Thursday, November 5, 2009

Siaran Ulangan - DR ASRI ZAINAL ABIDIN

DRMAZA PENGEMUDI BAHTERA PERUBAHAN MINDA YANG INGIN BELAYAR SEORANG DIRI SAHAJA DI LAUTAN YANG LUAS.
Salam,

Agak panjang tajuk kali ini dan menyentuh lagi tulisan Dr Maza berkaitan wahhabi. Saya ingin mengajak pembaca berlaku adil untuk kita sama-sama melihat kembali tulisan Dr Maza tempohari:-

Apakah Benar Wahhabi Merupakan Misteri Di Malaysia?
Jawapan atas tulisan : Misteri Wahhabi di Malaysia- Dr Maza.


Dr Maza menulis :
Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).
Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.

Jawapan saya :-

Pandangan ini sebenarnya adalah berdasarkan oleh tinjauan lapangan dengan adanya kelompok tajdid terutama dengan munculnya kelompok Al Qaidah yang memang dasar pergerakannya dengan adalah dasar pandangan Wahhabi. Termasuk mereka yang tertangkap di Saudi yang menjadi pusat Wahhabi itu sendiri. Pada mulanya memang Muhammad Abdul Wahhab menjadi maskot ulama untuk pengembangan Dinasti Al Saud, tetapi sekarang wahhabi melihat bahawa kerajaan Saudi sudah meninggalkan ajaran asli. Mereka bergerak dengan nama Tajdid (pembaharuan), Salafi. Apapun namanya, semua gerakan Wahhabi masih dibawah tajaan dan biaya Dinasti Al Saud.

Dr Maza menulis:

Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan jelas. Kerana, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu.

Jawapan saya:
Bagaimana tidaknya?. Pengikut kelompok ini, menolak setiap pandangan ulama sekalipun ulama tersebut adalah ulama mazhab dan ulama yang kontemporer dan moden, seperti pandangan Qardhawi yang mengatakan : “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). (saya gunakan rujukan yang sama dengan DRMAZA !)

Di sesetengah tempat wahhabi menuduh orang lain sebagai pelaku amalan-amalan khurafat. Mereka membawa dalil ulama tempatan yang menolak kenduri arwah (menurut wahhabi adalah khurafat) seperti Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”.

Padahal terdapat dengan jelas seperti di Indonesia ada kelompok Nahdahatul Ulama dan Muhammadiyah. Nahdahatul Ulama adalah kelompok yang memiliki ulama yang tidak sedikit dan juga memadai untuk dikatakan ulama, mereka membolehkan amalan kenduri arwah, bertentangan dengan Muhammadiyah yang mengaku sebagai gerakan tajdid. Kenapa harus dipertentangkan?, kerana ijtihad masih terbuka dan kita boleh sahaja berbeza pendapat, dengan dasar yang ada di dalam kitab (begitu pandangan ulama Nahdahatul Ulama).

Wahhabi juga adalah kelompok yang menolak sesetengah kelompok agama pula, yang mana mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang dikatakannya "tertolak' dengan memberikan predikat Israeliyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Jadi kelompok Wahhabi ini hanya menyatakan dirinya sendiri yang benar, dan kalau ada yang berbeza dengannya maka dikatakan sebagai pengikut Israeliyat dan bercanggah dengan Islam. Mereka menuduh hal itu, sekalipun orang beramal dan berkeyakinan dengan bersandarkan nas Qur'ani. Kita tidak menafikan memang ada yang Israeliyat, tetapi ulama Islam secara keseluruhan tidak sepakat hadis mana yang Israeliyat atau yang bukan, bukan hanya wahhabi sahaja yang boleh menentukan suatu hadis itu Israeliyat atau bukan.

Lebih buruk lagi, wahhabi menuduh aliran tarekat, atau sebagai pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, dan juga mentohmah mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan Hadis sahih serta tidak bersetuju dengan tarekat itu akan disenaraikan sebagai wahhabi. Ini memang ada kebenarannya, kerana hanya wahhabi yang melakukan tindakan seperti itu. Mereka tidak mahu menerima sebarang nama tarekat atau melihat kembali dasar tarekat dari Qur'an dan Hadis. Bagi golongan wahhabi semua tarekat adalah bid'ah, dan mereka katakan sebagai mengajarkan ajaran sesat dan keluar dari Quran dan Hadis sahih. Seolah-olah hanya wahhabi yang dapat memahami Qur'an dan menentukan hadis mana yang sahih?.

Begitu juga Wahhabi - versi Drmaza- menganggap dirinya sebagai seiring dengan pandangan modernism dan rationalism kerana beliau berpendapat: "Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.

Jika DrMaza dapat mengamalkan pandangannya atau beramal dengan apa yang dia ucap, keluasan menerima pandangan, maka semua tulisan yang ada dalam –Misteri Wahhabi di Malaysia- sudah terbatal dengan dalilnya sendiri, kerana tulisan itu membuktikan dia tidak menerima pandangan orang lain yang masih terbuka kemungkinan tidak seperti apa yang beliau tuduh.

Dr maza menulis : Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Ini sepenuhnya benar, kerana tulisannya Misteri Wahhabi di Malaysia menolak semua pandangan dan pendapat ulama, kelompok dan juga masyarakat lain yang tidak sependapat dengannya. Tulisan itu sendiri menjadi dalil sifat Wahhabinya DrMaza.

Dr Maza menulis lagi:
Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang.

Ini tidak sepenuhnya benar, namun jika kita teliti fahaman wahhabai ini, memang Wahhabilah dengan semua dakwaannya sebagai pembaharu dan pembaharuan, merupakan usaha untuk penentangan terhadap apa yang sebenarnya yang sudah ada di dalam Islam. Gerakan ini sedang merosakkan Islam dari dalam Islam dengan mengibarkan bendera yang berslogankan "Pembaharuan/bahtera pembaharuan minda dsb", yang mana sebenarnya tidak lain inilah bid'ah itu sendiri. Dengan alasan ini kebanyakan umat Islam menolak gerakan atau aliran Wahhabi ini.


Lihatlah ini:
Dalam Kitab Abdurrahman bin Muhammad bin Qosim al-Hambali an-Najdi berjudul “Ad-Durar as-Saniyah”: Muhammad bin Abdul Wahab menyatakan: “…Dahulu, aku tidak memahami erti dari ungkapan Laailaaha Illallah. Kala itu, aku juga tidak memahami apa itu agama Islam. (Semua itu) sebelum datangnya anugerah kebaikan yang Allah berikan (kepadaku). Begitu pula para guru(ku), tidak seorangpun dari mereka yang mengetahuinya. Atas dasar itu, setiap ulama “’al-Aridh’” yang mengaku memahami arti Laailaaha Illallah atau mengerti makna agama Islam sebelum masa ini (anugerah kepada Muhammad bin Abdul Wahhab, ) atau ada yang mengaku bahawa guru-gurunya mengetahui hal tersebut maka ia telah melakukan kebohongan dan penipuan. Ia telah mengecoh masyarakat dan memuji diri sendiri yang tidak layak bagi dirinya.” (Lihat: Ad-Durar as-Saniyah jilid 10 halaman 51 )

Tidakkah dapat dilihat di sini bagaimana Muhammad bin Abdul Wahhab telah melakukan:

a- Mengaku hanya dirinya (monopoli) selama ini yang faham konsep Tauhid dari kalimat Laailaaha Illallah dan telah mengenal Islam dengan sempurna.

b- Menafikan pemahaman ulama dari golongan mana pun berkaitan dengan konsep Tauhid dan pengenalan terhadap Islam, termasuk guru-gurunya sendiri dari mazhab Hambali. Apatah lagi dari mazhab lain.

c- Menuduh para ulama lain yang -versinya- tidak memahami konsep Tauhid dan Islam telah melakukan penyebaran ajaran batil, ajaran yang tidak berlandaskan ilmu dan kebenaran.

d- Hanya dirinya yang mendapat anugerah khusus Ilahi itu. Dan dirinya pulalah yang berhak mendapat pujian, baik di dunia mahupun di akhirat. Kerana tentu kebatilan -versinya- mustahil akan menjanjikan keselamatan dan kebahagiaan sejati di akhirat.

Beginilah Wahhabi dan ini bukan misteri.

No comments:

Popular Posts