Salam,
Seorang ibu atau ayah seringkali dilihat zalim oleh para anak-anak remaja apabila hak untuk memilih kawan misalnya mendapat campur tangan ibubapa mereka. Itu dari sudut pemikiran anak-anak remaja sebaliknya dari sudut ibubapa, campurtangan itu perlu bagi langkah-langkah pencegahan sebelum sesuatu perkara buruk dilakukan oleh anak-anak remaja akibat pengaruh buruk dari rakan-rakan yang berkawan dengan anak-anak mereka.
Remaja di barat rosak serta hilang hormat kepada ibubapa atas nama hak asasi dan kebebasan. Melakukan sesuatu perkara dengan terlebih dahulu meminta izin ibubapa dilihat sebagai ketinggalan zaman dan menyekat hak asasi mereka.
Ini suatu gambaran bagaimana kita harus menilai keperluan ISA dari sudut pemerintah bukan rakyat. Ini adalah kerana undang-undang ISA adalah berkaitan langkah-langkah pencegahan sebelum sesuatu yang yang buruk berlaku. Dengan segala kemudahan dan jentera pentadbiran yang cekap dan lengkap maka kerajaan memiliki kemampuan untuk mengesan sebarang tindakan yang bakal mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam. Maka tidak pelik jika sesetengah tangkapan dibuat ke atas seseoraang dan sebab terperinci seseorang itu ditangkap menyangkut persoalan keselamatan negara dan berkaitan pula dengan proses penyiasatan yang tidak boleh didedahkan, ia dilihat sebagai tangkapan tanpa sebab dan zalim.
Maka itu, kita lihat isu-isu yang sering dibangkitkan adalah persoalan hak asasi dan mengapa seseorang itu ditangkap tanpa dibicara dan simpati pula kepada anak isteri yang hilang tempat bergantung. Mengapa isu ini hanya dibangkitkan dalam isu ISA tidak pada kesalahan lain. Misalnya dalam kes bunuh mengapa ketika direman sebelum dibicarakan kita tidak pula kata ia tidak adil kerana tidak dibicarakan dan bagaimana nasib anak isterinya. Ini tidak lain tidak bukan kerana pembangkang telah berjaya menanam persepsi bahawa mengancam keselamatan negara dan mengganggu ketenteran awam itu bukan suatu kesalahan seperti membunuh atau lain-lain kesalahan. Sedangkan dari sudut perundangan negara, tahanan ISA adalah pelanggar undang-undang sebagaimana membunuh, merompak dan sebagainya juga sebagai pelanggar undang-undang.
Apakah zalim kerajaan menahan pembunuh dan sebab penahanan itu maka keluarga pesalah menjadi susah? Tentunya kita akan mengatakan itu adalah konsekuensi yang harus ditanggung pesalah akan kesalahannya itu. Kalau dia berfikir maka dia tidak akan membunuh dan menerima hukuman. Dalam ISA juga begitu cuma jenis pelanggaran undang-undang kadang kala adalah merupakan perkara yang berkaitan dengan keselamatan negara dan tidak boleh didedahkan dalam perbicaraan terbuka kerana di dalam perbicaraan terbuka segalanya akan didedahkan dan ini tidak wajar dilakukan.
Bagi saya ISA wajib dikekalkan dan jika adapun penyalahgunaan kuasa dalam perlaksanaannya, maka kita perlu tangani penyalahgunaan kuasa itu bukan memansuhkannya. Jika penyalahgunaan kuasa undang-undang yang dilaksanakan akan kita katakan undang-undang itu perlu dimansuhkan, maka terlalu banyak undang-undang yang harus dimansuhkan seperti hukum Islam poligami misalnya yang disalah gunakan, apakah kita mansuhkan hukum poligaminya? .
Cukup setakat itu, mari kita bahas......
No comments:
Post a Comment