Wednesday, December 29, 2010

KENYATAAN DI AKHBAR SINAR HARIAN BERKENAAN TANAH RIZAB MELAYU.

Pertahan tanah rizab Melayu 


JOHOR BAHRU – Lebih 3,000 penduduk Kampung Skudai Kiri, di sini, menyuarakan kebimbangan dan keengganan berpisah antara satu sama lain selepas mendakwa tanah yang mereka diami bakal dibangunkan oleh pihak tertentu bagi tujuan pembangunan.

Tanah di Skudai Kiri merupakan kawasan yang diterokai oleh orang-orang Melayu sejak 74 tahun lalu dan terdapat 94 keping lot tanah bermilik sementara selebihnya adalah tanah kerajaan didiami masyarakat setinggan. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Pinggir Pantai Sungai Skudai/Sungai Danga, Mohd Yunos Malek berkata, kawasan terbabit sering diberitahu akan dibangunkan pihak tertentu walaupun permohonan tanah oleh penduduk kepada kerajaan tidak sesekali mendapat pertimbangan sejak 12 tahun lalu. 

Menurutnya, pelbagai spekulasi diuar-uarkan antaranya mereka akan dipindahkan ke rumah pangsa yang disediakan kerajaan terletak jauh dari penempatan sedia ada. 

“Terkini, ada juga khabar mengatakan bahawa pembangunan di Skudai Kiri akan dimajukan oleh salah sebuah syarikat gergasi dengan tujuan pembangunan bercampur, namun nasib dan kepentingan penduduk masih belum jelas. 

“Kepimpinan UMNO di Skudai Kiri turut menyertai jawatankuasa bertindak ini dengan penglibatan kira-kira 10 cawangan. 

“Menerusi jawatankuasa ini, kami akan bergabung dan bersatu untuk memantau seterusnya sedia mengambil tindakan terhadap tekanan-tekanan yang diterima dari mana-mana pihak demi membela nasib serta kepentingan orang-orang Melayu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Gerakan UMNO Skudai Kiri, di sini, kelmarin. 

Mohd Yunos berkata, isu ini seharusnya diteliti oleh kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian dan Perhubungan Negeri kerana mas�yarakat Melayu di Skudai Kiri memberikan lebih 52 peratus undi kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU). 

“Penduduk Skudai Kiri majoritinya adalah pengundi Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting yang majoriti merupakan penyokong kuat BN dalam setiap PRU,” katanya. 

Selain itu, katanya, pihak jawatankuasa turut menerima maklumat bahawa tanah di Skudai Kiri seluas 135 ekar sudah dinyatakan sebagai Rizab Melayu berdasarkan Undang-Undang Kawasan Rizab Melayu 1936 Perisytiharan Di Bawah Seksyen 3 (i). 

“Berdasarkan undang-undang ini, Pengarah Tanah dan Galian Johor dengan persetujuan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan dalam mesyuarat mengisytiharkan bahawa kawasan tanah yang duduknya di daerah Johor Bahru, Mukim Bandar Johor Bahru mengan�dungi lebih kurang 135 ekar dan ditandakan di atas Plan G 675 yang disimpan di Pejabat Ketua Juru Ukur negeri di bawah Seksyen 410 Kanun Tanah Negara dijadikan Kawasan Simpanan Melayu dikenali sebagai Rezab Melayu Kampung Skudai Kanan dan Kiri,” katanya. 

Justeru, Mohd Yunos berkata, pihaknya bertegas mahu tanah di Skudai Kiri seluas 103 ekar kekal selama-lamanya sebagai rizab Melayu dan sebarang usaha mengeluarkan penduduk dari kawasan terbabit dianggap sebagai pengkhianat bangsa. 

“Kawasan tanah Skudai Kiri tidak perlu dikeluarkan daripada rizab Melayu walaupun dengan menggantikan kawasan lain berdasarkan Kanun Tanah Negara. 

“Sekiranya kawasan ini mahu dibangunkan, penduduk mesti terus berada di Skudai Kiri malah kami menolak pembangunan rumah mewah yang tidak mampu dibeli orang Melayu. 

“Kami berpendapat Skudai Kiri antara kawasan atau tanah bernilai di tengah-tengah bandar milik orang Melayu yang perlu dipertahankan selama-lamanya dan kepimpinan kerajaan perlu melihat nilai ‘harga diri’ bangsa Melayu melebihi kepentingan lain,” katanya. 

Mohd Yunos berkata, pihaknya akan memajukan satu kenyataan berhubung keperluan menjaga sosio politik orang Melayu di Skudai Kiri kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat. 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pulai, Saiful Sidek Abdullah berkata, pucuk kepimpinan UMNO di peringkat negeri diharapkan supaya prihatin dengan tuntutan yang dibuat oleh rakyat demi memastikan geopolitik parti pemerintah di kawasan bandar akan terus kekal. 

“Apa yang dituntut oleh penduduk Skudai Kiri bukan satu benda yang berlebihan, sebaliknya mereka mahu hak status tanah rizab Melayu ini dikekalkan sahaja. 

“Penduduk tidak menolak sebarang pembangunan yang dibawakan kerajaan, namun berharap mereka dapat terus kekal di penempatan sedia ada kerana tidak mahu tanah itu diambil alih oleh warga asing selepas membeli pada harga mampu milik. 

“Ini sahajalah masa untuk kepimpinan UMNO dan BN membukti seterusnya memanifestasikan gagasan 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ atau terpaksa berdepan hakisan kepercayaan terhadap kerajaan di kalangan rakyat pada masa akan datang,” katanya. 

Bagi Ketua UMNO Skudai Kiri 2, Md Sultan Abd Rahim berkata, khabar angin tanah Skudai Kiri bakal diambil untuk pembangunan yang penduduk dengar cukup menimbulkan kebimbangan kerana tidak mahu ‘harta’ orang Melayu menjadi hak warga asing kelak. 

“Saya mewakili penduduk di Skudai Kiri hanya mahu terus tinggal dan tanah ini dikekalkan untuk Rizab Melayu seperti mana tertera dalam undang-undang sahaja,” katanya.

No comments:

Popular Posts