daripada itu Imam atau pemimpin yang adil. Tetapi agak pelik kenyataan dari dahulu hingga sekarang, Presiden PAS dalam siri ceramahnya sering mengatakan " walaupun kerajaan Islam dahulu melakukan perkara-perkara yang melanggar Islam, namun mereka tidak berani menolak perlembagaan Islam. Mereka telah meletakkan perlembagaan mereka berdasarkan Al-Qur'an dan Sunnah". Ini adalah pelik, dan apa yang saya katakan tadi salah dalam cara berfikir, inilah contohnya. Bagaimana hanya dengan mengisytiharkan perlembagaan berdasarkan Al-Qur'an dan Sunnah, kita bolen menjustifikasikan perkara-perkara yang melanggar Islam? Apabila berlandaskan Al Qur'an dan Sunnah maka kita tidak boleh melanggar hukum yang ditetapkan apatah lagi yang melanggar hukum itu adalah pemimpin. Tidak kisah asalkan perlembagaannya Islam maka syarat adil dan ilmu tidak penting. Natijahnya Islam akan dilihat sebagai sebuah agama "asal boleh".

Wasalam.

Popular Posts