Wednesday, January 7, 2009

POLITIK PAS : MEMPERTANYAKAN KEISLAMAN POLITIK PAS


SALAM,

Politik di dalam bahasa Arab dikenali dengan istilah siasah. Siasah mempunyai beberapa makna: mentadbirnya, melatihnya, dan mendidiknya. Memang pada awalnya kata siasah (politik) tersebut diterapkan pada pengurusan dan pelatihan penggembalaan. Tetapi penggunaan kata tersebut tidak terbatas pada penternakan te tapi boleh juga digunakan pada manusia. Oleh itu, secara leksikal kata siasah boleh membawa maksud: pemeliharaan (ri’ayah), perbaikan (ishlah), pelurusan (taqwim), pemberian arah petunjuk (irsyad), dan pendidikan (ta`dib).

Tidak boleh secara langsung akan dikatakan sebagai siasah di dalam Islam hanya dari makna kata (lafdhi) tetapi wajib kembali kepada dasar Islam sehingga makna kata itu boleh digunakan sebagai makna siasah dalam Islam. Iaitu, tidak boleh dikatakan siasah Islamiah hanya jika telah melakukan pengurusan atas urusan seluruh umat Muslim semata-mata. Ia masih perlu dipertimbangkan kerana Islam memiliki makna lebih luas dari pada pengurusan, sehingga makna politik di dalam Islam mesti didefinisi menjadi: manusia dihidayati (dibimbing) oleh seorang Imam untuk menuju kepada tujuannya.

Dengan maksud:

Manusia: iaitu keseluruhan manusia, kerana Islam adalah rahmatan lil alamin, iaitu untuk semua keberadaan alam semesta termasuk keseluruhan manusia, jadi Islam bukan hanya untuk muslimin dan bimbingan serta tarbiyah Islamiah diberikan kepada semua manusia tanpa kecuali. Ketika ada yang menolak maka Islam tetap memberikan hidayah dan bimbingan walaupun ditolak, sekalipun demikian, Islam akan terus memberikan cahaya penerangan bagi hidupnya.

Hidayah: kata hidayah sudah mencakup semua makna pemeliharaan, perbaikan, pelurusan petunjuk dan pendidikan. Ada satu lagi makna hidayah iaitu yang telah juga mencakupi nilai semuanya iaitu nilai yang dimiliki Islam iaitu dengan nilai Ilahi. Jadi hidayah adalah tuntunan bagi manusia yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah melalui ajaranNya.

Imam: Adalah orang yang dipilih Allah untuk membawakan ajaranNya bagi manusia sehingga manusia menerima tuntunan ajaran yang ditetapkan bagi mereka. Jadi seorang imam bukan bererti hanya seorang nabi atau rasul, tetapi dia yang melaksanakan dan melaksanakan makna politik dalam kehidupan manusia. Tugas imam adalah menghidayahi (membimbing) manusia untuk sampai pada tujuan kemanusiaan, iaitu tujuan penciptaan.

Menuju : kata ini menunjukkan adanya proses untuk sampai kepada tujuan, iaitu selama kehidupan manusia belum sampai kepada tujuan yang ditetapkan Allah bagi manusia belum tercapai maka proses penghidayahan yang dilakukan Imam akan terus berjalan. Proses inilah yang dikatakan proses pelaksanaan Islam dan menjalankan proses itu pun dengan cara yang ditetapkan Islam. Iaitu proses ini bukan satu proses yang setiap orang dapat melaksanakannya dengan cara yang tidak berlandaskan Islam atau bertentangan dengan Islam. Sehingga kebenaran dan keabsahan proses dalam menuju kepada pelaksanaan Islam yang syumul boleh dilihat dengan Islam adakah ianya benar atau salah, lurus dan tidak meninggalkan atau bertentangan dengan Islam.

Tujuan Islam adalah Allah dan tujuan lain yang hendak dicapai oleh pelaksanaan Islam adalah sampainya manusia kepada kesempurnaan manusia dalam redha Allah. Pada setiap peringkatnya tentu akan dapat dilihat sebagai tujuan juga, tetapi hal tersebut adalahi tujuan perantaraan. Seperti tujuan kehidupan manusia adalah ibadah, tetapi ibadah pun tujuannya Allah, sehinngga ada ayat yang menyatakan: Katakanlah:”Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”.(Al An’am 162). Semua datang dari pada Allah dan kembali kepada Allah, dan Allahlah yang memiliki semua makna kesempurnaan, sehingga tidak betul kalau ada tujuan akhir yang menunjukkan kesempurnaan dan ianya bukan Allah. Untuk itulah semua tujuan yang diinginkan manusia adalah kesempurnaan dan kesempurnaan itu adalah Allah. “Hai manusia, sesungguhnya kamu sudah berusaha dengan sungguh-sungguh menuju kepada Allah, dan pasti kamu akan menemui-Nya”.(Al Insyiqaq- 6).

Dengan pengertian di atas, maka kita akan dapat mengetahui siapa dan apa saja yang termasuk dalam politik Islam. Ini adalah kerana permasalahannya bukan pada nama yang membawa nama Islam, tetapi apakah sudah membawakan nilai Islam atau belum, selama mana sesiapa atau apa belum memiliki nilai Islam atau dilihat dari nilai Islam, maka ianya tentu tidak akan dapat dikatakan sebagai berpolitik Islam. Nilai itu akan nampak dari dasar, pelaksanaan, proses dan tujuan yang Islami.

Manusia, kalau ianya ada di dalam politik Islam, maka tentu bukan namanya saja yang Islam atau meneriakkan bahawa dirinya ada di dalam politik Islam, tetapi akan dapat dibaca dari pola berfikir, tindak tanduknya, serta amalnya semuanya tertuju kepada redha Allah. Sehingga boleh jadi orang tersebut tidak di dalam satu komunit Islam tetapi ianya dapat membawa orang menuju kepada Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw, di mana baginda berada di tengah orang yang membawa berhala dan menyembahnya tetapi kemudian dengan berjalannya waktu perlahan-lahan manusia tersebut berubah menjadi muslim dan mukmin dengan hidayah Allah yang nampak dalam setiap tindak laku serta amal Rasul.

Sehingga dengan ini, belum tentu dirinya sudah bernama dengan nama Islam, dan kemudian mengaku dirinya sebagai muslimin, kemudian beramal dan beraktiviti dalam politik, maka ianya sudah boleh dikatakan sebagai sebagai berpolitik Islam atau politikus Islami

Juga begitu , di dalam komuniti atau parti, di sini bukan saja nama komuniti atau parti itu harus diberi nama Islam tetapi ianya wajib menunjukkan setiap nilai -nilai Islam. Sehingga dalam permasalahan ini nilai islam merupakan suatu yang wajib berada di dalam komuniti tersebut, bukan hanya nama. Jadi dasar, amal (activities) proses serta tujuannya wajib juga Islam. Sehingga salah kalau satu komuniti atau parti hanya dengan menamakan dirinya komuniti atau parti Islam maka ianya sudah Islam, atau meletakkan dasar Islam pada partinya tentulah ianya sudah Islam.

Jadi suatu parti dengan nama Islam dan meletakkan dasar Islam pada partinya, boleh jadi ianya masih belum mengikut politik Islam, kerana masih ada lagi beberapa kriteria lain yang diperlukan sehingga parti tersebut dikatakan berpolitik Islam. Seperti dalam proses dan tujuan parti tersebut. Iaitu ketika parti tersebut berjalan dengan tidak dengan jalan yang sudah ditetapkan oleh Islam maka ianya tidak boleh dikatakan sebagai berpolitik Islam, atau kalau ianya belum bertujuan mendapatkan redha Allah maka ianya belum lagi berpolitik dengan politik Islam.

Tentunya sebagai satu individu dan satu parti akan berbeza menilainya. Ini adalah kerana kalau dalam proses islah atau perbaikan, iaitu dengan menggunakan amar makruf nahi munkar, seorang tidak akan boleh disamakan dengan satu komuniti, sekalipun dasar nilainya sama iaitu Islam, kerana ketika Islam melihat keberadaan seseorang dengan melihat satu komuniti dalam konteks amar makruf nahi munkar maka Islam akan menilainya berbeza. Ini adalah kerana kekuatan amar makruf yang dilaksanakan oleh seorang dengan satu komuniti jauh berbeza. Memang kedua-duanya memiliki kewajipan beramar makruf dan nahi munkar, tetapi tugas (taklif)satu komuniti tidak akan sama dengan satu orang. Dengan ini, menilai satu orang ada di dalam politik Islam dengan satu komuniti dalam politik Islam juga berbeza.

Satu parti yang menamakan dirinya Islam berkewajipan menegakkan Islam sesuai dengan cara Islam, bukan dengan keinginan seseorang yang memimpinnya. Keberadaan sekelian banyak orang yang sudah membentuk satu komuniti mewajibkan dirinya untuk melepaskan dirinya (partinya) dari semua yang akan memungkinkan terjadinya fitnah. Iaitu membuat umat muslimin ragu atau menjadikan orang melihat Islam sebagai sesuatu yang sama dengan yang tidak Islami. Kerana kalau saja ini terjadi maka nilai politik Islam sudah hilang dari pada parti tersebut. Juga tugas amar makruf yang hendak dilaksanakan sudah hilang maknanya, sehingga parti tersebut tidak akan lagi dapat mempertahankan nilai Islamnya. Sehingga dukungan kepada parti ini pun tidak wajib lagi.

Sama seperti bagaimana seseorang wajib mengikuti ulama yang adil, iaitu ulama yang tetap memiliki kriteria adil, iaitu dia yang jauh dari perbuatan haram, menjalankan kewajipan serta tidak ada dalam perbuatan syubhah (makruh). Kalau saja ada ulama Islam yang masuk dalam perbuatan haram atau tidak menjalankan kewajipan Islamnya atau masuk dalam perbuatan syubhah, dan membuat keraguan di dalam masyarakat Islam, maka hilanglah kewajipan untuk mengikuti ulama tersebut.

Dengan cara menilai di atas, kalau Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nikmat hendak menjadi ulama yang diikuti orang dan menjadi imam dalam politik Islam, maka dirinya wajib keluar daripada pola berfikir yang selama ini menjadi bahagian dari politiknya. Beliau wajib mengingatkan agar Pas keluar dari subhah dengan Pakatan Rakyat, kerana keberadaan Pas di dalam gabungan parti-parti tersebut akan membuat parti yang mengatasnamakan Islam tersebut kehilangan nilai Islamnya, sehingga ianya hanya menjadi parti dengan nama Islam sahaja tanpa nilai Islam.

Tuan Guru Hj Nik Abdul Azizpun kalau tidak hati-hati akan kehilangan keadilannya sebagai ulama, sehingga kewajipan mengikuti ulama terhadap dirinya akan hilang pula. Jadi kalau ada kewajipan untuk mengikuti ulama di dalam Islam maka kewajipan itu tetap berjalan,tetapi permasalahan yang ada ialah pada ulamanya, iaitu ulama yang wajib ditaati sudah tidak berkriteria sebagai ulama yang wajib ditaati lagi. Sebagaimana parti Islam wajib di ikuti selama ianya benar-benar mengikuti persyaratan untuk ditaati, tetapi ketika persyaratan itu hilang maka hilang pula persyaratan untuk mengikutinya.

Pas kalau hendak mendapatkan nilai Islam dalam menjalankan amar makrufnya dalam politik Islam, maka langkah awalnya harus keluar dulu dari amal syubhah yang sedang ada padanya, iaitu keberadaannya dalam Pakatan Rakyat, kerana dengan berada di sana, Pas dan semua yang ada didalamnya telah bersama sama melakukan kemungkaran berdasarkan politik Islam. (hakikatnya semua muslimin dan mereka sendiripun tahu hal ini). Sehingga keberadaan mereka di dalam syubhah ini sebenarnya satu langkah politik yang salah dan mungkar sehingga perlu ada amar makruf untuk Pas. Dan tulisan ini adalah satu amar makruf bagi parti yang mengatas namakan Islam itu.

Pesan tulisan ini, tinggalkan syubahah dengan DAP dan PKR, kerana keduanya akan menghancurkan Islam yang kalian imani itu. Sekarang pun kalian telah kehilangan keIslaman dan keadilan yang diajarkan Islam. Amar makruf adalah amal yang dilakukan untuk menghilangkan kemungkaran, bagaimana hendak menghilangkan kemungkaran kalau dirinya sendiri dalam kemungkaran itu. Amar makruf mewajibkan perbuatannya makruf dan bertujuan menghilangkan kemungkaran sehingga menjadi makruf dengan cara yang makruf.

No comments:

Popular Posts