Saturday, November 1, 2008

KUASA KARISMA PEMIMPIN : PENENTU KEBERHASILAN PROGRAM.


Salam,


Saya menulis berkaitan Islam Hadhari ini sudah beberapa kali dan beberapa kali juga terdapat ulasan, komen dan kritikan yang saya terima berkaitannya. Beberapa jawapan telah juga diberikan bagi menerangkannya namun masih lagi tidak dapat difahami oleh sesetengah pembaca kerana "kuatnya" propaganda di luar sana yang memberikan persepsi yang salah atas Islam Hadhari. Yang paling menonjol ialah apabila Islam Hadhari dikritik kerana orang melihat Pak Lah sebagai pelopornya gagal melaksanakan program Islam Hadhari ini.

Oleh kerana itu, pada peringkat awal lagi saya sengaja menggunakan nama purehadharist kerana ingin cuba membawa pemikiran Islam Hadhari yang mana menurut pandangan saya harus dinilai secara objektif tanpa melihat Pak Lah sebagai manusia biasa. Purehadharist ingin mencuba membawa hadhari yang murni berasaskan Islam.
Saya juga memegang suatu pandangan bahawa kuasa karisma adalah penting dalam apa sahaja pemikiran yang hendak dibawa oleh pemimpin. Tanpa kuasa karisma, sesuatu pemikiran yang baik tidak akan dapat diikuti walaupun pemikiran itu benar. Sebaliknya, dengan kuasa karisma, suatu pemikiran yang salah akan diikuti.


Maka begitulah yang saya lihat kepada konsep Islam Hadhari ini. Sebenarnya Pak Lah banyak membawa pemikiran-pemikiran serta pendekatan yang baik dalam pemerintahannya seperti keterbukaannya, kesantaiannya serta pendekatan permuafakatan yang dia amalkan. Namun Pak Lah kurang berkarisma dalam sesebuah gagasan pemikiran atau corak pemerintahannya maka segalanya menemui kegagalan dan beliau sendiri gagal mempertahankannya. Atas dasar ini, saya merasa amatlah rugi sesuatu konsep yang baik namun dek kerana pelopornya gagal membawanya, dibiarkan begitu sahaja tanpa digali kemanfaatannya.

Untuk itu, purehadharist akan membawa konsep Islam Hadhari menurut perspektifnya yang dilandasi Islam.
Maka akan lahirlah sebuah buku untuk itu....Mungkin Pak Lah juga akan mendapat manfaatnya kelak.....

No comments:

Popular Posts