Monday, September 15, 2008

Kembali Ke Islam Hadhari

Salam


Keluar dari perdebatan istilah, maka kita perlu kembali kepada inti masalah yang ada di dalam Islam Hadhari. Perdebatan istilah bukan tidak dapat diselesaikan tetapi sebaliknya, perdebatan itu tidak berdasarkan satu fakta dan pembahasan yang ilmiah yang membuatkan tuduhan yang ada tidak berpijak pada dasar kebenaran logika dan ilmiah. Dengan istilah Islam Hadhari yang telah dibahas sebelum ini, maka akan dibuka peluang pula untuk meninjau kembali pada inti dari Islam Hadhari yang hingga kini tidak pernah dilihat oleh mereka yang mengkritik Islam Hadhari, kerana kritik yang ditimbulkan hanya sebatas istilah sahaja.


Permasalahan pertama adalah mengapa tidak Islam yang syumul yang dipakai, sehingga akan menimbulkan permasalahan baru di kalangan muslimin. Memang disinilah permasalahan itu berpijak. Pada satu pihak orang Islam mengimani bahawa Islam sudah syumul, tetapi tidak ada seorang pun yang pernah melihat keadaan yang menggambarkan secara praktikal tentang kesyumulan Islam itu sehingga apa yang terbentuk di hadapan orang Islam adalah iman kepada kesyumulan Islam sebagaimana Alllah menunjukkan kepada manusia bahawa Islam adalah ajaran yang menyangkut semua aspek kehidupan tanpa kecuali. Pada pihak lain, manusia belum dapat menerima dan juga mengamalkan ajaran Islam dengan syumul sehingga tidak ada satu contoh yang jelas bagaimana Islam yang syumul itu dilaksanakan.


Kebanyakan orang Islam akan mengembalikan contoh itu pada zaman Rasulullah di Madinah, itulah yang menunjukkan kesyumulan Islam ketika dilaksanakan. Maka dengan inilah pula menjadi bukti bahawa Islam yang syumul akan susah untuk dilaksanakan pada hari ini, kecuali dengan persyaratan yang ada di Madinah. Sebagai contoh ialah keberadaan Rasul sendiri, di mana beliau mewakili Khalifah yang dipilih Allah, dan memiliki authoriti untuk menentukan penafsiran hukum sesuai dengan masa dan keadaan di masa itu, sehingga beliau menjadi hakim dalam makna yang sempurna. Hubungan beliau dengan Allah merupakan inti kehidupan Islam yang syumul, sehingga antara hakim , hukum dan mahkum betul -betul syumul dilaksanakan.


Pada zaman ini, keberadaan kehidupan manusia bertambah kompleks dan juga telah dicemari oleh berbagai pandangan terhadap nilai kebenaran dan juga kepada Islam. Ketika adanya Rasul maka Islam tidak ada lain kecuali apa yang dibawakan oleh Rasul, dan ketika adanya perbezaan pendapat semua akan kembali kepada Rasul untuk menyelesaikannya. Sementara sekarang, orang Islam hendak kembali kepada siapa, dan dengan standard apa satu dengan yang lain akan menyelesaikan permasalahannya?. Ketika semua mengangkat bicara dengan mengatakan bahawa semua wajib kembali kepada Quran dan Sunnah, maka dari situ pula orang Islam telah berbeza pendapat. Satu dengan yang lain memiliki perbezaan pendapat tentang melihat Quran dan Sunnah, sehingga perlu adanya pula ijma’ ulama. Dari ijma’ pula terjadi masalah, kerana muncul permasalahan ulama mana dan di mana terjadi ijma’ juga pada masalah apa ulama dapat melakukan ijma’. Dan begitu selanjutnya. . . . .


Dengan keyakinan bahawa Islam telah sempurna dan juga syumul dari semua aspek kehidupan manusia, maka Islam perlu dilaksanakan dengan sempurna pula. Tetapi tidak mungkin setiap kondisi hal ini dapat dilakukan, mungkin perlu dikatakan bahawa perlu ada pengkondisian atau membentuk kondisi sehingga manusia hendak menerima Islam dengan syumulnya. Maka pada tahap pertama perlu ada sebahagian manusia atau tepatnya muslimin yang berinisiatif untuk menjelaskan kepada manusia yang lain tentang semua aspek yang menggambarkan kesyumulan Islam itu sehingga mereka tertarik untuk melihat Islam dan mengimaninya kemudian mengamalkannya. Dengan ini maka diperlukan berbagai cara dan tahapan sehingga manusia akan mengenal dengan baik apakah Islam dan betapa indahnya Islam ketika dilaksanakan dengan sempurna.


Dengan adanya 10 prinsip Islam Hadhari, maka langkah pertama terhadap pengenalan kepada Islam telah dilaksanakan. Dalam hal ini bukan saja Islam sebagai teori tapi juga Islam dalam kehidupan praktis. Prinsip - prinsip itu, apabila dilaksanakan akan membawa kebaikan kepada semua manusia, bukan saja kepada rakyat Malaysia tetapi juga semua manusia secara global. Memang program itu dilaksanakan di Malaysia tetapi kesan yang akan terbentuk adalah kesemua aspek kehidupan menyeluruh dari kehidupan manusia di bumi ini. Untuk itu dapat dikatakan bahawa Islam Hadhari memang memetik sebahagian dari apa yang diajarkan Islam, tetapi bukan bererti ianya telah mengurangkan Islam, tetapi membimbing manusia pada langkah-langkah yang sesuai dengan keadaan mereka di suatu tempat dan masa yang diperlukan dalam kondisi tersebut -.


Perlu adanya langkah yang bijaksana untuk mentarbiyah dan mengajarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama tersebut sehinggalah mereka akan mengetahui kebenaran dan kebaikan serta keindahan Islam. Ini adalah kerana tidak mungkin mereka akan menerima semua yang datang dari Islam tanpa mengetahui terlebih dahulu kebaikan yang ada di dalamnya, atau lebih tepatnya dapat dikatakan bahawa mereka akan menerima Islam dengan baik kalau saja mereka melihat kebaikan ajaran dan juga faedah yang memenuhi keperluan hidup dunia dan akhirat mereka, tanpa ini, mereka merasa akan cukup dengan apa yang mereka miliki sekarang.


Kalau saja orang - orang Islam dapat menunjukkan bahawa Islam adalah sesuai dengan keperluan kehidupan manusia di dunia sehingga dapat mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat, maka pastilah mereka akan menerima seluruh Islam dengan sempurna. Pengajaran ini perlu dilaksanakan dari sekarang, sehingga perlahan lahan semua akan melihat bahawa bukan sahaja ajaran yang indah ini dapat dikenal tapi juga pelaksanaannya akan dinikmati oleh semua. Islam Hadhari hadir di dalam masyarakat Malaysia tidak hanya untuk satu partai atau mengatas namakan partai, sebagaimana Islam tidak akan dapat digunakan untuk satu partai sahaja atau Negara sahaja, tapi ianya kembali pada satu program Allah yang Agung untuk membawa manusia menjadi hambaNya yang sempurna sehingga mendapatkan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat nanti.


Kalau ada yang melihat adanya orang yang tidak sesuai dengan nafas dan gerak dari dasar Islam yang ada pada 10 prinsip itu, siapa pun, maka bererti di sanalah perlunya kearifan orang Islam untuk menjalankan prinsip itu, kerana bererti bahawa Islam Hadhari memerlukan proses untuk menjalankannya, sebagaimana proses Islam yang syumul untuk membimbing semua manusia muslimin dan non - muslim- ketempat yang diredhai Allah.


Semestinya orang -orang Islam perlu merenungkan dan memikirkan faedah apa yang akan dapat diterima oleh mereka ketika prinsip itu dilaksanakan bersama, kehidupan yang bagaimana kalau semua prinsip itu dilaksanakan di Malaysia. Lebih jauh lagi, bagaimana kalau semua muslimin dan juga non-muslim menjalankan dan mengikuti prinsip 10 yang dibawa Islam Hadhari. Maka tentulah tidak akan ada yang lebih baik dari ini semua, kerana langkah- langkah yang terserlah dari prinsip itu tidak lain melainkan langkah yang akan membawa manusia kepada kesyumulan Islam, iaitu membawa manusia berjalan bersama Islam sehingga sampai pada redha Allah; mereka redha pada Allah dan mereka pula di redhai oleh Allah. Inilah yang menentukan bahawa semua perlu kembali kepada Islam Hadhari kerana langkah ini akan membawa manusia bersama- sama untuk saling ingat mengingatkan akan kebaikan dan saling mencegah dari pada munculnya kemungkaran, saling menasihati dan mengajarkan kebenaran dan saling memberikan ketabahan dan kesabarannya dalam bermuamalah bersama. Kalau tidak, tidak akan ada kebenaran pun yang dapat dijalankan kerana para ahli kebenaran tidak bijak dalam menjalankan kebenaran yang diimaninya.


Untuk itu perlu ada kebersamaan untuk dapat menjalankan kebenaran yang sempurna sehingga menjadi amalan yang sempurna pula.

No comments:

Popular Posts